Friday, April 9, 2010

Renungan Jumaat - Sepuluh Tanda Anda Mencintai Kerjaya Anda

"Mencintai" adalah runtunan emosi secara sedar dan bersengaja.Sentiasa mengeletek keghairahan,rindu dan asyik. Sentiasa membara dalam jiwa.Ikhlas dan setiarela melaksanakannya tanpa dipaksa. Halangan  bukanlah rintangan  tetapi peluang dan diri sentiasa rindukan cabaran...

Barangkali itu adalah sekilas pandang bahawa bagaimana rupa bentuk tingkahlaku dan emosi orang yang sentisa dalam hatinya, membara dengan cinta. Tidak kira sama ada ia mencintai dirinya,kekasihnya,isterinya,suaminya dan juga kerjayanya. Seringkali juga dalam hidup kita berlaku "pemaksaan cinta".Dalam kerjaya juga ini berlaku, jika sesorang itu tidak minat tetapi dipaksa. Bagaimana dia boleh menjadi doktor yang baik kalau dia takut melihat darah.Bagaimana ia mampu menjadi polis yang cekap kalau melihat senjata sudah takut atau benci.Bagaimana ia boleh menjadi guru yang dihormati kalau sangat tidak suka melihat anak-anak atau murid-murid.

Berikut adalah sepuluh tanda anda mencintai kerjaya anda :-
  1. Pergi kerja awal  - setiap hari sentiasa ghairah dan bersemangat walaupun sudah berpuluh tahun bekerja. Terlewat ke tempat kerja diri menganggap kecuaian walaupun di luar kemampuan kawalan diri kita sendiri
  2. Balik lewat - mereka yang sangat mencintai kerjayanya tidak ghairah memburu mesin "puch card" walaupun sudah tiba masa pulang.Mereka tidak akan senang meninggalkan kerja yang belum siap atau meninggalkan ruang kerja yang tidak kemas.
  3. Sangat seronok berurusan dengan klien - sentiasa mengutamakan klien. Jika ia seorang guru yang mencintai amat kerjayanya ia sangat seronok berjumpa murid.Maksudnya ia merasakan tidak lengkap harinya jika tidak dapat masuk mengajar dan berjumpa muridnya.
  4. Sentiasa  seronok dan ghairah menceritakan kepada orang lain tentang kebaikan kerjaya yang anda ceburi dan sentiasa menyembunyikan perkara kurang menyenangkan dalam insitusi kepada mereka yang di luar dari institusi
  5. Merasa sakit hati,benci atau geram jika ada mana-mana pihak tidak berada dalam "dunia kerjaya" anda mengutuk atau memperbesarkan kesilapan kecil dunia kerjaya anda
  6. Sentiasa bersedia dan gembira menerima tugas dan tugas tambahan daripada Ketua Jabatan serta membina persepsi positif bahawa Ketua Jabatan menghargai kebolehan anda bukan memberi beban.
  7. Seronok melaksanakan kerja-kerja mencabar kemampuan dan kebiasaan dan sentiasa ingin membuktikan hasil yang terbaik
  8. Tidak memikirkan soal ganjaran atau pujian tetapi seronok melihat klien berpuashati daripada pertolongan dan sumbangan kita
  9. Sentiasa merasakan kawan-kawan dalam organisasi adalah saudara-mara dan sentiasa senang berkongsi suka-duka 
  10. Merasakan kepuasan , keseronokan  dan menganggap tempat kerja sebagai rumah kedua.Menifestasi keseronokan dan kepuasan itu digambarkan melalui gambar ahli keluarga tersayang sebagai inspirasi diletakkan di atas meja kerja.
Bertuahlah mereka yang mencintai kerjaya mereka kerana sesungguhnya mereka mengisi hidup dengan keseronokan dan kegembiraan ,sekaligus memadam neraka yang membara di dalam diri.



    Thursday, April 8, 2010

    Kriteria dan Prosidur Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)

    Anatara penerima SBT Fasa 1
    Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos,watak,identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan.Sekolah mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan utama.

