KUALA LUMPUR,
(Bernama) -- Pada 2014, sistem pendidikan negara tidak terkecuali daripada
mencatat beberapa isu panas sehingga menyaksikan protes daripada ibu bapa dan
guru khususnya dalam pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS),
selain sejarah hitam kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR).
Walaupun kelemahan tertentu itu ditangani Kementerian Pendidikan, prestasi
pelajar yang menduduki peperiksaan sulung Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3
dilihat jauh daripada tahap memuaskan.
PT3 merupakan komponen penting daripada PBS, adalah sebahagian daripada
inisiatif kerajaan untuk transfromasi sektor pendidikan.
Ia antara lain, bertujuan melahirkan pelajar yang boleh berfikir "secara
kritis dan kreatif", seperti yang dinyatakan di dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Pendekatan PT3, yang menguji pelajar dengan soalan-soalan berbentuk subjektif
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mungkin menyumbang kepada prestasi kurang
memuaskan dalam kalangan pelajar kumpulan sulung yang menduduki PT3.
Umumnya pelajar mengeluh soalan PT3 adalah lebih sukar dan jauh berbeza
daripada Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebaik mereka menduduki PT3 pada Julai
dan jangkaan mereka bahawa keputusannya kurang memuaskan, ternyata benar.
Apabila keputusannya dikeluarkan pada 22 Dis, Kementerian Pendidikan juga tidak
membuat sebarang pengumuman rasmi dan memberi analisis prestasi pencapaian para
calon PT3, menyebabkan spekulasi timbul bahawa hasilnya tidak memberangsangkan.
Pada 24 Dis, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian
mengakui terdapat kelemahan dalam peperiksaan PT3, yang menggantikan PMR, dan
menambah kata bahawa satu analisis terperinci akan dilakukan pada format
peperiksaan baharu itu.
PT3 GANTI PMR
Sistem pendidikan negara pada 2014 mengalami beberapa perubahan drastik. Pada
Mac, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menerusi
pelaksanaan penambahbaikan PBS, peperiksaan berpusat bagi pelajar Tingkatan 3,
digantikan PT3 yang dilaksanakan di peringkat sekolah.
"PT3 akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke
Tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT)
dan Kolej Vokasional," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.
Namun begitu, keputusan PT3 yang diduduki 453,413 calon secara umumnya
memperlihatkan bahawa kementerian perlu mengenal pasti kelemahan di samping
menambah baik sistem pentaksiran itu.
Ini berikutan bilangan pelajar yang mendapat semua A dalam ujian PT3 jauh lebih
rendah berbanding peperiksaan PMR.
Penurunan itu dikaitkan dengan masa persiapan yang singkat, cabaran dalam
menjawab soalan bukan sahaja berbentuk lisan tetapi kebolehan bertutur serta
kebolehan kemahiran berfikir aras tinggi.
PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan
Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt lepas.
Ujian bertulis itu meliputi 12 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa
Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.
PBS DITAMBAH BAIK
Meskipun pelaksanaannya mencetuskan rasa kurang senang di kalangan pendidik dan
ibu bapa, PBS kembali dilaksanakan pada April selepas penangguhan sementara dan
beberapa penambahbaikan dijalankan.
Antara penambahbaikan sistem PBS ialah guru tidak perlu lagi memasukkan
maklumat pencapaian murid secara dalam talian seperti sebelumnya yang menjadi
kritikan utama sebelum ini.
"Hasil penambahbaikan ini, semua warga pendidik dapat menerima dengan hati
terbuka sebab PBS yang ditambah baik lebih bersifat mesra guru, tidak
membebankan golongan tersebut dan mereka boleh fokuskan lebih pada proses
pengajaran dan pembelajaran," kata Idris yang dipetik sebagai berkata.
PBS merupakan transformasi daripada sistem berfokuskan peperiksaan kepada
sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, diperkenalkan di sekolah
rendah sejak 2011 dan di sekolah menengah pada 2012.
Di bawah PBS, guru dikehendaki menggred para pelajar mereka pada setiap mata
pelajaran berdasarkan Standard Prestasi, dengan penilaian enam Band. Bermula
daripada Band 1, yang menandakan pelajar "tahu" sehinggalah ke Band 6
atau paling tinggi, yang menandakan "tahu, faham dan boleh buat dengan
beradab mithali".
