Monday, May 21, 2012

Ahli Parlimen Hulu Terengganu sebagai Tokoh Guru Terengganu

KUALA TERENGGANU - Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Nor bin Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu telah diistiharkan sebagai Tokoh Guru Hari Guru Terengganu 2012 sempena Perayaan Hari Guru Negeri Terengganu tahun ini. Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.

Tuan Haji Mohd Nor bin Othman sebelum menang Pilihan Raya Umum 2008 bertugas sebagai Ketua Sektor, Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Kepujian dari Universiti Malaya dalam bidang sejarah memulakan khidmat sebagai guru siswazah di SMK Tun Telanai, Marang, Terengganu. Kemudian sebagai guru di SMK Tengku Ampuan Intan dan menjadi pentadbir di beberapa buah sekolah sebelum dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu pada 2002 dan merupakan anak jati Hulu Terengganu pertama dilantik ke jawatan tersebut.

Sebelum penganugerahan Tokoh Guru Terengganu, acara Perasmian Hari Guru yang gilang-gemilang itu telah disempurnakan dengan paluan kertok oleh YAB Menteri Besar Terengganu dengan kehadiran dif jemputan dan warga pendidikan seramai 3,000 ribu orang. Antara yang hadir memeriahkan ialah Speaker DUN Terengganu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco dan Ahli Yang Berhormat, mantan-mantan Pengarah Pelajaran serta pimpinan pendidikan semua peringkat.

YAB Menteri Besar dalam ucapannya mengajak seluruh warga pendidik,ibubapa dan masyarakat bersatu dan saling bekerjasama bagi memastikan agenda pendidikan yang diperjuangkan dapat dilaksana dengan baik dan berkesan. Katanya, kerajaan akan memberi peluang seluas-luasnya kepada pendidikan khususnya  kepada anak negeri Terengganu. Beliau sangat percaya hanya pendidikan yang mampu mengangkat dan merubah kehebatan bangsa, negara dan agama.

YAB Menteri Besar juga mahu bangsa Melayu kita yang beragama Islam ini tidak selamanya hanya menjadi pengguna tetapi menjadi pencipta teknologi melalui program dan pendekatan yang  lebih kreatif dan inovatif terutama peranan besar yang boleh dimainkan oleh guru. Beliau memberi analogi bahawa kedahagaan kita terhadap ilmu seumpama orang yang berlari di padang pasir dan ilmu yang kita miliki kini umpama titisan air yang terlekat dijari yang dicelup dalam lautan. Oleh itu beliau mengajak semua pihak meneruskan usaha dengan berlipat ganda serta bersungguh-sungguh dan kerajaan negeri meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri. Antara usaha serious ialah seperti:-

  •  Pada tahun 2012 sebanyak RM340 juta diperuntukkan kepada pelbagai program khasnya bagi menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu
  • Menyediakan dana khas pendidikan melalui projek tanaman sawit berskala besar sebagai alternatif jika kehabisan bekalan minyak dan gas
  • 150 pelajar perubatan anak negeri dihantar belajar keluar negara termasuk 50 orang lagi ke sasaran baru di universiti di Sumatra
  • 10 orang pelajar anak negeri terpilih dihantar ke German bagi mempelajari bidang kejuruteraan automatif
  • 10 orang pelajar anak negeri dihantar kursus dalam bidang kejuruteraan penerbangan
dan banyak lagi usaha pendidikan yang sedang dan akan dilaksanakan. Begitu juga kerajaan negeri  akan  meneruskan insentif kepada guru. Menurut beliau lagi, seramai 3,000 guru yang mengajar Tahun 5 akan diberi komputer sebagaimana guru Tahun 6 sebelum ini. Selain itu 10 orang yang cemerlang akan ditanggung oleh kerajaan negeri untuk mengerjakan umrah.

" Semua usaha-usaha murni yang dirancang ini akan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan sempurna jika kerajaan yang sedia ada diberi sokongan mantap dan mandat oleh kaum guru,juga ibubapa dan masyarakat", tegas beliau dengan diiringi tepukan gemuruh para hadirin.

Acara Sambutan Hari Guru hari ini juga menyaksikan pelbagai anugerah ,penghargaan dan hadiah daripada
pelbagai aktiviti sempena hari guru yang dilaksanakan seperti penulisan sajak, mengarang, bahas dan lain-lain lagi.

Terima kasih cikgu, Selamat Hari Guru.

Sunday, May 20, 2012

Taklimat KEDAP SK Asli Terengganu 2012

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Urusetia Kelas Dewasa Orang Asli (KEDAP) mengadakan taklimat berkaitan pelaksanaan  kelas berkenaan yang akan bermula akhir Mei atau awal Jun kepada Pegawai Meja KEDAP PPD, Guru Besar dan Penyelaras KEDAP Sekolah. Turut hadir ialah Penyelia Sektor Khas dan Swasta dan Ketua Pembantu Tadbir Kewangan JPN.

Taklimat yang diadakan di PKG Bukit Besar ini bukan sahaja mendedahkan kaedah dan tatacara pelaksanaan kelas tetapi juga berkaitan pengurusan keewangan supaya peruntukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui program ini dapat dimanafaatkan secara optima.

Dua buah sekolah Asli Terengganu iaitu SK Sungai Pergam, Kemaman dan SK Sungai Berua, Hulu Terengganu terlibat  dengan program ini. Setiap sekolah menerima peruntukan sebanyak RM56,250.00 dengan pecahan untuk Insentif Guru sebanyak RM7,500.00 dan Insentif Ibubapa Kelas Dewasa sebanyak RM48, 750.00. Insentif Ibubapa Kelas Dewasa meliputi elaun kehilangan pendapatan, elaun pakaian, elaun kesihatan, elaun makanan dan elaun alat-tulis.

