Wednesday, June 6, 2012

Pengorbanan seorang adik.


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.


Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua
kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!." Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat
pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria

Tuesday, June 5, 2012

Rilek : Sentiasa dilihat dan dirakam


Ada orang mendakwa kononnya kenapa pelajar dilarang bawa handphone kerana guru takut perbuatannya mendera atau memukul pelajar atau salahlaku guru dirakam untuk jadi bukti. Heheheh...sebenarnya guru
yang baik tidak pernah takut dirakam atau dilihat kerana mereka sudah biasa dan sedar setiap detik mereka sentiasa dilihat dan dirakam segala tingkahlaku dan perbuatannya oleh jururakam Allah SWT - Raqib dan 'Atid.
Tidak suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir” (QS. Qaaf : 18)
  

Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Di Setiap Negeri


PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) - Kementerian Kesihatan akan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat di setiap negeri untuk mengatasi masalah gangguan mental dan kemurungan yang kian meningkat di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pusat itu akan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan awal tanpa sebarang stigma.

"Rawatan awal adalah penting agar dapat sembuh lebih cepat. Kalau tidak dirawat, pesakit bakal menghadapi kemurungan teruk sehingga cuba bunuh diri," katanya pada satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental pada Isnin.

Liow berkata kadar bunuh diri di negara ini kian meningkat dengan lebih 1,000 kes dilaporkan dalam tempoh tiga tahun.

Berdasarkan kajian bagi tahun 2007 hingga 2010, beliau berkata nisbah semasa kes bunuh diri di negara ini ialah 1.3 bagi setiap 100,000 orang.

-- BERNAMA


USR Blogger Team : Gangguan mental sudah menjadi satu fenomena yang mengerikan kehidupan kita. Kakitangan awam seperti guru juga tidak terlepas daripada sindrom ini. Laporan-laporan berkaitan guru mendera atau memukul murid kerana stress,naik darah dan sebagainya adalah antara ciri-ciri gangguan kepada kesihatan mental .Kesihatan mental ialah kebolehan menyelesaikan masalah, memenuhi kebolehan seseorang untuk menyayang dan bekerja,menyesuaikan diri dengan krisis dan mengekalkan tahap sihat / well being.

Dapatkan rawatan segera jika anda menghadapi masalah. Jangan terikat dan terpenjara dengan masalah. Tiada penyakit yang tiada ubat. Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian. Hendak seribu daya mahu seribu cara.



Sunday, June 3, 2012

Sentiasa tinggi di mata yang menyintai !


Suatu hari seorang penceramah terkenal membuka seminarnya dengan cara yang unik.
Sambil memegang wang RM100, dia bertanya kepada hadirin,

“Siapa yang nak duit ini?”.

Kelihatan ramai penonton angkat tangan menunjukkan ramai yang minat.

“Saya akan berikan ini kepada salah seorang dari anda , tapi sebelumnya perkenankanlah saya buat ni dulu.”

Dia berdiri mendekati hadirin. Wang itu diramas-ramas dengan tangannya sehingga renyuk.
Lalu bertanya lagi,

“Siapa yang masih mahu duit ini?”

Jumlah tangan yang mengangkat tak berkurang.

“Baiklah,” jawabnya,

“Apa jadinya bila saya melakukan ini?”

Ujarnya sambil menjatuhkan wang itu ke lantai & melenyek-lenyekkan dgn kasutnya. Meski masih utuh, kini wang itu jadi amat kotor,lusuh dan amat renyuk.

"OK, sekarang masih ada yang berminat?”.

Tangan-tangan yang angkat ke atas masih tetap banyak.

Hadirin sekalian, Anda baru saja menghadapi sebuah pelajaran penting. Apapun yang terjadi dengan wang ini, anda masih berminat kerana apa yang saya lakukan tidak akan mengurangi nilainya.

