Thursday, November 21, 2013

Puisi : Menunggu Pelepasan


Iklan Pemangkuan Guru Besar mengikut syarat baru untuk tahun 2014

Iklan Pemangkuan Guru Besar berasaskan syarat-syarat baru telahpun keluar dan dilaksanakan melalui Modul Penggantian Pemimpin Sekolah (MPPS) di bawah Sistem Kenaikan Pangkat (ePangkat). ePangkat juga digunakan untuk permohonan bagi naik pangkat secara  TBBK. Kemungkinan pada masa depan semua urusan permohonan akan menggunakan ePangkat. Oleh itu para guru hendaklah sentiasa update data dan selalulah menjengah ePangkat.

Antara syarat baru dalam pemilihan Guru Besar ialah:

1. Telah dinaikkan pangkat ke DGA32  atau sekurang-kurang 5 tahun Gred DGA29
2. Lulus NPQEL / NPQH
3. Mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pengalaman berkhidmat sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran / Ketua Bidang / Penolong Kanan / jawatan-jawatan pentadbiran di PPD / JPN / Bahagia / IAB / IPG / KM
4. Sekurang-kurangnya  (3) tiga tahun tempoh perkhidmatan sebelum bersara
5. Melepasi tahap kesihatan yang memuaskan ( Perenggan 9, PP Bil 1/2013)

Lain-lain syarat dan tatacara permohonan sila  KLIK

Tarikh tutup permohonan : sebelum atau pada 15 Disember 2013 (Ahad)



Saturday, November 16, 2013

Sembang Sabtu : Derita dan pengorbanan di sebalik kejayaan



Kuala Lumpur: Mereka melangkah masuk ke sekolah masing-masing semalam dengan penuh debaran, tetapi beberapa ketika kemudian, beredar sambil tersenyum lebar.

Wajah masing-masing girang ketika melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, namun di sebalik kejayaan yang dilakar, tersembunyi pelbagai kisah yang boleh dijadikan teladan.

Di Kota Bharu, Amir Zuhaidi Razali, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh yang menghidap penyakit saraf akibat dilanggar lari ketika berusia enam tahun, tidak menjadikan kekurangan fizikal dan kewangan penghalang untuknya mendapat 5A.

“Saya sangat bangga dan menghadiahkan kejayaan ini buat ayah yang sanggup berulang-alik menghantar saya ke sekolah,” kata anak tukang rumah ini sambil menambah, walaupun sukar menulis dan tidak dapat aktif seperti rakan lain, dia tetap menguatkan semangat apatah lagi hanya mampu memperoleh 3A 2B dalam percubaan lalu.

Di Shah Alam, kehidupan serba kekurangan dalam komuniti Orang Asli tidak menghalang Anisa Yahya dari SK Asli Bukit Cheding, muncul anak Orang Asli tunggal di Selangor mendapat 5A.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu tidak menyangka mampu cemerlang kerana jarang mengulangkaji di rumah.
“Untuk berjaya, saya mengamalkan sikap rajin bertanya apa yang tidak difahami, sentiasa memberi sepenuh perhatian apa yang diajar dalam kelas dan belajar secara berkumpulan,” katanya bercita-cita menjadi pereka fesyen.

Di Port Dickson, Choi Kee Fong, 12, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi calon tunggal UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Siliau dan berjaya pula mendapat 7A, kali pertama dalam sejarah sekolah berkenaan yang ketika ini hanya mempunyai 11 murid dari Tahun Satu hingga Enam.

Anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan pekebun sayur di Lukut ini, berkata banyak keistimewaan menjadi calon tunggal kerana dia yang diajar tujuh guru, mendapat tumpuan eksklusif dalam kelas walaupun tiada teman sekelas untuk belajar bersama.

Di Alor Setar, beban penyakit buah pinggang sejak usia dua tahun yang memaksa Muhammad Zaim Mohd Zaidi, 12, sering bercuti sakit, langsung tidak menghalangnya memperoleh 5A, sekali gus muncul antara 43 pelajar cemerlang di Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) di sini.