    Kriteria SBT
    • Berada dalam senarai melebihi sasaran (Exceed Target) - 84 % ke atas bagi SR
    • Pencapaian skor 90% dalam SKPM
    • Mencapai sasaran Instrument Annex - antara yang perlu ada;-
      • Pembinaan Personaliti Unggul seperti pembesar negara/tokoh dan senarai mereka ini direkodkan
      • Anugerah diterima seperti Pertandingan Sekolah Harapan,Sekolah 3K dan pelbagai anugerah yang sekolah terima - rekod/sijil
      • Jaringan dengan sekolah lain atau insitusi pendidikan sama dalam daerah,negeri dan negara
      • Jalinan dengan sekolah atau universiti di peringkat antarabangsa
    Instrument Annex akan disiarkan di dalam portal

    Prosidur Pemilihan SBT

    Saringan Pertama
    • 70% GPS dan 30% Penarafan Kendiri Sekolah berdasarkan SKPM
    • Sekolah yang berada dalam senarai Melebihi Sasaran (Exceed Target) 
      • 84% - Sekolah Rendah
      • 92% - Sekolah Menengah
    • Memenuhi syarat generik antaranya;-
      • tiada harta kerajaan hilang kerana kecuaian
      • tiada audit berteguran
      • tiada perlanggaran punca kuasa
      • tiada tersenarai dalam aduan KPM selama 3 tahun
    • Mencapai target Instrument Annex
    Saringan Kedua
    • Sekolah diverfikasi dengan SKPM dan Instrument Annex
    • Sekolah yang mendapat SKPM yang lebih daripada 90% akan disenaraikan mengikut skor Instrument Annex
    • Jawatankuasa Pemilihan SBT akan memilih
    • KPM akan mengiktiraf sekolah sebagai SBT
    Menjelang tahun 2012 sebanyak 100 buah sekolah akan diiktiraf sebagai SBT. Pecahan mengikut tahun seperti berikut::

    Tahun 2010 - 20 buah
    Tahun 2011 - 30 buah
    Tahun 2012 - 50 buah

    Adalah diharapkan melalui maklumat ringkas ini semua sekolah sekurang-kurangnya tahu apa konsep sekolah SBT.Sekolah-sekolah lain yang sedang mengapai kecemerlangan dan kehebatan memburu SBT boleh berkongsi dengan 20 buah SBT Tahun 2010.Sewajarnya semua sekolah patut berazam mencapai sekolah SBT kerana itu kemuncak sut taraf sekolah terhebat setakat ini dan semua sekolah berpotensi mencapai jika seluruh warga sekolah berjiwa besar.

    Bahan Bacaan TambahanSBT
    1. Sekolah biasa lahirkan pelajar berprestasi tinggi
    2. Sekolah Berprestasi Tinggi
    3. Prasyarat SBT
    4.Ciri-ciri SBT
    5.Ciri-ciri Utama SBT
    6.Plan Stategik SBT
    7.Impak SBT
    8.Sub-Nkra-SBT

    Wednesday, April 7, 2010

    Pembentangan Permohonan Perjawatan 2011

    Mulai 7 hingga 9 April 2010 telah diadakan Pembentangan Permohonan ABM Perjawatan bagi Tahun 2011 di BTPN Terengganu mewakili Zon Timur terdiri dari negeri Terengganu,Kelantan dan Pahang.

    Pembentangan Permohonan ABM Perjawatan bagi Tahun 2011 dikemukan kepada Cawangan Perjawatan Dan Naziran,Bahagian Pengurusan Sumber Manusia,KPM yang diketuai oleh En.Wan Ghazali bin Mohd Nor,Ketua Penolong Setiausaha BPSM oleh JPN dari setiap negeri berkenaan.Hari ini negeri tuan rumah,Terengganu telah mengemukan pembentangan dengan dimulakan perjawatan di bawah Aktiviti Rendah ,Menengah.,Asrama dan Pentadbiran Negeri

    Di bawah Rendah meliputi permohonan perjawatan bagi SK/SJKC,Pendidikan Awal Kanan & PraSekolah dan juga Pendidikan Khas.Sementara di bawah Menengah meliputi permohonan perjawatan SMK,Pendidikan Khas,SMKA,SABK.Asrama pula adalah perjawatan Penyelia Asrama dan PPM serta kedudukan asrama rendah dan menengah. Manakala di bawah Pentadbiran Negeri iaitu Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan membuat permohonan perjawatan untuk Anggota Kakitangan Sokongan (AKS) bagi semua PPD,JPN dan sekolah serta semua instusi bagi di bawah JPNT.

