Wednesday, February 16, 2011

Taklimat dan Penyerahan Surat Penempatan Sekolah bagi LPBS J-Qaf Ambilan Jan 2011

Seramai 150 orang Guru Dalam Latihan,Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) J-Qaf Ambilan 2011 akan diberi surat penempatan sekolah untuk melaksanakan latihan selama setahun setengah sebelum mereka diposting lantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah yang sama sekurang-kurangnya selama 36 bulan sebelum mereka layak mohon bertukar ke sekolah lain atau mereka hanya boleh dibenarkan bertukar sebelum 36 bulan atas kes-kes yang sangat kritikal. Frasa ini kita ulang berkali-kali kerana kita tidak mahu guru pelatih sesi ini mengulangi kes-kes lalu selepas mereka posting dengan sewenangnya melanggar Perjanjian LPBS. Mulai Julai 2010 semua penempatan dan pertukaran guru J-Qaf  diurus oleh Unit Pengurusan Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri.

Kita berharap mereka yang ditempatkan di Terengganu terutama anak negeri bersyukur ditempatkan di negeri sendiri kerana saya pasti ada kalangan anak negeri Terengganu yang ditempatkan di negeri lain. Oleh itu suatu perkara yang mesti difahami oleh setiap pelatih, bahawa J-Qaf adalah bukan perjawatan tetapi program pelaksanaan kurikulum yang diperuntukkan dengan perjawatan  khas dan hanya sekolah tertentu sahaja yang melaksanakan program ini. Oleh itu mereka tidak boleh sewenangnya untuk memilih sekolah itu dan ini dalam penempatan dan pertukaran. Program J-Qaf sama ada perluasan dan pembukaan baru telah ditetapkan berdasarkan ABM Perjawatan berasaskan "school base" dan bukan boleh dibuat pindaan sembarangan tetapi memerlukan kelulusan BPSM,KPM. Lagipun semua sekolah Terengganu yang diperuntukkan program J-Qaf boleh dihubungi kenderaan. Oleh itu kita tidak mahu mendengar ada isu remeh-temeh atau pelbagai karenah yang boleh menjejaskan integriti,kredebaliti dan keyakinan semua pihak terhadap guru J-Qaf walau di mana mereka berada.

Oleh itu semua pelatih J-Qaf seperti lampiran diwajibkan hadir ke Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat
Penempatan Sekolah sebagaimana berikut:
  • Tarikh          :  20 Februari 2011 (Ahad)
  • Masa           :  9.00 pagi
  • Tempat        :  Dewan SK Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu.
  • Pakaian       :  Pakaian Kerja - berkot
Klik link di bawah untuk maklumat lanjut:
  1. Aturcara Majlis
  2. Senarai Pelatih klik di sini  @  di sini

Tuesday, February 15, 2011

Sempena Maulidur Rasul - Rasulullah S.A.W dan Pengemis Buta Yahudi

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Ke esokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.
Dipetik dari : Forum Putera.Com

Monday, February 14, 2011

Yaa Nabi Salam Alaika

Salam Maulidur Rasul

Pemantauan Pengurusan Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting

Pagi tadi Ketua Unit Rendah bersama beberapa orang pegawai dan penyelia PPD Kuala Terengganu telah mengadakan pemantau pengurusan di SK Padang Kemunting. Tujuan utama lawatan dan pemantauan ialah bagi membantu pengurusan sekolah mengenal pasti masalah serta strategi mengatasi dengan lebih berkesan agar SK Padang Kemunting terus cemerlang kerana sejak kebelakangan ini legasi kecemerlangan dalam UPSR yang pernah tercipta  mengalami graf penurunan.

Pihak jabatan percaya jika Guru Besar dan GPK atau pasukan pengurusan ini dapat sepakat,sehati,sejiwa segala tembok yang menghalang lonjakan kecemerlangan sekolah dapat diruntuhkan.Kita sangat berharap sebagai tanda pernyataan syukur dan terima kasih para guru yang ditempatkan mengajar di SK Padang Kemunting dekat dengan tempat tinggal mereka, dapat memberi sepenuh iltizam dan komitmen bersama pasukan pengurusan menjana kecemerlangan sekolah. Kita yakin dengan petunjuk-petunjuk yang ada bahawa gabungan semangat dan kerjasama para guru dengan pengurusan sekolah ,SK Padang Kemunting akan teguh berdiri gagah sebagai insitusi pendidikan yang dihormati dan menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

Manusia di sekeliling adalah aset Kecemerlangan Sekolah

'Biarpun turun seorang Guru Besar dari langit ketujuh atau terbitnya seorang Guru Besar dari lapisan bumi ketujuh tanpa sokongan guru,staf,ibubapa dan masyarakat mereka tidak boleh buat apa-apa'.Itulah frasa yang selalu saya ucapkan kepada guru dan staf dalam mesyuarat pertama setelah saya berpindah atau bertukar ke sesebuah sekolah sebagai Guru Besar suatu ketika dahulu. Bagi saya guru,staf,ibubapa dan masyarakat setempat adalah sumber yang sangat utama untuk dipugar segar bagi menyokong dan mendokong kecemerlangan sekolah.Bagaimana kaedah dan caranya terpulang kepada kreativiti Guru Besar atau Pengurus Sekolah mentafsir dan mengimplimentasi makna "kepimpinan" secara yang lebih praktikal.