Kita amat berharap ibubapa yang terpilih dapat memanafaatkan peluang ini dan dapat membantu anak-anak dan masyarakat orang Asli mempertingkatkan taraf sosial-ekonomi masyarakat orang Asli.

Saturday, May 19, 2012

Bangku yang inovatif dan kreatif

Memang tepat dan benarlah manusia adalah makhluk yang kreatif dan paling unik justru kelebihan akalnya. Dengan akal dan ilmu manusia boleh menghasilkan berbagai perkara yang unik, kreatif dan inovatif dengan kos, masa dan tenaga yang murah.

Sekali lagi sesuai dengan Tahun Inovasi kami paparkan bangku rehat yang berada di tepi jalan atau taman yang sangat kreatif binaanya. Bangku seumpama ini boleh dibina di laluan atau ruangan tertentu di sekolah untuk murid berehat sekaligus menghayati makna inovasi dan kreativiti. Kalau satu tahun dapat bina satu, sepuluh tahun dah ada sepuluh..tak susah manakan kalau akal kita besar dan emosi kita lapang pasti sesuatu yang kreatif dan unik dapat dihasilkan...



Friday, May 18, 2012

Semoga terus cemerlang dan terbilang

Jangan lupa nanti untuk berbakti di negerimu
Terengganu Anjung Ilmu

4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta

KUALA LUMPUR 18 Mei - Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

read more 

 

Semakan Urusan Naik Pangkat


KLIK banner di atas atau ke menu side bar sebelah kiri bertajuk ONLINE. Tahniah kepada yang berjaya. Yang gagal cari sebab dan kekurangan agar dapat diperbaiki. Yang dapat tidak semestinya terbaik dan yang tidak dapat tidak semestinya tercorot. Yakin dan percaya pada 'rezeki'.


Renungan Jumaat : Restu ibu, restu guru.

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”

Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu.

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”


Kepimpinan Sekolah : Satu analisa mudah

“A good leader will ‘show the way’ for his/her staff to develop and progress. A good leader leads in the Leadership Training. A good Leader will succeed in generating more Leaders.”  
Gucharan Singh Sandhu 1999 – pg 137

“… saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dipimpin oleh Guru Besar yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh Guru Besar yang baik.Saya telah melihat sekolah-sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya,
Dan malangnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot dengan cepat. Bagi setiap kes jatuh bangunnya sekolah dengan mudah boleh dikaitkan dengan Kualiti Guru Besar.” 
                                                            Fred M. Hetchinger
                                                            President New York Times

 Selamat Hari Guru khas kepada Semua Guru Besar dan GPK Sekolah Rendah Negeri Terengganu semoga kita sentiasa menjadi pemimpin sekolah yang dihormati, disayangi dan dikagumi. Terima kasih cikgu !


 

Thursday, May 17, 2012

Program Bimbingan Calon SBT Terengganu

KUALA TERENGGANU - Calon-calon Sekolah Berprestasi Tinggi negeri Terengganu sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh mempersiapkan diri untuk proses penilaian dan verifikasi kerana tahun ini adalah tahun terakhir pelaksanaan SBT. Sebanyak tiga puluh lapan buah lagi sekolah akan dianugerahkan  SBT bagi memenuhi matlamat NKRA Sekolah Berprestasi Tinggi sebanyak 100 buah. Sementara SM Sains Sultan Mahmud (SKK) adalah calon tunggal sekolah Band 1 Sekolah Menengah yang layak dicalonkan SBT.

Bagi Sekolah Rendah pula sebanyak enam layak ke pencalonan SBT daripada 25 buah sekolah Band 1. Tiga daripadanya iaitu SK Rantau Petronas, SK Seri Berang dan SK Tengku Ampuan Intan adalah sekolah berstatus SKK. Sementara SK Tengku Mahmud 11, SK Rantau Petronas dan SK Seri Berang pernah dinilai pada tahun 2011.Sekolah baru masuk pencalonan ialah SK Maktab Perguruan, Kuala Terengganu dan SK Sungai Las, Setiu. Sementara SK Kampung Fikri Sungai Tong yang juga merupakan calon SKK terkeluar daripada pencalonan ini kerana markah Annex yang dinilai dari portal tidak mencapai tahap. Kebanyakan calon SBT Sekolah Rendah ini menerima Anugerah Tawaran Baru bagi tahun 2012 dan juga calon sekolah SKK.

Bagi memastikan Terengganu mampu menyediakan calon yang mantap, hari ini Puan Faridah Yang Razali, Ketua Penolong Pengarah Sektor SBT, Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah turun memberi bimbingan kepada semua calon di SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terenganu. Semua sekolah telah membentangkan power point mereka untuk penilaian asas oleh beliau dan juga pegawai dari JPN Terengganu. Alhamdulillah semuanya telah bersedia dan dapat membentang serta memahami aspek SBT. Walau bagaimanapun aspek-aspek utama SKPM dan Annex perlu disusun dan dimantapkan lagi. Banyak pandangan dan bimbingan nasihat yang diberikan Puan Faridah.

Kita berharap melalui bimbingan ini dan bimbingan akan datang semua sekolah yakin, bersemangat dan bersedia untuk dinilai. Kita harap mereka mampu mengadunkan pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan  semasa penilaian dan melakukan yang terbaik untuk menjulang Anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi kohort terakhir ini.