Friday, June 22, 2012

Bekerja Secara Ihsan (Siri akhir)



Impak  Ihsan dalam bekerja. 

Ihsan dalam bekerja akan memberikan impak atau hasil berbagai-bagai  dan manfaat yang besar, baik di dunia maupun di akhirat . Di antaranya adalah: 

  • Meraih kecintaan dari Allah SWT. Firman Allah " Dan berbuatlah ihsan. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan"(al-Baqarah:195)
  •  Meraih pahala yang besar dari Allah Ta'ala. Firman Allah " Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat ihsan" (as-Sh-Shaffat:121)
  • Penyertaan Allah. Seorang yang bekerja secara ihsan akan senantiasa mendapatkan pertolongan dan penyertaan dari Allah SWT sebagaimana firmannya " Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari keridhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat ihsan".(al-Angkabut:69)
  •  Ketenteraman batin. Apabila seseorang bekerja dengan ihsan maka hatinya akan tenteram kerana dia merasa telah melaksanakan apa yang menjadi kewajipannya dengan sebaik-baiknya. Berbeda dengan orang yang berbuat curang dan khianat dalam menjalankan tugas-tugasnya, maka akan muncul perasaan takut dan cemas, kalau-kalau perbuatan curangnya diketahui oleh pihak atasan atau rakan sekerjanya sehingga boleh membawa kepada pemecatan, pemotongan gaji dan sebagainya.
  • Seorang yang bekerja secara ihsan akan senantiasa mampu menciptakan kejayaan demi kejayaan, sehingga dia menjadi seorang yang mulia di sisi Allah dan di sisi masyarakat kerana dia telah berusaha dengan sebaik-baiknya sehingga dia akan mendapatkan pahala yang besar dari Allah dan juga menjadi teladan kebaikan kepada orang lain kerana dia telah berjaya dalam melakukan berbagai-bagai usaha yang dijalankannya. 

Thursday, June 21, 2012

Selamat Bersara Guru Besar SK Kuala Jengal, Dungun




Selamat Bersara Guru Besar SK Bintang, Setiu

Belasah guru


KUALA TERENGGANU: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Chalok, Setiu, menerima lima jahitan di kepalanya apabila dibelasah seorang pelajar tingkatan lima yang berselisih faham dengannya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, guru berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan menegur pelajar berkenaan, menyebabkan remaja berkenaan berang dan bergegas pulang ke rumahnya sebelum mengambil sebatang cota.

Tidak lama kemudian, pelajar berusia 17 tahun terbabit kembali ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya bersama abangnya berusia 21 tahun dan seorang rakan abangnya berusia lingkungan 20-an.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, berkata pelajar itu kemudian terus memukul gurunya di bahagian kepala dengan cota berkenaan menyebabkan guru lelaki terbabit rebah dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

Beliau berkata, orang ramai termasuk pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kejadian kemudian membantu meleraikan pergaduhan itu dan guru berkenaan dikejarkan ke Hospital Setiu.


“Akibat kecederaan itu, guru berkenaan menerima lima jahitan di kepala. Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada petang kejadian.

“Susulan laporan itu, polis menahan pelajar bersama dua lelaki terbabit. Siasatan kita juga mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau rekod jenayah lampau,” katanya.

Rohaizat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ketiga-tiga suspek direman tiga hari bermula semalam.


Sumber : Harian Metro

USR Blogger Team : Perkara yang tidak sepatutnya berlaku tapi semakin kerap menimpa guru. Apakah menjadi guru satu kerjaya yang sudah tidak selamat dan mulia lagi ?


Wednesday, June 20, 2012

Kaunter baru Unit Sekolah Rendah

Alhamdulillah kaunter yang diimpikan telah siap dibina semalam. Para pelanggan yang ingin berurusan di Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Terengganu bolehlah berurusan melalui kaunter ini. Namun jika ada kes-kes yang sulit, penting dan mustahak mereka boleh berurusan dengan pegawai di Bilik Rundingcara di bahagian dalam.

Kita  berharap filisofi untuk " mempermudahkan urusan pelanggan dengan memberi perkhidmatan terbaik" akan menjadi amal praktik setiap staf Unit Sekolah Rendah.


Tuesday, June 19, 2012

Mesyuarat Penyelarasan JK Pengelola Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan

KUALA TERENGGANU - Semua sudah bersiap sedia. Begitulah dari laporan yang diterima dalam Mesyuarat Penyelarasan JK Pengelola Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan petang tadi. Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah diadakan di SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu yang juga merupakan tuan rumah kejohanan yang akan berlangsung 24 - 28 Jun 2012 depan.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, Pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah, Wakil MSSM Terengganu, Pengetua dan GPK SMKA Sheikh Abdul Malik dan ahli jawatankuasa terlibat. Cikgu Mohd Nor Ismail, GPKK Sheikh Abdul Malik yang juga selaku Pengurus Kejohanan menyampaikan taklimat dari pelbagai aspek dengan lengkap dan sempurna.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah yang berpuashati dengan persiapan mengajak semua jawatankuasa supaya berazam untuk melaksanakan penganjuran ini  dengan terbaik dan mencapai standard tinggi pengurusan dan penganjuran. Perasmian penutup dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi) pada petang 27 Jun 2012.