    Kita berharap dan berdoa semoga permohonan itu diluluskan agensi pusat serta keadaan ekonomi negara kita semakin baik agar banyak perjawatan baru dapat diujudkan atau jawatan yang selama ini berada dalam norma seperti guru data dan GPK Kokurikulum Sekolah Gred B dapat berada di luar norma di mana dengan pertambahan dan perubahan ini beban tugas guru dapat dikurangkan. Terima kasih kepada Pegawai-Pegawai Cawangan Perjawatan BPSM.

    Mesyuarat Pengurusan Sekolah Kluster 1/2010

    Semalam telah diadakan mesyuarat berkenaan di Bilik Mesyuarat Kemboja,Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,KPM,Putrajaya. Mesyuarat berkenaan melibatkan semua Guru Besar Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 1,2 dan 3 serta Pegawai Meja Jabatan Pelajaran Negeri.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster (BPSBPSK) menyentuh berkaitan Sekolah Berprestasi Tinggi,Masa Depan Sekolah Kluster,Pengurusan Kokurikulum,Bidang Kebitaraan,Isu Pengurusan Kewangan dan Isu-isu Sekolah Kluster.

    Beliau juga memaklumkan bahawa tidak lama lagi BPSBPSK akan berpindah ke pejabat baru di Cyberjaya.Selain dari itu tinjauan dan cadangan sebilangan besar Guru Besar agar ruangan perbincangan lebih luas dibuka supaya isu-isu dan masalah berkaitan SKK dapat dibincang,dikongsi dan diselesaikan terutama berkaitan kewangan,perjawatan dan aktiviti/program.

    Selain dari SKK ,SBT juga menjadi dimensi penting  dalam hala tuju pendidikan negara. Menjelang tahun 2012 sebanyak 100 buah sekolah SBT yang mempunyai pelbagai keistimewaan bakal diujudkan.Insyaalah bagaimana SBT dinilai akan dibincangkan dalam posting akan datang supaya semua pengurus sekolah dan warga gurunya memahami dan berusaha menghayati filosofi SBT untuk dilaksanakan penalaan selaras arah haluan pendidikan masa depan negara.

    Monday, April 5, 2010

    Antara Kemalangan dan Kecuaian

    Saya masih teringat ucapan ,Yang Berbahagia Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong,Pengarah Pelajaran Terengganu dalam satu Perhimpunan Bulanan JPN Terengganu beberapa bulan lalu mengenai istilah "kemalangan" dan "kecuaian" .Huraian beliau amat menarik ,patut menjadi renungan semua pengurus sekolah.

    Menurut beliau sebagai pengurus sekolah kita mesti mengamalkan budaya kerja seperti kecaknaan terperinci,sense of urgensi ,do the right thing right dan bermacam lagi yang memberi fokus supaya kita buat kerja kita dengan betul,teliti,integriti,peka serta  berhemah dari perkara besar hingga perkara sekecilnya khususnya dalam konteks keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah.Tambah beliau lagi pengurus yang cekap boleh menjangka kemungkinan dan mengambil langkah proaktif kerana jika petaka yang berlaku akibat kecuaian pengurusan maka turun-naik mahkamahlah jawabnya.

    Namun jika kemalangan berlaku setelah tiada unsur-unsur kecuaian pasti semua pihak boleh menerima dengan hati terbuka.Pengalaman semasa menjadi Guru Besar beberapa  buah sekolah menjadikan saya sangat sensitif tentang soal ini dan sentiasa menarik minat saya berkongsi perkara ini bila lawatan pemantauan ke sekolah dibuat. Pernah semasa baru bertukar ke sebuah sekolah kami bersama PIBG mengadakan gotong-royong menebang pokok tua dan mati dalam kawasan sekolah hampir kesemua pokok yang ada kerana saya berpendapat ianya sangat berisiko terjadinya kemalangan. Saya takut jika mana-mana pelajar cedera atau meninggal kerana ditimpa kayu mati kerana jika ianya berlaku saya akan dianggap cuai menjalankan tugas sebagai Guru Besar untuk memastikan mereka selamat di bawah pengawasan saya.