Bagaimanapun pelaksanaannya menimbulkan pelbagai rungutan dan bantahan daripada
para guru yang terbeban dengan keperluan mengisi dan merekod penilaian pelajar
ke dalam sistem komputer berpusat di samping ibu bapa tidak pasti bagaimana
prestasi dinilai terutama pelajar Tingkatan Tiga, yang merupakan kohort pertama
PBS.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini turut menggesa
agar PBS dipermudah agar fokus guru dalam mendidik pelajar tidak terganggu.
Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata sistem PBS merugikan pelajar kerana
guru boleh hilang fokus semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana perlu
memeriksa kertas ujian serta mengisi data berkenaan setiap hari.
Untuk itu, kementerian pada 23 Feb lepas memutuskan pelaksanaan PBS ditangguh
bagi membolehkan kajian semula dibuat. Pada 18 Mac, Muhyiddin mengumumkan PBS
kembali dilaksana bermula 1 April selepas penambahbaikan dibuat.
Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Zaleha Mustafa berkata
berdasarkan maklum balas diterima pihaknya, selaku badan pelaksana PBS, beliau
mendapati guru-guru berpuas hati dengan penambahbaikan yang telah dilaksanakan.
SOALAN UPSR BOCOR
Peperiksaan UPSR tahun ini, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 9
hingga 11 Sept, terjejas apabila sebahagian daripada kertas soalan bocor,
menyebabkan dalam semua calon-calon perlu menduduki semula Sains, Bahasa
Inggeris, Matematik dan Kertas Bahasa Tamil pada 30 Sept dan 9 Oktober.
Walaupun kebocoran kertas UPSR bukan isu baru, pada tahun ini insiden berkenaan
ternyata serius kerana kebocoran soalan dikesan sebelum peperiksaan diadakan.
Berikutan kes kebocoran soalan yang berulang itu, banyak pihak mempersoalkan
integriti dan sikap amanah pihak yang terlibat dalam setiap peringkat
penyediaan kertas peperiksaan, yang bermula daripada proses menggubal soalan,
mengumpul, mencetak, membungkus, menyimpan di bilik kebal dan menghantar ke
pusat peperiksaan.
Pada November lepas, dua guru lelaki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di
Nilai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan
memiliki salinan kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014
secara tidak sah, September lepas.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) Akta Rahsia Rasmi
1972 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman sehingga tujuh tahun
penjara.
Keputusan UPSR tahun ini menunjukkan sedikit penurunan 0.02 mata dalam Purata
Kebangsaan Gred (GPN).
Menjelaskan bahawa tindakan menduduki semula beberapa kertas peperiksaan bukan
faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pencapaian keseluruhan keputusan
ujian itu, Idris berkata ia lebih disebabkan kepada soalan berbentuk KBAT yang
mencabar tahap pemikiran calon.
PELAN PENDIDIKAN
Menyentuh tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Timbalan
Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata keberkesanan pelan itu
akan menampakkan hasilnya hanya selepas tiga tahun dilaksanakan.
Beliau berkata pelan pembangunan yang dilancarkan tahun lepas masih berjalan
dan perubahan positif akan dapat dilihat secara berperingkat-peringkat.
"Ia bukan masa yang tepat untuk mengkaji kesannya atau mendapatkan bukti
pelaksanaannya sekarang. Kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun dan
masanya kenalah tepat," katanya.
Beliau berkata kementerian sedang memantau pelaksanaan pelan pembangunan
tersebut, menilai prestasinya dalam sistem pendidikan dan pada masa yang sama
menilai semula jika terdapat perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.
Kementerian Pendidikan juga mencari strategi terbaik bagi melaksanakan apa jua
aspirasi dan anjakan paradigma seperti yang terkandung di dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia.
"Selain transformasi dan inovasi dalam sistem pembelajaran di sekolah,
kolaborasi ibubapa dan komuniti amat penting bagi menjamin perkembangan
pendidikan pelajar secara menyeluruh," katanya.
Bernama.