Kita berharap, berusaha dan berdoa kalau minggu lepas pada Kejohanan Kebitaraan Olahraga SKK Kebangsaan di Kota Kinabalu, SMK Sultan Sulaiman merangkul naib juara maka pada Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan yang julung kali ini, SMKA Sheikh Abdul Malik bukan sahaja merangkul juara tetapi juga menjadi benchmark penganjuran terbaik kejohanan kebitaraan. Kita yakin Terengganu boleh !



Tahniah GPK SKK Fasa 1 - Fasa 3

 Tahniah ! Barisan GPK SK Sultan Sulaiman 1 
yang menerima kenaikan pangkat ke DGA34.

KUALA TERENGGANU - Hari telah terbukti janji kerajaan dan KPM untuk melaksanakan kenaikan pangkat khas pengurusan di SKK di mana Guru Besar diberi gred hakiki DGA38 dan semua GPK diberi gred hakiki DGA34. Urusan ini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan terkini untuk SKK Fasa 1 hingga Fasa 3.

Pagi ini En. Zakaria Hussin, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu telah menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada Guru-Guru Penolong Kanan SKK, SK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang (SKK Fasa 2) dan SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu (SKK Fasa 3). SK Sultan Sulaiman 1 kini telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Semua SKK Rendah dan Menengah, PPD dan beberapa orang Ketua Sektor menerima surat kenaikan pada pagi ini. Tahniah kita ucapkan.

Kita berharap kenaikan pangkat melalui laluan istimewa ini memberi dorongan kepada semua calon SKK Rendah dan Menengah yang sedang diverifikasi oleh Jemaah Nazir & Jaminan Kualiti sekarang untuk melaksanakan yang terbaik. Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakan-rakan kita mampu menyediakan diri mereka dengan terbaik dan seterusnya menambah bilangan SKK Terengganu Anjung Ilmu.


Selamat Bersara Guru Besar SK RKT Seberang Tayor



Pertukaran dan Penempatan Guru Besar & GPK kuatkuasa 16 Jun 2012

KUALA TERENGGANU - Terima kasih kami ucapkan kepada pengunjung blog ini yang amat peka dan perihatin mengenai pertukaran pengurusan sekolah ini. Setelah kita menyiarkan Guru Besar dan GPK bertukar pada 1 dan 16 haribulan ramai yang tertunggu tarikh ini sama ada mereka yang sedang menyandang jawatan atau yang bakal dilantik. Apapun penyiaran senarai ini hanyalah sekadar makluman atau backup kepada surat rasmi kepada penyandang terlibat. Justru itu ianya disiar agak lewat sedikit dari tarikh kuatkuasa dengan keyakinan bahawa surat rasmi telah sampai ke tangan penerima dan tiada apa-apa perubahan atau pindaan lagi.

Walau bagaimanapun tahniah kami ucapkan kepada penyandang yang baru dilantik sebagai Guru Besar ataupun GPK. Untuk makluman hingga kini kita masih belum menerima senarai pemangkuan DGA32 ke DGA34 untuk pengisian Guru Besar bagi mengisi jawatan-jawatan Guru Besar yang dikosongkan. Kita berharap senarai berkenaan akan diturunkan dari Lembaga Naik Pangkat KPM dalam masa yang terdekat agar kita dapat mengisi semua perjawatan Guru Besar.

Kepada semua yang baru dinaikkan pangkat atau bertukar ke sekolah baru diucapkan " Selamat Bertugas" . Semoga kehandiran anda memberi impak kepada kecemerlangan sekolah. Surat-surat pertukaran dan tawaran boleh diperolehi di PPD masing-masing.

Klik Guru Besar dan GPK untuk melihat senarai lengkap.

Monday, June 18, 2012

Pemantauan Pengurusan Sekolah SK Pulau Perhentian

BESUT - Unit Sekolah Rendah telah melaksanakan pemantauan pengurusan sekolah di SK Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pagi tadi. Rombongan terdiri daripada pegawai Unit Sekolah Rendah dan Penyelia Kanan PPD Besut diketuai oleh En.Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Terengganu. Mereka tiba di Pulau Perhentian petang semalam.

SK Pulau Perhentian adalah antara salah satu sekolah yang di kategori sebagai sekolah pedalaman di mana setiap guru dan kakitangan yang berkhidmat di sini menerima elaun khas pedalaman RM500 sebulan. Perjalanan dengan bot laju dari jeti Kuala Besut ialah 15 hingga 20 minit.

Banyak perubahan telah berlaku berbanding dengan lawatan kami terdahulu. Guru-guru nampak lebih ceria dan bersemangat di bawah pimpinan Guru Besar yang baru. Dua blok kuaters guru baru tersergam mengadap teluk antara Pulau Perhentian Kecil dan Taman Laut Pulau Perhentian Besar.

Ketua Sektor dalam taklimatnya  melahirkan rasa penghargaan terima kasih kepada semua warga sekolah dan mahu mereka melihat sudut pandang positif mengapa Allah mentakdirkan mereka mengajar di SK Pulau Perhentian. Beliau juga berbangga dengan ikatan dan kerjasama antara guru dan penglibatan guru dalam komuniti pulau. Beliau mahu semua guru sentiasa positif dan memberi khidmat terbaik kepada anak-anak pulau. Kemiskinan bukan alasan jitu untuk mengatakan anak-anak pulau tidak boleh berjaya. Tegas beliau YB Ecxo Kesihatan Negeri Terengganu adalah contoh personaliti unggul anak Pulau Perhentian yang berjaya.