Biarpun renyuk,lusuh dan kotor, wang ini tetap bernilai RM100 juga..

Dalam kehidupan ini, kita pernah beberapa kali terjatuh, terkoyak, dan dipenuhi kotoran akibat keputusan yang kita buat dan situasi yang menerpa kita dalam sesuatu keadaan dahulu.

Dalam keadaan seperti itu, kita merasa tak berharga, tak bererti.
Padahal apapun yang telah dan akan terjadi, anda tidak pernah akan kehilangan nilai di mata mereka yang mencintai anda, lebih-lebih lagi di mata Tuhan yang maha penyayang maha pengasih.

Jadi walau bagaimana kotor pun anda, kita masih mempunyai nilai yang tersendiri. Sayangilah diri anda, bertaubat jika membuat dosa, terus berusaha jika gagal kerana diri kita sebenarnya amat berharga. Dan amat berharganya kita kerana masih diberi akal sihat dan nafas untuk hidup. Percayalah jika keduanya telah mati RM1.00 pun tiada siapa yang ingini.

Dan jangan terlupa kita adalah makhluk Allah yang di pandang sama, hanya iman dan takwa yang membezakan kita.
 
adaptasi : MalaysiaRia.com

Dua pelajar sekolah teknik lemas di Air Terjun Sekayu


HULU TERENGGANU: Dua pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu mati lemas di Air Terjun Sekayu di sini hari ini.

Mereka ialah Mohd Azrul Azmir Maidin dan Mohd Hanif Izuddin kedua-duanya bermur 17 tahun dan berasal dari Seberang Takir dan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Mangsa pergi ke air terjun itu bersama enam lagi pelajar sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi.

Seorang rakan mangsa, Mohd Arif Harun berkata pada mulanya Mohd Azrul Azmir yang turun mandi dan tiba-tiba dihanyutkan arus.

Mohd Hanif cuba membantunya tetapi dia juga lemas di dalam air sedalam tujuh meter itu.

Mohd Arif berkata, kejadian itu kemudiannya dimakumkan kepada pihak bomba dan penyelamat yang menemui mayat kedua-duanya kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi di celah batu di dasar air terjun itu.

Ketua Operasi Bomba Hulu Terengganu, Khairul Anwar Bidin berkata kawasan tersebut tidak dibenarkan untuk mandi-manda. - BERNAMA


Rilek : Petua dan cara elak kemalangan jalan raya

Musim cuti sekolah ini banyak sekali kenderaan di jalan raya. Bandar-bandar utama penuh sesak dengan kenderaan. Kat kedai tepi jalan yang sedap , tersadai deretan kenderaan. Huh, rimas juga kadang-kadang. Tekanan semasa memandu agak tinggi musim ini. Statistik kemalangan juga meningkat. Jika tekanan di dalam kenderaan dan di luar kenderaaan yakni di jalan raya tidak berupaya dikurangkan, tendensi untuk berlaku kemalangan pasti tinggi.

Gambar di bawah ini satu kaedah mengurangkan tekanan dan mengelakkan kemalangan..heheh cubalah.



Saturday, June 2, 2012

Bertuahnya menjadi penjawat awam

" Cikgu boleh tuntut balik tambang, makan-minum dan perkara yang dibenarkan oleh pekeliling" , kata Ayu, Pembantu Tadbir Kewangan di jabatan aku. " Surat arahan dari doktor HSNZ  merujuk cikgu ke IJN sudah menjadi sumber dokumen sokongan dan cikgu boleh bawa seorang pengiring", tambah Ayu sambil memandang aku.
"Terima kasih Ayu atas penerangan ini. Saya kurang jelas hal ini selama ini", balas aku dengan sedikit terharu.