“Saya sering ponteng kerana sakit, terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam ketika di rumah. Saya bersyukur kerana rakan sekelas serta guru banyak membantu memberi tunjuk ajar.

Saya sebenarnya tidak mahu memberi alasan sakit dan gagal dalam UPSR,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.

Demikianlah antara catatan wartawan akhbar yang membongkar penderitaan dan pengorbanan di sebalik kejayaan murid-murid yang kurang bernasib baik ini. Sewajarnya ibubapa dan anak-anak sempurna yang kurang berjaya mengambil pengiktibaran di atas kejayaan mereka. Sebagai manusia yang sihat dan sempurna kita sepatutnya rasa malu dan tercabar dengan kejayaan mereka. 

Kalau mereka yang bermasalah kesihatan boleh berjaya mengapa kita yang Allah beri kesihatan yang baik dan fizikal yang sempurna tidak boleh berjaya.Di mana silap kita ? Adakah pancaindera yang Allah kurniakan kita tidak manafaat secara maksima ?Ingat pesan orang tua, yang bulat tidak datang menggolek,yang leper tidak datang melayang, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat saguynya. Kejayaan boleh menjadi milik siapa sahaja yang rajin,bersemangat,sabar,cekal,gigih dan berusaha keras. 

Agenda memulakan kejayaan bagi anak-anak kita bukannya bermula tahun depan. Ia sepatutnya bermula sekarang. Anak-anak kita di Tahun 3, 4, 5 yang bakal naik Tahun 4,5,6 tahun depan sewajarnya memanafaatkan cuti panjang sekarang memulakan visi dan misi mereka. Kita sebagai ibubapa perlu menyokong dan mengawalselia anak-anak semasa cuti ini dengan menggunakan masa seoptima mungkin untuk pembelajaran. Jadikan kisah kejayaan anak-anak UPSR tahun ini sebagai pendorong mereka. 

Sementara itu anak-anak yang kurang berjaya UPSR 2013 mempunyai visi dan misi besar untuk menebusnya pada PMR dan SPM tahun-tahun mendatang. Buktikan bahawa anda sememangnya hebat. Jangan sesekali mengulangi kesilapan yang sama seperti UPSR tahun ini. Nabi SAW mengingatkan kita bahawa " Orang yang paling bodoh antara kamu ialah mereka mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali".

Belajar merupakan pelaburan dan pengorbanan jangka panjang. Kita terpaksa berkorban masa seronok sekurang-kurangnya 16 tahun  dari sekolah rendah hingga berjaya keluar dari universiti. Kita terpaksa bersekang mata, menghadiri pelbagai aktiviti, buat assigment, menjawab soalan peperiksaan dan sebagainya. Namun pengorbanan itu amat berbaloi jika berjaya dan memperolehi kerjaya yang baik. 

Kita dan keluarga kita akan senang kemudiannya hingga selepas kita mati. Bayangkan jika kita berumur 24 tahun mula bekerja tahun-tahun selepas itu adalah masa seronok untuk hidup senang dan bermaruah. Namun jika masa belajar 16 tahun kita gunakan untuk seronok maka kita bersedialah memikul jerih-perih kehidupan selepas itu hingga kita mati.

Masa lalu sudah menjadi sejarah. Masa sekarang dan masa akan datang kita cipta sejarah diri kita. Rebut peluang dan ruang yang ada. Jadikan masa cuti permulaan gerakan membangunkan kecemerlangan diri. Insyaallah. Selamat bercuti....

Friday, November 15, 2013

Renungan Jumaat : Mensyukuri nikmat kejayaan

Kita baru sahaja mengetahui keputusan UPSR bagi 2013. Keputusan UPSR 2013 mengikut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Seri Abd. Ghafar Mahmud, merupakan yang terbaik sejak empat lalu. Seramai 42,646 daripada 466,167 calon telah mendapat 5A. Seluruh anak, ibubapa, para guru dan pimpinan masyarakat diceruk rantau seluruh negara masih meraikan kejayaan tersebut.

