KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, penjawat awam di negara ini perlu memiliki empat nilai
murni di dalam diri masing-masing iaitu setia, berdedikasi, cekap dan
berintegriti.
Perdana Menteri memberitahu,
keempat-empat nilai itu amat penting untuk menghadapi masyarakat yang lebih
matang, kompleks dan majmuk.
Menurut beliau, para penjawat awam
hendaklah menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat
untuk memerintah negara namun itu bukan bermakna mereka tidak boleh menegur
secara berhemah.
"Ini merupakan prinsip asas
yang kita tidak boleh lupakan dan anda tidak sepatutnya memperlekehkan kerajaan
di dalam blog dan status Twitter.
"Kalau tidak betul, tegur. Ada
cara untuk kita membuat teguran," katanya ketika berucap merasmikan
pameran My Story: Transforming the Nation di Galeri Petronas, Pusat Beli-Belah
Suria KLCC di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Petronas,
Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan
Diplomatik (PTD), Tan Sri Sallehuddin Mohamad.
Perdana Menteri menambah, setiap
penjawat awam mesti berdedikasi dengan melaksanakan tanggungjawab melebihi
daripada amalan biasa.
"Bukan sekadar bekerja dari
pukul 9 pagi hingga 5 petang atau dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Lakukan
lebih daripada itu," jelasnya.
Najib berkata, para penjawat awam
termasuk PTD perlu mempunyai kecekapan bagi menghadapi segala cabaran dalam era
baharu.
Beliau memberitahu, antara kemahiran
yang perlu dikuasai oleh penjawat awam pada era ini adalah dari segi
berkomunikasi khususnya apabila berdepan dengan media.
"PTD perlu melakukan
transformasi kerana era baharu adalah lebih mencabar berbanding zaman
dahulu," ujarnya.
Najib turut menekankan tentang
betapa pentingnya setiap penjawat awam memiliki sifat integriti dalam
menjalankan tugas masing-masing.
sumber : Utusan Malaysia