Bila kembali ke pejabatku sambil bersandar aku menyorot kembali masa silam. Masa mula berkhidmat sebagai guru dengan gaji RM585.00 (kelulusan HSC) dan gaji terakhir skim sekitar RM1,305. Kini gaji dah mencecah angka lima di depan. Syukur, biarpun tidak mewah tapi boleh tanggung anak isteri belajar sampai universiti. Cukup makan pakai kami sekeluarga. Dapat beli rumah dan kereta. Semuanya berkat kerja sebagai penjawat awam atau kakitangan awam.

Seingat aku sejak dikesan menghadapi masalah jantung akhir tahun 2008 dah banyak kali ke hospital dan entah berapa banyak ubat jantung yang mahal-mahal aku dapat. Sudah dua kali buat engiogram.Mengikut maklumat yang aku dengar kalau dekat hospital swasta sekali buat angiogram mahu berbelas ribu. Malah Dr. Zulkifli, Pakar Jantung HSNZ semasa mencabut jarum tempat buat angiogram di paha aku bercakap dengan beberapa doktor yang sedang buat pengajian lanjutan aku dengar beliau berkata kalau dekat hospital swasta bayaran untuk doktor yang buat angiogram ialah RM1,900.00 seorang. Kata beliau lagi bayaran untuk tekan tempat angiogram  agar darah berhenti dan stabil RM200.00 selama 10 - 15 minit sahaja. Begitu juga bayaran jika menggunakan khidmat kepakaran di IJN begitu tinggi.

Walau bagaimanapun hingga saat ini aku belum pernah mengeluarkan satu senpun. Semua kerana sekeping kertas yang dikenali sebagai surat jaminan a.k.a  " guarantee letter". Surat yang memperakusahkan bahawa aku sebagai kakitangan awam atau pegawai kerajaan. Alhamdulillah, syukurlah kerana aku diberi peluang dan diambil berkhidmat sebagai kakitangan awam oleh kerajaan. Kalau tidak, tak tahulah bagaimana aku mahu cekau mencari wang sebanyak itu.

Banyak lagi faedah-faedah yang kita dapat sebagai kakitangan awam. Bersyukur sesiapa yang dilantik sebagai kakitangan awam kerana sekali anda dilantik faedah,manafaat serta nikmatnya akan berakhir hingga ke liang lahad. Tidak kira apa pangkat, jawatan dan gaji anda, sebagai kakitangan awam anda berhak menikmati faedah dan manafaat yang kerajaan sediakan.

Apa yang penting sebagai imbalan daripada faedah-faedah itu apakah kita telah memberi perkhidmatan dan kesetiaan terbaik dan setimpal dalam melaksanakan amanah kerajaan atau "goverment on the day". Sesungguhnya jika kebaikan yang kita kerjakan walau sebesar zarah, maka sebesar zarah jugalah kebaikan yang dibalas. Begitulah juga jika kejahatan sebesar zarah kita lakukan maka sebesar zarah juga balasan kejahatan yang bakal diterima. Bersyukurlah dengan nikmat kehidupan yang Allah kurniakan melalui kerjaya kita sebagai penjawat awam.

Selamat Bersara, terima kasih cikgu !



Pelajar bertubuh besar sering dihina guru


 Gambar hiasan
 
SAYA dihina oleh guru lelaki yang tidak menyukai saya. Dia sering mengutuk kerana saya berbadan besar dan tidak aktif dalam sukan.

Hairan kerana dia nyata bersikap memilih bulu meskipun saya berusaha menjadi pelajar baik ketika berada dalam kelasnya. 

Pernah sekali dia memarahi saya dengan perkataan tidak sepatutnya. Ia turut merendahkan martabat saya di depan pelajar lain dalam kelas.

Malah ketika memarahi saya, dia sengaja meninggikan suara supaya semua rakan sekelas mendengar.


Hanya rakan tempat saya mengadu kerana khuatir andai diadukan kepada ibu bapa, lebih teruk saya dikutuk oleh guru itu terang-terangan.


Apabila dibandingkan dengan layanan terhadap rakan lain, tiada pula menerima nasib seburuk saya.