Tentunya bermacam-macam cara bagaimana kita meraikan rasa kesyukuran ini. Mungkin ada kalangan kita bersujud syukur setelah mendapat berita kejayaan anak-anak mereka. Ada yang menunaikan solat hajat ataupun mengadakan majlis-majlis kesyukuran di atas kejayaan anak didik dan anak-anak mereka. 

Selain itu tentu ada pelbagai acara, hadiah dan seumpamanya bagi meraikan kejayaan dan menyatakan kegembiraan atas kejayaan ini. Islam tidak menegah umatnya untuk meraikan kejayaan sebagai penyataan syukur namun biarlah tidak membazir dan melanggar batas-batas sempadan yang ditetapkan.

"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".( Ibrahim; 7)

Kepada anak-anak yang menerima kejayaan janganlah ego dan sombong. Kejayaan UPSR adalah permulaan dan banyak lagi cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuh. Pengalaman dan sejarah telah membuktikan ada calon-calon yang cemerlang UPSR tetapi bila sampai PMR dan SPM mereka tidak dapat mengekalkan momentum itu. Justru itu sewajarnya anak-anak yang berjaya mengali pengiktibaran dari usaha mereka bagaimana mereka boleh berjaya. Bukan sahaja usaha keras sebagai kunci tetapi juga strategi-strategi lain yang dilaksanakan termasuk tidak tinggal sembahyang serta doa yang berterusan. Inilah bekal untuk mereka terus melonjakkan kecemerlangan masa depan.

Sementara kepada ibubapa dan pelajar yang kurang berjaya jangan sesekali berputus asa. Tidak cemerlang UPSR bukan bermakna mereka telah gagal dalam kerjaya dan hidupnya. Bukan. Itu satu pegangan yang salah. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri kadang-kadang anak-anak lelaki agak lambat "speed"nya. Anak lelaki penulis hanya mendapat 1A4B dalam UPSR, 1A5B2C dalam PMR, 2A5B1D1E dalam SPM dan 1B1D+2C+1D dalam STPM dan kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di salah sebuah pusat pengajian tinggi.

Sewajarnya jika anak kita kurang cemerlang kita bersabar dan redha serta mencari sebab mengapa mereka kurang cemerlang dan mendorong mereka. Kadang-kadang kita hanya nampak keputusan peperiksaan sebagai kejayaan. Kita tidak nampak anak kita sembahyang tidak tinggal, tidak hisap rokok, tidak berlumba motor dan berakhlak dan beradab sebagai kejayaan atau faktor-faktor kejayaan mereka kemudian hari. Natijah pendidikan bukan sekadar melahir insan bijak tetapi juga beradab tinggi. Sabda Nabi SAW; “ Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi “ ( Tuhanku telah mendidiku dengan sebaik-baiknya pendidikan).


Sesungguhnya kita sewajarnya menyatakan kesyukuran atas nikmat dan kejayaan yang Allah kurniakan kepada anak-anak kita dengan membimbing dan memimpin mereka menjadi yang terbaik dan yang cemerlang berterusan. Sementara bagi anak-anak yang kurang cemerlang kita perlu bersabar dan redha menerima kegagalan itu dengan mencari pintu dan kunci yang mampu mencetuskan kejayaan pada masa depan. Berusaha dan bertawakkallah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18) 


Thursday, November 14, 2013

Terengganu kekal terbaik UPSR

KUALA TERENGGANU - Terengganu terus unggul dalam pendidikan negara apabila merekodkan keputusan terbaik dan mengatasi pencapaian peringkat nasional dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan serentak, hari ini.

Pencapaian Gred Purata Negeri adalah 2.20 mengatasi pencapaian Gred Purata Nasional, 2.27.


Terengganu turut mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) yang melibatkan lima subjek, iaitu bahasa Melayu (BM) Pemahaman Sekolah Kebangsaan (SK), bahasa Inggeris (BI) (SK), Sains, BM Pemahaman Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan BI SJKC.