Apabila kita meletakkan sikap dan pandangan kita bahawa mereka itu sumber keutamaan sudah tentu kita akan menjaga dan mengurusnya  sebaik mungkin.Perkara asas mengurus sumber manusia ialah keupayaan kita mengenal hatibudi,keperluan,kemahiran dan potensinya.Mereka adalah sumber unik yang mempunyai perasaan dan harga diri.Mereka perlukan penghormatan dan pengiktirafan.Justru itu kita sebagai Guru Besar memerlukan "the art of management". Guru Besar mesti memiliki seni komunikasi agar arahan "pemerintahan" tidak dilihat sebagai pemaksaan tetapi berupaya menolak naluri anak buah untuk berbuat secara sedar,bersengaja dan sedia rela.Bahkan merasai satu kepuasan dan keseronokan kerana diberi kepercayaan serta dihargai dengan ucapan "terima kasih" daripada Guru Besar.

Adalah lebih bermakna jika kita turut sama merasakan mereka itu sebagai sebahagian dari diri atau keluarga kita.Pastinya sebagai keluarga kita mahu mereka seronok bekerja di bawah pemerintahan kita.Keseronokan lahir apabila mereka selesa. Keselesaan lahir apabila mereka dilayan sebagai insan.Keselesaan lahir apabila tutur bicara kita tidak menyakitkan hati. Keselesaan lahir apabila kita perihatin dan jaga kebajikan mereka.Kebajikan mereka meliputi soal perjawatan,beban tugas,ruang kerja,perkakasan serta iklim kerja yang kondusif dan harmonis.Keselesaan inilah menyebabkan mereka tidak "berkira" tentang masa,tentang tenaga,tentang wang ringgit untuk melakasanakan visi dan misi yang dikongsi serta dikomunikasi bersama.

Walau dalam keadaan apapun, Guru Besar mesti "memerintah sekolah dan anak buah mesti bekerja kuat. Semua itu dilaksanakan secara bijaksana dan bijaklaksana. Gibran Agil berkata " Sebuah negara yang rajanya tidak mahu memerintah,negaranya tidak akan maju dan sesebuah negara yang ramai rakyatnya mahu menjadi raja,negara itu akan huru-hara".Bagaimana nak memerintah sekolah dengan hebat ?

Sunday, February 13, 2011

Mesyuarat Penempatan LPBS J-QAF Ambilan Januari 2011


Unit Sekolah Rendah - 13 Feb,Seramai 141 orang LPBS J-Qaf Ambilan Januari 2011 daripada 2,164 orang dijangka ditempatkan di negeri Terengganu menurut Ustaz Wan Mohd Fauzi bin Wan Mahmud,Penolong Pengarah J-Qaf,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau melaporkan kedudukan berkenaan dalam Mesyuarat Penempatan LPBS J-Qaf Ambilan Januari 2011 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu,Jabatan Pelajaran Terengganu petang tadi.Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh En.Jelani Sulong,Ketua Unit Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri.

Menurut Ustaz Wan Mohd Fauzi lagi jumlah berkenaan masih belum mencukupi keperluan negeri seramai 364 orang. Walau bagaimanapun ianya dapat menampung keperluan 42 buah sekolah SKM dan sekolah baru.Daripada 141 orang itu, 103 orang pengkhususan Pengajian Agama Islam  dan 38 orang pengkhususan Bahasa Arab.

Calon-calon yang ditawar dan ditempatkan di sekolah-sekolah  ini mesti berada setahun setengah dan wajib mengikuti latihan di IPGM sewaktu sekolah cuti. Selepas lulus latihan mereka akan ditempatkan di sekolah yang sama selama 36 bulan sebelum boleh mohon bertukar ke sekolah lain. Di samping itu,bagi calon yang ditawarkan program ini dan didapati mengandung sebelum menandatangani perjanjian dengan IPGM akan dibatalkan tawarannya. Bagi yang telah menandatangani perjanjian dan didapati mengandung akan ditangguhkan latihan selama setahun.

Kita berharap para calon LPBS J-Qaf Ambilan Januari 2011 ini membaca dengan teliti dan memahami perjanjian mereka dengan sebenar-benarnya.

Sementara itu tarikh , masa dan tempat taklimat  dan penyerahan surat penempatan akan dimaklumkan sedikit masa lagi melalui laman ini.

Laporan Minggu 2 - Ujian UKM1 - Permatapintar

Negeri Terengganu
SK - 337 buah
SJKC - 10 buah
SMK - 111 buah
SMKA - 6 buah
SABK -14 buah
SBP -5 buah
SMT - 5 buah

 Negara

DAFTAR DAN AMBIL UJIAN DI SINI

Friday, February 11, 2011

924 guru besar terima RM7,500

GURU besar sekolah yang berjaya mencatat prestasi cemerlang akan diberi insentif bernilai RM7,500 setiap seorang

PUTRAJAYA - Seramai 924 daripada 9,943 guru besar besar di seluruh negara disenarai pendek untuk menerima insentif sebanyak RM7,500 seorang sebagai ganjaran kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai'ah).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan dan ia merupakan pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal sebanyak dua peratus.

Katanya, senarai pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru akan diumumkan pada pertengahan tahun ini dan ia dijangka dibuat selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

"Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 guru besar yang disenarai pendek. Insya-Allah saya akan umumkan senarai guru besar yang layak dalam masa terdekat," katanya pada majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam
.
Sumber : Kosmo Online

Renungan Jumaat - Kisah Pemuda beribu-bapakan babi

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu di lap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian di lap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara ! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.