Friday, March 9, 2012

Renungan Jumaat : Umar AL-Khattab yang berjiwa rakyat

Pada akhir abad ke-17 Hijrah, kaum Muslimin sedang menikmati kemenangan pasukan mereka dalam peperangan di Iraq dan Syam. Namun di tengah kegembiraan itu, mereka diuji dengan musim kemarau berpanjangan. Selama sembilan bulan hujan tidak turun, bumi gersang dan penuh debu, manakala haiwan dan tanaman menjadi korban.

Namun, keadaan Madinah tidak terlalu buruk kerana di bawah pemerintahan Umar Al-Khattab kerana penduduk Madinah dibiasakan untuk menyimpan makanan. Kesannya, masyarakat dari kawasan yang lain datang memenuhi Madinah bagi mendapatkan sumber makanan. Keadaan ini menyebabkan Madinah turut menghadapi kekurangan bahan makanan.

Ketika keadaan ini mencapai kemuncaknya, Umar pernah diberikan roti yang dicampur mentega. Umar memanggil seorang Badwi dan mengajaknya makan bersama. Dia tidak menyuapkan makanan ke mulutnya sebelum Badwi itu melakukannya lebih dahulu. Orang Badwi itu benar-benar menikmati roti tersebut.

“Agaknya, kau tidak pernah memakan mentega?” tanya Umar.

“Ya,” jawab Badwi itu.

“Saya tidak pernah makan dengan mentega atau minyak zaitun. Saya juga sudah lama tidak menyaksikan sesiapa memakannya sampai sekarang,” tambahnya.

Mendengar kata-kata Badwi itu, Umar bersumpah untuk tidak memakan mentega hinggalah semua orang hidup seperti sediakala. Kata-kata ini benar-benar dibuktikan dan di abadikan sampai saat ini.

“Kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasakannya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir yang menikmatinya,” ujar Umar. Walhal, Umar pada masa itu boleh menggunakan apa sahaja kemudahan negara yanga ada. Tambahan pula, kekayaan Iraq dan Syam sudah berada di tangan kaum Muslimin. Namun, Umar memilih untuk bersama-sama rakyatnya. Begitulah hebatnya peribadi Umar sebagai seorang pemimpin ummah.
 

Thursday, March 8, 2012

Pelarasan Gaji Berkuatkuasa 1 Jan

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.

"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.

Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.

-- BERNAMA

SBPA Batal, SSM Yang Ditambah Baik Kembali

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan. Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu menerima 1,087 aduan serta maklumat balas di samping beberapa memorandum serta cadangan daripada 23 kesatuan.

Najib berkata kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, dan walaupun kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada gelora ekonomi global ini, usaha perlu digandakan bagi memastikan negara terus bebas daripada belenggu gelora ini di tahun-tahun mendatang.

Katanya dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikir langkah terbaik, yang semasa ia mendahulukan kepentingan rakyat, pada masa yang sama ia tidak mengetepikan faktor-faktor lain, terutama daripada segi kelestarian kestabilan ekonomi negara, atau dalam erti kata lain keupayaan kewangan kerajaan mesti diambil kira.

"Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Greece atau negara-negara lain," katanya.

Najib berkata untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau berkata pada 2010 defisit negara mencecah 5.6 peratus, manakala tahun lepas ia berjaya dikurangkan kepada lima peratus dan tahun ini ia diharapkan dapat dikurangkan lagi ke tahap 4.7 peratus.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

-- BERNAMA


Monday, March 5, 2012

Mesyuarat Pengemaskinian DOSR Kali Kedua

KUANTAN - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Pengurusan Sekolah Rendah mengadakan mesyuarat berkaitan bagi memastikan kedudukan sebenar guru selepas redeployment dan penempatan guru baru sebagai persediaan menghadapi pertukaran guru pertengahan tahun nanti. Selain dari itu, tujuan mesyuarat ini juga untuk mengemaskini Sistem e-operasi sebagai pengkalan data asas untuk urusan guru di sekolah rendah dan menengah. Di samping itu juga mesyuarat kali ini juga untuk penyelarasan dokumen pertukaran dan penempatan guru yang melibatkan ISO agar kerja-kerja pengauditan ISO dapat dilaksana dengan lancar dan kemas.

Ketua Unit Rendah, En. Jelani Sulong mempengerusikan mesyuarat dari 4 - 6 Mac 2012 di Duta Village ini.Turut menghadiri mesyuarat ini semua penyelia kanan dan pembantu tadbir pertukaran penempatan guru PPD, pegawai-pegawai dari Sektor ICT, Sektor Pendidikan Khas Dan Swasta, Sektor Pendidikan Islam, Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan, Unit Prasekolah dan juga dari Unit Sekolah Rendah.

Diharap mesyuarat ini dapat menentukan kedudukan guru dalam e-operasi, data guru sebenar mengikut kelulusan perjawatan dan pengemaskinian dokumen iso serta isu lain pengurusan sekolah rendah seperti kekeliruan pembayaran gaji guru baru dan sebagainya. Kita berharap semua pihak yang terlibat akauntable
dengan peranan dan tugas masing-masing

Sunday, March 4, 2012

Taklimat Orientasi Guru Baru Negeri Terengganu Tahun 2012

KUANTAN - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah mengadakan program berkenaan bermula 4 - 6 Mac 2012 di Duta Village, Kuantan, Pahang Darul Makmur.Seramai 109 guru baru yang ditempatkan pada 16 Januari 2012 terlibat dengan program ini.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, En. Zakaria Ali telah menyampaikan ucaputama dan merasmikan Taklimat Orientasi Guru Baru Negeri Terengganu Tahun 2012. Beliau mengingatkan guru-guru baru betapa mulianya tugas guru. Bagaimanapun kesan dari kesilapan pendidikan akan dirasai padahnya dalam tempoh sepuluh dan dua puluh tahun akan datang. Justru itu beliau mengingatkan guru baru akan pentingnya tugas profesional guru dalam menyampai ilmu, membina kemahiran dan mencambahkan nilai-nilai murni dalam jiwa anak didik.