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin, berkata dari segi GPN, pencapaian keseluruhan calon UPSR tahun ini meningkat 0.01 mata GPN kepada 2.20 berbanding tahun lalu.


“GPN ini juga mengatasi pencapaian peringkat nasional yang mencatat 2.27. Sementara pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A pula meningkat sebanyak 0.78 peratus, iaitu daripada 13.22 peratus pada tahun lalu kepada 14.00 peratus pada kali ini.


“Peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik dengan minimum gred C bagi semua mata pelajaran juga meningkat 0.2 peratus kepada 69.1 peratus berbanding tahun lalu,” katanya di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.


Encik Zakaria berkata, negeri ini juga menunjukkan peningkatan dalam peratusan calon yang memperolehi pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum sebanyak 0.07 peratus kepada 3.58 peratus pada tahun ini.


Katanya, sebanyak 21 sekolah menunjukkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok Model Khas, Setiu (1.14) merekod keputusan terbaik di seluruh Terengganu.


Sekolah lain termasuk SK Kuala Berang (1.17), SK Teris (1.20), SK Dusun, Hulu Terengganu (1.26), SK Paya Bunga (1.36), SK Binjai Kertas (1.37), SK Seri Berang (1.37), SK Kemat (1.40), SK Lubok Teras, Setiu (1.43), SK Tapu (1.46) dan SK Kuala Kubang, Besut (1.47).


”Alhamdulillah prestasi UPSR kali ini terus meningkat. Walaupun peningkatannya kecil, kita tetap bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pencapaian prestasi keseluruhan UPSR 2013 di seluruh Terengganu.


“Insya-Allah kecemerlangan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun hadapan. Saya mewakili warga pendifikan negeri mengucapkan setinggi-tinggi pengharagan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan seluruh kepimpinan kerejaan negeri atas bantuan kewangan dan sokongan moral menjayakan aktviti serta program pendidikan selama ini,” katanya.



sumber


Tuesday, November 12, 2013

SK Padang Setengge, Hulu Terengganu mula dibuka Januari depan

HULU TERENGGANU - SK Padang Setengge yang tertangguh beberapa tahun bakal beroperasi mulai sesi persekolahan Januari 2014. Sekolah yang terdiri 12 bilik darjah, makmal, blok pentadbiran dan pelbagai kemudahan gelanggang permainan yang menelan belanja sekitar RM12 juta bakal menerima murid Tahun 1 hingga 5.



Majlis penyerahan sekolah berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama SK Padang Setengge. En. Zakariah Husin, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu dalam ucapannya merasa amat bersyukur kerana sekolah yang begitu lama tertangguh dapat disiapkan dan akan digunakan untuk pendidikan anak-anak. Beliau berkata pihak KPM dan juga kerajaan negeri sentiasa berusaha merapatkan jurang pencapaian dan kemudahan pendidikan bagi anak-anak negeri ini. Selain itu beliau berharap kontraktor Malaysia perlu menjaga kualiti agar kebolehan warga negara ini dihormati oleh mana-mana pihak dan dunia dan pelaburan besar kerajaan dalam bidang pendidikan memberi pulangan yang lumayan melalui kecemerlangan anak-anak belajar di sekolah yang sempurna dan berkualiti.

Turut hadir dalam majlis bersejarah itu Hj. Safruddin Ali Husain,  Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, pegawai JPN Terengganu dan PPDS Hulu Terengganu serta Perunding Arkitek dan kontraktor .Upacara penyerahan sekolah pagi tadi dilakukan oleh Kontraktor kepada Perunding Arkitek. Perunding Arkitek kepada Pengarah Pendidikan Negeri dan Pengarah Pendidikan Negeri kepada Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu.

Pihak jabatan akan menempatkan Guru Besar dan Guru-Guru Penolong Kanan secepat mungkin agar mereka mampu membuat persediaan awal menerima peralatan, perancangan dan pendaftaran murid den gan tersusun dan sempurna. Mereka yang terpilih ke sekolah ini sama ada sebagai pengurus dan pengajar mempunyai visi dan misi besar meletakkan sekolah ini ke tahap yang hebat dan disegani.