Apalah dosa saya sehingga menjadi tempat melepaskan kemarahan guru?

ROWENA
Parit Buntar, Perak
Jawapan yang diberi:
Bersemuka dengan guru itu secara terang-terangan dan luahkan ketidakpuasan hati mengenai layanan diberi. Terangkan situasi dilihat berat sebelah dan tindakan guru melepaskan kemarahan pada diri saudari dilihat tidak wajar.

Bagai dianaktirikan, saudari mempunyai hak mempersoalkan punca saudari menerima layanan sedemikian. Pada masa sama, ucapkan kata maaf tanda saudari hormatkan dirinya.

Andai dia lebih senang berdiam diri atau terus memarahi saudari, rujuk kepada mereka yang lebih dewasa seperti ibu bapa supaya boleh menasihati guru yang dianggap bersikap keterlaluan terhadap saudari.


sumber : harian metro online 


USR Blogger Team:

Setiap insan guru sewajarnya menghayati Etika Profesion Perguruan dengan mendalam terhadap tanggungjawab-tanggung jawab yang diikrarkan di bawah etika ini. Kita perturunkan segmen tanggungjawab guru kepada murid yang digariskan dalam etika ini.

Tanggungjawab Guru Kepada Pelajar/Murid
  • mengutamakan kebajikan dan keselamatan 
  • adil kepada semua tidak kira siapa mereka  
  • merahsiakan maklumat sulit  
  • membimbing dan mengajar tanpa bayaran  
  • menunjukkan cara berpakaian,pertuturan dan tingkah laku yang boleh dicontohi 
  • memelihara dan memperbaiki kecekapan iktisas dengan pelbagai cara agar bermutu
 Bagaimana pandangan pembaca pula ?


Friday, June 1, 2012

Renungan Jumaat : Doa sang pencinta sejati

Diriwayatkan menjelang Perang Uhud, Abdullah bin Jahsy mengajak sahabatnya, Sa’d bin Abi Waqqash untuk berdoa. Ajakan itu dipersetujui oleh Sa’d. Keduanya mulai berdoa. Sa’d berdoa terlebih dahulu:

“Tuhanku, jika nanti aku berjumpa dgn musuhku, berilah aku musuh yang sangat perkasa. Aku berusaha membunuh dia dan dia pun berusaha membunuhku. Engkau berikan kemenangan kepadaku sehingga aku berhasil membunuhnya dan kemudian mengambil miliknya (sebagai rampasan perang).”

Abdullah mengaminkannya. Tiba giliran Abdullah berdoa:

“Tuhanku, berilah aku musuh yg gagah perkasa. Aku berusaha membunuhnya, dan ia berusaha membunuhku. Kemudian ia memotong hidung dan telingaku. Kalau nanti aku bertemu denganMu, Engkau akan bertanya: ‘Man jada’a anfaka wa udzunaka?’ (Siapa yang telah memotong hidung dan telingamu?). Aku akan menjawab bahawa  keduanya terpotong ketika aku berjuang di jalanMu dan jalan Rasulullah (fika wa fi rasulika). Dan Engkau, ya Allah akan berkata: ‘Kamu benar!’ (shadaqta).”

Sa’d mengaminkan doa Abdullah tersebut. Keduanya berangkat ke medan Uhud dan doa keduanya dimaqbulkan Allah.

Sa’d bercerita kepada anaknya, “Duhai anakku, doa Abdullah lebih baik daripada doaku. Di senja hari aku lihat hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.”

USR Blogger Team : Subhanallah begitu tinggi ukuran cinta zuhud kepada penciptaNya. Kita berdoa meminta yang muluk dan indah seakan ingin memiliki dunia selamanya tetapi para sahabat berdoa untuk pulang ke akhirat dengan membawa sesuatu yang boleh dibanggakan Allah subhanahuwataalah. Wallahuallam.