    Dalam siri lawatan dan pemantauan saya ke sekolah masih terdapat rakan kita Guru Besar atau GPK boleh tidur lena walaupun ada serpihan atap bata akibat ribut terjuntai untuk jatuh,ensel pintu besar sudah tertanggal,lampu atau kipas bagi nak jatuh bila-bila masa,wayar suis terjuntai keluar,dahan pokok sudah mati serta buruk dan seribu satu macam ancaman lagi. Seandainya berlaku kemalangan kita pasti tidak cukup alibi mempertahankan diri dari tuduhan "cuai ". Sediakan payong sebelum hujan,jangan biarkan keluarga kita dalam kesedihan.

    Semakin besar pangkat,semakin besarlah tanggungjawab dan kebertanggungjawaban  di atas batu jemala kita.

    Sunday, April 4, 2010

    Memperkasakan Perhimpunan Mingguan Sekolah

     Apakah acara senamrobik sesuai untuk perhimpunan mingguan?
    Hasil pemantauan,laporan dan aduan diterima kedapatan segelintir sekolah melaksanakan Perhimpunan Mingguan Sekolah secara sambil lewa dan terkeluar dari panduan dan arahan Surat Pekeliling Ikthisas Bil.4/1984.Perhimpunan Mingguan Sekolah seolah-olah rutin yang tidak berapa penting dan menyusahkan bukan sebagai satu majlis rasmi peringkat sekolah.

    Bagaimana komitmen guru .,Guru Besar atau GPK?
    Justru persepsi sedemikian Perhimpunan Mingguan Sekolah tidak diurus dan dirancang dengan baik. Persediaannya kadang-kadang kelam-kabut.Pergerakan murid tidak teratur. Ada guru yang tidak hadir ke perhimpunan dan sibuk dengan tugas sendiri di bilik guru,kantin atau di mana-mana sahaja seolah-olah bukan majlis rasmi yang wajib dihadiri.Begitu juga segelintir Guru Besar ,GPK atau guru datang dua tiga minit sebelum perhimpunan atau setelah perhimpunan berjalan.Semasa perhimpunan aturcara asas yang digariskan tidak dilaksana dengan baik dan sempurna seperti:
    • Nyanyian lagu Kebangsaan Negaraku,Lagu Negeri dan lagu sekolah
    • Upacara menaikkan bendera
    • Upacara membaca ikrar Rukunegara
    • Ucapan Guru Besar
    • Lain-lain perkara yang munasabah bagi tujuan perhimpunan
    Bahkan dalam kebanyakan ucapan jarang ucapan yang membina minda dan memotivasikan murid. Majoriti ucapan adalah berupa leteran dan amaran berpanjangan memalukan murid. Ianya bukan sahaja membosankan murid dan guru tetapi melanggar prinsip perhimpunan itu sendiri.

    Sewajarnya semua pihak sedar bahawa tujuan mengadakan perhimpunan adalah untuk menyemai,menanam dan memupuk semangat cinta dan taat kepada negara serta meningkatkan disiplin murid. Bagi menjayakan tujuan itu perhimpunan sekolah sewajarnya mengwujudkan satu suasana teratur,bertertibdan penuh hormat,di mana setiap orang dalam perhimpunan berkenaan mematuhi nilai,norma dan peraturan perhimpunan tersebut.

    Sehubungan dengan itu,harapan kita agar semua pengurus sekolah dapat memperkasakan kembali Perhimpunan Mingguan Sekolah sebagai satu majlis rasmi sekolah yang sentiasa dinanti dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga sekolah .Ia seharusnya menjadi medan  pemupukan patriotisma,dorongan motivasi,wadah penghargaan dan penghormatan warga sekolah terutama kepada para pelajar..jom fikirkan

    Saturday, April 3, 2010

    Isu Kenaikan Pangkat Guru Sekolah Rendah

    Isu mengenai kenaikan pangkat guru sentiasa hangat dan panas hinggakan semalam YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan mengadakan Makmal Khas untuk urusan tersebut.Sebelum ini saya telah menyentuh serba sedikit dalam posting terdahulu berhubung isu ini bilamana ramai calon yang memohon atau diperakukan menolak tawaran yang diberikan kepada mereka.