Semoga SK Padang Setengge menjadi salah sebuah mercu tanda kegemilangan daerah Hulu Terengganu.



Saturday, November 9, 2013

Sembang Sabtu : Meneka dalam kesamaran

Bagaikan ada kesamaran
di dalam  sinar pengharapan

Puas sudah mencari silapku
Puas sudah meneka hatimu
Tiadaku temui jawapanku yang pasti
yang memberi ketenangan diri

Begitulah sedikit sedutan seni kata lagu "Meneka Dalam Kesamaran" nyanyian Ibno Riza sebagaimana ramai antara kita meneka-neka tentang penambahbaikan kerajaan kepada kakitangan awam dalam Bajet 2014. Lebih-lebih lagi tekaan kaum guru tentang kaedah baru pelantikan Pengetua dan Guru Besar, gaji sebaris guru, gred DG42 dan juga beban tugas menjelang 2014.

Pada 6 November lalu JPA telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 36/2013 mengenai "Penambahbaikan Jadual Gaji Minina - Maksima Gred 1 hingga 54 di bawah Sistem Saraan Malaysia". Teka-teki bahawa kakitangan awam menerima dua kenaikan terjawab di mana dua tanggagaji maksima telah dipanjangkan kepada dua kenaikan lagi bukannya setiap kakitangan awam akan naik dua kenaikan gaji sebagaimana khabar angin. Ini bermakna kakitangan awam yang sudah mencapai tahap maksima berpeluang untuk menikmati kenaikan gaji lagi. Sekaligus mereka yang bersara dapat menikmati faedah persaraan yang lebih baik. Inilah pentingnya sesuatu sumber kuasa yang jelas ada hitam puteh supaya tiada sesiapa meneka dalam kesamaran yang membawa persepsi buruk kepada mana-mana pihak khususnya kerajaan.

Dalam Sembang Sabtu " Menunggu Perubahan" penulis ada menyebut bahawa pelantikan Pengetua dan Guru Besar yang ada NPQEL akan hanya berlaku pada 1 Julai 2014. Nampaknya apa yang penulis jangka adalah benar. Difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telahpun menyampaikan taklimat kepada semua wakil negeri minggu lepas. Di samping syarat-syarat asas yang lama , NPQEL dan tahap kesihatan juga diambil kira dalam syarat baru. Proses kerja permohonan, pemilihan, temuduga dan latihan dijangka akan bermula dalam bulan November ini hingga Jun 2014. Senarai bersih pelantikan akan digunakan mulai 1 Julai 2014. Difahamkan juga iklan untuk urusan ini akan disiarkan melalui e-pangkat.

Apa yang masih belum jelas dan samar-samar adakah mereka yang menjadi Guru Biasa dan GPK yang telah mempunyai ijazah dan telah memiliki NPQEL/NPQH layak untuk memohon kerana setakat ini kita belum menemui sumber kuasa jelas bahawa perjawatan hakiki Guru Besar khususnya boleh diisi oleh siswazah. Jika ada kami akan kongsikan. Selain dari itu, kepada mereka yang bakal dilantik sebagai Guru Besar mulai sekarang hingga Jun 2014 jangan banyak kerenah dan menolak bila tawaran dibuat yang mungkin jauh sedikit kerana inilah generasi terakhir mungkin yang belum terikat dengan syarat-syarat baru pelantikan Guru Besar. Bahkan adalah tidak logik dan adil kepada kawan-kawan kita yang terdahulu sanggup menyeberang daerah untuk menerima pelantikan Guru Besar sedangkan kita hanya mahu sekolah berhampiran rumah kita.Inilah masa mereka untuk kembali berkhidmat ke daerah asal bila ada kekosongan.

Kita amat berharap bahawa pelan pengantian pemimpin sekolah dilaksanakan dengan teliti, telus dan adil agar tidak ada yang teraniaya dan terlepas pandang. Kita percaya jika urusan ini dilaksanakan secara telus dan bersama PPD dan JPN secara kolektif semua pihak merasa puashati dan momentum kecemerlangan pendidikan di sekolah terus bergerak tanpa sebarang masalah.