Sepanjang tiga hari dua malam ini juga guru-guru baru juga akan diberikan input berkaitan perkhidmatan seperti pengurusan cuti, laluan kerjaya selain motivasi bagi memantapkan kesediaan mereka menghadapi rencam dan cabaran tugas guru sebenar di sekolah. Kita amat-amat berharap guru-guru ini menjadi pemangkin tranformasi pendidikan di sekolah melalui kombinasi ilmu, kemahiran, spritual menjadi guru terbilang. Graduan PISMP dianggap "masak" latihan pedagogi dan psaikologi pendidikan justru latihan yang panjang dan mencukupi. Kita berharap mereka mampu buktikan  bahawa mereka sememang-sememangnya
hebat.

Download gambar kenangan Duta Village : DI SINI

Friday, March 2, 2012

Pengumpulan Maklumat Pegawai Kumpulan Pelaksana yang layak untuk kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) di KPM , 2012

PENTING DAN SEGERA !!!!

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sedang mengumpul maklumat Pegawai Kumpulan Pelaksana yang layak diperakukan kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP)  bagi Tahun 2012. Antara jawatan-jawatannya seperti Lampiran A, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 15 Tahun 2011.

Syarat-syarat umum:
  1. Telah disahkan dalam perkhidmatan
  2. Markah prestasi 80% ke atas untuk 3 tahun (2009, 2010, 2011)
  3. Bebas tatatertib.... dan beberapa lagi
Tarikh tutup permohonan : 15 Mac 2012
Muatturun download surat siaran dan dokumen berkaitan  DI SINI 

Renungan Jumaat : Enam Nasihat Ibrahim Adham

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang bertemu Ibrahim bin Adham.

“Wahai Abu Ishak (Ibrahim)! Saya seorang yang banyak berdosa dan zalim. Sudikah kiranya Tuan mengajar saya supaya menjadi zuhud, agar Allah menerangi jalan hidup saya dan melembutkan hati saya yang keras ini,” lelaki itu bertanya dan memohon bantuan.

“Kalau kau dapat memegang teguh enam ini, nescaya engkau akan selamat,” jawab Ibrahim.

“Apakah itu?” tanya lelaki tersebut.

“Pertama, apabila engkau hendak melakukan maksiat, janganlah engkau memakan rezeki Allah,” kata Ibrahim.

“Jika seluruh penjuru Bumi ini, baik di barat maupun di timur, di darat maupun di laut, dikebun dan gunung-gunung terkandung rezeki dari Allah, maka dari mana aku boleh mendapatkan makanan?” balas lelaki itu.

“Wahai saudaraku, mahukah engkau memakan rezeki Allah tatkala engkau melanggar peraturan-Nya?” balas Ibrahim.

“Tidak, demi Allah!, lalu apa yang kedua?” tanya lelaki itu.

“Kedua, jika engkau melakukan maksiat kepada Allah, janganlah tinggal dinegeri-Nya!” kata Ibrahim.

“Ibrahim, demi Allah yang kedua ini lebih berat. Bukankah bumi ini milik-Nya? Kalau demikian halnya, dimana aku harus tinggal?” lelaki itu membalas.

“Patutkah engkau makan rezeki dan tinggal di bumi-Nya walhal engkau bermaksiat kepada-Nya?” Ibrahim bertanya.

“Tidak, Tuan Guru!” jawab lelaki itu.

“Ketiga, jika engkau hendak melakukan maksiat, janganlah sesekali ingat bahwa Allah itu Maha Melihat dan anggaplah bahawa Dia lalai kepadamu,” kata Ibrahim.

“Tuan Guru, bagaimana aku boleh berbuat begitu, sedangkan Allah Maha Mengetahui segala rahsia dan melihat setiap hati nurani manusia,” kata lelaki itu.

“Layakkah engkau menikmati rezeki-Nya, tinggal dinegeri-Nya dan melakukan maksiat kepada-Nya, sedangkan Allah melihat dan mengawasimu?” tanya Ibrahim.

“Tentu saja tidak, wahai Tuan Guru. Jadi, apa yang keempat?”

“Yang keempat, apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawamu, maka katakan kepadanya ‘tunggulah dulu aku akan bertaubat’,” kata Ibrahim.

“Tuan Guru, itu tidak mungkin dan malaikat tidak mungkin mengabulkan permintaanku,” lelaki itu menjawab.

“Engkau tahu engkau tidak boleh menolak hasrat malaikat maut itu sedangkan dia akan datang kepada pada bila-bila saja, mungkin sebelum kamu bertaubat,” kata Ibrahim.

“Benar kata-katamu itu. Sekarang apa yang kelima?”

“Kelima, apabila datang Munkar dan Nakir kepadamu, lawanlah kedua malaikat itu dengan seluruh kekuatanmu, bila kau mampu,” kata Ibrahim.

“Itu tak mungkin, mustahil Tuan Guru!”

“Keenam, bila esok engkau berada di sisi Allah dan Dia menyuruhmu masuk neraka, katakanlah, ‘Ya Allah, aku tidak bersedia!” kata Ibrahim mengakhiri nasihatnya.

“Wahai Guru! Cukuplah, cukuplah nasihatmu itu!” jawab lelaki itu dan terus berlalu pergi, mungkin kerana merasa insaf akan perbuatannya yang lalu.