    Walau bagaimanapun melalui perjumpaan atau dialog dengan rakan guru,tulisan melalui forum-forum atau wacana dengan kesatuan masih ramai kalangan guru salah faham tentang dasar pelaksanaan kenaikan pangkat yang sedia ada. Saya mengambil peluang ini untuk memberi penjelasan serba-sedikit berhubung beberapa isu kenaikan pangkat supaya digri kefahaman dapat dipertingkatkan dan seterusnya dapat membantu guru merebut peluang kenaikan pangkat. Saya akan memberi fokus berkaitan urusan sekolah rendah.

    Dalam laluan kerjaya pangkat PPLD,Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah menetapkan laluan seperti berikut:
    • Laluan naik pangkat secara hakiki - iaitu bagi jawatan-jawatan hakiki di sekolah,ppd,jpn atau bahagian di KPM seperti GPK,Guru Besar dan Pengelola Gred DGA32 dan DGA34
    • Laluan Guru Cemerlang - gred DGA32,DGA34,DGA38 bertaraf KUP
    • Laluan Time Base - DGA32 (KUP)
    • Laluan Khas X-PPLD  - DG41(KUP) ,DG44(KUP) untuk GPK dan Guru Besar yang sambung belajar
    • Laluan Guru Besar Cemerlang - DGA38(KUP)
    • Laluan Pengelola /Pegawai Cemerlang - DGA34(KUP),DGA38(KUP)
    Bagaimana dengan Guru Penolong yang sambung belajar atau baru posting sebagai PPPS DG41? Mereka boleh menikmati laluan naik pangkat sebagai :
    • Laluan Guru Cemerlang DG44(KUP),DG48(KUP),DG52(KUP)....Jusa Khas C
    • Laluan Time Base DG44 (KUP), DG48 (KUP)
    Mereka tidak boleh menjadi Guru Besar atau GPK kerana gred mereka DG41 lebih tinggi dari gred DGA32 atau DGA34 GPK dan Guru Besar. Mereka yang telah menyandang jawatan hakiki GPK dan Guru Besar terlebih dahulu kemudian sambung belajar akan dikekalkan atas jawatan yang sama setelah dilantik DG41 dengan memakai DG41(KUP).Dari segi prinsip gred DG41 bukan gred naik pangkat tetapi mereka dikekal kerana telah menyandang jawatan itu terlebih dahulu. Maksud KUP kenaikan pangkat diberi kepada body pemunya bukan jawatannya. Jika pemegang jawatan KUP bersara pengisian jawatan menggantikannya ialah pada gred asal jawatan tersebut. Contoh seorang Guru Besar Sekolah A yang gred DG44(KUP) bersara maka calon yang akan di situ ialah mereka yang terdiri dari Guru Besar DGA34 kerana gred hakiki Guru Besar sekolah gred A ialah DGA34.

    Ramai guru yang sambung belajar atau posting baru tidak berpuashati kerana mereka seolah-olah tiada peluang menjadi pentadbir. Siapa kata mereka tiada peluang ? Ada peluang JIKA sistem struktur naik pangkat hakiki sekolah rendah berubah. Jika KPM mengubah gred jawatan hakiki GPK dan Guru Besar ke DG44 dan DG48 bukan sahaja mereka layak tetapi semua PPPS juga layak kecuali ada sekatan guru menengah tidak boleh berpindah ke sekolah rendah. Keadaan ini kemungkinan besar akan berlaku kerana sekarang calon-calon guru yang keluar hampir tiada berstatus PPLD semuanya PPPS. Selain dari itu ramai Guru Besar dan GPK telah mengikuti program siswazah. Maka PPLD akan beransur hilang dalam sistem perguruan negara sebagai hilangnya guru Darjah 6 dan Guru kelulusan SRP.