Kita juga berharap program Prime yang melatih bakal Guru Besar dapat menyediakan Guru Besar yang berpengetahuan dan berkemahiran. Cuma kurang seronoknya ramai yang meneka dalam kesamaran mengenai sekolah mana mereka bakal ditempatkan. Bahkan sesetengah guru di sekolah menghitung-hitung dan spekulasi yang penuh kesamaran menjangka sianu-sianu ke sekolah mereka.

Kita berharap calon Guru Besar lebih matang dan bijak untuk memahaminya. Secara mudahnya mereka yang terpilih mengikuti Prime adalah mereka yang telah termasuk dalam senarai pemangkuan dan diluluskan panel JPN sekolah mana yang bakal ditempatkan. Oleh kerana masih belum ada apa-apa penyelarasan mengenai penempatan atau program sandaran dengan IAB maka kita akan tawarkan penempatan mengikut prosidur biasa  tawaran kenaikan pangkat. Kita harap tiada yang menolak kerana tuan/puan adalah generasi terakhir dalam sistem naik pangkat Guru Besar mengikut kaedah lama.

Mengenai gred DG42 dalam perkhidmatan pendidikan ianya masih belum jelas. Cuma ada yang mengatakan Skim Gaji Bersepadu Guru dijangka dilaksanakan pada 1 Jan 2014. Sejauh mana benar dan sahnya belum pasti. Kita masih meneka dalam kesamaran.

Walau apapun perubahan yang bakal berlaku kita sentiasa mendoakan yang terbaik khususnya untuk warga guru.  Bukan sahaja soal gaji dan peluang naik pangkat tetapi juga soal perkhidmatan, kebajikan serta beban tugas juga perlu diambil kira. Dan atas nama guru kita berharap sikap dan tindakan kita mesti penuh kebijaksanaan dan profesional. Jangan meneka dalam kesamaran. Biar jelas ada hitam putih tahi cicak.


Keputusan UPSR 14 Nov.



KUALA LUMPUR 7 Nov. - Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikeluarkan pada 14 November ini.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataannya berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka dari sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari tersebut.

"Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR melalui mySMS pada talian 15888.
"Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi, 14 November (Khamis) dan ditamatkan pada 11.59 malam pada 20 November," kata kenyataan itu.

Pada tahun ini, seramai 478,848 calon menduduki UPSR di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara

Sumber : Utusan Malaysia online

Thursday, November 7, 2013

Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum Gred 1 hingga Gred 54 Di Bawah Sistem Saraan Malaysia


Jabatan Perkhidmatan Awam telah memuatnaik ke dalam portal JPA Pekeliling Perkhidmatan Bil 36/2013 yang menerangkan mengenai "Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum Gred 1 hingga Gred 54 Di Bawah Sistem Saraan Malaysia"

Berdasar pekeliling ini penetapan gaji minima dan maksima baru telah dibuat di mana dua tanggagaji baru ditambah untuk gaji maksima. Mereka yang telah berada pada gaji terakhir akan terus menerima kenaikan gaji untuk dua tahun lagi. Lihat contoh di bawah bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau guru:





 Download pekeliling melalui link di bawah:
 http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2013/pp362013.pdf


Wednesday, November 6, 2013

Maklumat penting pengemaskinkian E-Operasi

Kepada semua Penyelia Kanan Pengurusan PPD, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan serta para guru.....

1. Kemaskini data guru hendaklah dilaksanakan mengikut prosidur biasa. Guru mengemas data mereka,  GPK menyemak dan Guru Besar membuat pengesahan.

2. Sekolah boleh memuat turun, mencetak dan mempamirkan sijil Perjawatan 2013 melalui E-Operasi

3. Pihak sekolah (Guru Besar) mesti mengemaskini kedudukan kelas sekarang, jumlah murid dan subjek elektif untuk penentuan Perjawatan 2014

Sekian, terima kasih