    Selain dari itu sesetengah guru mendakwa kalau nak naik pangkat kena buat baik atau membina hubungan rapat dengan pegawai JPN atau PPD.Ianya seolah-olah memberi gambaran bahawa kenaikan pangkat dasarnya ditentukan oleh JPN.Mereka lupa bahawa pokok segala kelayakan naik pangkat mereka bermula dari diri mereka sendiri.Sewajarnya mereka melengkap diri mereka sendiri jika ingin menjawatan naik pangkat :-
    • Guru mesti memohon setiap tahun. Semua jawatan naik pangkat kena pohon.
    • Mempunyai prestasi tiga tahun yang baik.
    • Tiada tindakan tatatertib
    • Telah mengistiharkan harta
    • Lulus Tapisan SPRM
    • Bebas dari peminjam tegar IPP
    • Lulus PTK
    • Diperaku oleh Ketua Jabatan
    • Lain keistimewaan dan kebolehan yang boleh dibuktikan
    Tugas panel JPN dalam urusan naik pangkat adalah memanjangkan iklan dari BPSM,menerima dan memproses borang dan dokumen permohonan yang lengkap,memanjangkan permohonan ke Lembaga Naik Pangkat KPM,menerima senarai yang diluluskan oleh Lembaga , menawar kepada calon dan memaklumkan kepada BPSM setuju terima / tolak dari calon.

    Urusan naik pangkat  diurusetia oleh Unit Naik Pangkat dan Tatatertib,Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan manakala penawaran kepada calon sahaja dilakukan oleh Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,Sektor Pengurusan Sekolah berdasarkan prosidur yang ditetapkan.

    Penempatan calon naik pangkat juga menjadi isu apa lagi calon-calon ditawarkan penempatan di luar daerah. Mereka seolah-olah lupa bahawa jawatan naik pangkat adalah untuk mengisi jawatan kosong yang ada. Lagi pun adalah tidak adil jika berlaku kekosongan dalam daerah calon baru naik pangkat hendak ditempatkan di situ sedangkan ada guru dari daerah tersebut yang semasa naik pangkat sanggup untuk keluar daerah dan bertahun-tahun sudah berada di sana.Inilah masa untuk mereka kembali berhampiran keluarga dan kampung halaman.

    Satu lagi isu yang hangat diperkatakan ialah mengenai pemangkuan GPK dari guru DGA29 ke DGA32 yang dilaksanakan pada tahun ini.Ramai guru senior dari gred DGA32(KUP) Time Base menyuarakan perasaan tidak puashati kerana peluang mereka untuk menjawatan GPK telah ditutup. Ada kalangan guru DGA29 yang ditawarkan pemangkuan GPK DGA32 menolak tawaran setelah sehari dua melapor diri kerana tekanan tugas dan rakan dari DGA32(KUP) Time Base.Mereka ada yang baru berkhidmat 8 tahun.

    Iklan pemangkuan telah disiarkan 31 Julai 2009 dan Surat Kuasa Kelulusan Pemangkuan telah dikeluarkan pada 23 Disember 2009.Ramai kalangan guru terkhilaf dengan iklan ini. Mereka tidak faham maksud "pemangkuan".Pemangkuan dalam bahasa mudah mereka yang layak memangku jawatan naik pangkat lebih tinggi dari yang disandang sekarang selama 6 bulan atau lebih dengan dibayar elaun memangku sebelum disahkan pelantikan secara hakiki". Mengapa perkara ini tidak dibuka kepada penyandang DG32(KUP) Time Base;
    • Pemangkuan Gred DGA32 tidak boleh diberi kepada guru DGA32(KUP) Time Base kerana guru DGA32(KUP) Time Base telah naik pangkat gred DGA32 setara dengan pemangkuan. Guru DGA32(KUP) Time Base hanya boleh diberi pemangkuan jika mereka naik pangkat lebih tinggi ke gred DGA34
    • Perakuan dan peluang naik pangkat GPK kepada guru DGA32(KUP) Time Base sebelum ini ramai yang menolak kerana gaji mereka tidak berubah kerana grednya sama.Hanya elaun GPK RM60.00 sahaja.Apalagi mereka akan kehilangan BISP jika bukan opsyen menerima jawatan hakiki.Ramai jawatan GPK tidak dapat diisi dan lebih mendukacita ditawarkan di sekolah yang samapun tetap menolak.Mereka selesa dan tidak mahu berpindah. Maka KPM buka peluang ini kepada guru DGA29.Siapa yang bawa lumpur ????
    • Dengan memberi peluang kepada DGA29 pemangkuan maka jumlah guru yang naik pangkat semakin ramai.Cuma bezanya naik pangkat secara Time Base tiada jawatan,masih guru penolong tetapi naik pangkat secara hakiki mempunyai jawatan sama ada sebagai GPK atau Guru Besar.
    Jawatan hakiki ini mempunyai konotasi "kuasa".Justru itu walaupun gred guru penolong DG41 tetapi Guru Besar dan GPK diberi "tauliah" yang memberikan mereka "kuasa" mengawalselia guru penolong dari gred apa sekalipun.

    Persoalannya adakah guru penolong Time Base DGA32(KUP) ada peluang untuk menjadi pentadbir ?
    Jawapannya:
    • ada jika senarai calon pemangkuan DGA29 ke DGA32 tidak mencukupi
    • mereka akan diperakukan jika memenuhi syarat sebagaimana di atas
    • tersenarai dalam kelulusan perakuan yang dikemukakan kepada BPSM/Lembaga
    • menerima tawaran
    Guru Penolong DGA32(KUP) Time Base juga berpeluang memohon jawatan naik pangkat DGA34 dan Guru Cemerlang

    Satu perkara lagi bila menyentuh isu naik pangkat majoriti tertumpu kepada naik pangkat Laluan Hakiki untuk GPK dan Guru Besar sahaja sedangkan laluan lain seperti Guru Cemerlang terbuka luas seperti kurang diberi perhatian. Laluan naik pangkat hakiki terikat kepada kekosongan.Sebagai contoh permohonan untuk mengisi jawatan hakiki DGA34 bagi 2010 negeri Terengganu seramai hampir 1,200 orang sedangkan kekosongan jawatan adalah lebih kurang 30 orang. Sudah tentu mereka yang terbaik sahaja akan ditawarkan. Mereka terbaik ditentukan kreteria pemarkahan sebagaimana berikut:
    • prestasi tiga tahun dengan purata maksima markah 80 %
    • ditambah 20% lain-lain kreteria seperti kursus NPQH,pengalaman,sumbangan dan lain-lain merit yang pemohon sedia tahu.
    Dalam pemerhatian saya tidak akan ada calon yang akan dapat 100% tetapi prestasi majoriti calon boleh maintance untuk dapat 75 % hinmgga 78%.Mereka banyak gagal dalam mencapai markah 20% .Kalau prestasi dapat 78%  campur 10% baru dapat 88%. Sewajarnya calon bukan sahaja menjaga prestasi tetapi juga kreteria 20% juga.

    Adalah menjadi harapan kami dengan penjelasan ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman kepada kaum guru sekolah rendah terutamanya mengenai peluang naik pangkat,proses dan unit-unit yang terlibat. Cuma satu ingat kami jika tidak berminat dan tidak sanggup berganjak tidak payahlah minta naik pangkat kerana ianya seakan menutup peluang rakan-rakan yang lain. Apapun yang harus diingat pokok utama kelayakan dan keupayaan untuk naik pangkat bermula dari diri sendiri...ukurlah betul-betul.

    Slide 2


    Friday, April 2, 2010

    Mencemburui gaji guru

    Oleh WAHID HASHIM
    pendidikan@utusan.com.my

    SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

    Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

    Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

    Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."

    Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

    Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

    Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

    Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

    Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

    Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

    Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

    Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

    Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

    Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

    Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

    Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

    Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini

    Kenaikan pangkat guru: Makmal khas ditubuh

    HULU SELANGOR 2 April - Kerajaan akan menubuhkan makmal khas untuk meneliti proses kenaikan pangkat dikalangan guru.

    Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan proses kenaikan pangkat dilakukan secara telus.

    "Kita dapati ada guru yang merasakan mereka tidak mendapat kenaikan pangkat hanya kerana bertugas di kawasan pedalaman," katanya sewaktu berucap dalam pertemuan bersama warga pendidik daerah Hulu Selabgor, di sini hari ini. - Utusan.

    Renungan Jumaat - 24 Ciri Guru Yang Perkasa

    24 Ciri Guru Yang Perkasa
    1. punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
    2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
    3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
    4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
    5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
    6. menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran
    7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan muzikal dan kebudayaan
    8. .melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
    9. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
    10. adil dalam menilai dan menggred
    11. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
    12. bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
    13. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
    14. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
    15. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
    16. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
    17. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.
    18. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
    19. seorang yang 'dahagakan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
    20. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
    21. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
    22. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
    23. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
    24. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas