Wednesday, April 29, 2015

Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin dilantik Pengarah Pendidikan Terengganu ke-44


Tanggal 27 April 2015, Jabatan Pendidikan Terengganu menerima pelantikan pengarah baru yang ke-44 iaitu Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin menggantikan En. Zakaria bin Husin yang bersara wajib. Majlis menandatangani surat penyerahan tugas telah diadakan di Primula  Hotel pada 23 April 2015 sempena meraikan persaraan En. Zakaria bin Husin. Waktu itu Tuan Haji Shafruddin masih memegang jawatan Timbalan  Pengarah Pendidikan Terengganu.

Sesungguhnya Jabatan Pendidikan Terengganu melakar sejarah kerana proses pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri paling cepat dan Pengarah Pendidikan Terengganu paling muda iaitu 51 tahun. Ini menunjukkan keserasian hasrat kepimpinan negeri, pusat dan  Kementerian Pendidikan melantik Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin menerajui kepimpinan pendidikan Terengganu yang berada di puncak kegemilangan dan meneruskan kelestarian pendidikan negeri. Menerima lebih tujuh ribu ucapan tahniah melalui pelbagai aplikasi media baru atas pelantikan beliau menunjukkan harapan dan kepercayaan masyarakat kepada Tuan Haji Shahfruddin. Tahniah.

Mari kita kenali lebih dekat Pengarah Pendidikan Terengganu yang baru. Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin diputerakan di Kuala  Terengganu kira-kira 51 tahun yang lalu. Beliau memulakan persekolahan rendah di SK Sultan Sulaiman 2 pada tahun 1971. Bakat dan kebolehan yang mula terserlah membawa beliau meneruskan pengajian menengah di SMK Sultan Sulaiman pada tahun 1977.

Tahun 1988 beliau memasuki Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pentadbiran Awam) Justru minat  mendalam kepada dunia pendidikan beliau telah mengikuti Diploma Pendidikian (KPLI) selama setahun  di IPGM Kampus Dato' Razali Ismail.Kerjaya sebagai Guru Siswazah bermula di  SMK Tanah Puteh, Kuantan, Pahang pada tahun 1991. Kemudian sebagai Ketua Bidang Teknik Vokesional di SMKA Durian Guling dan beberapa buah lagi seperti SMK Chendering, Penyelia Petang di SMK Sultan Mansor dan SMK Seri Budiman.

Semangat cintakan ilmu membawa Haji Shafruddin ke Universiti Putera Malaysia menyambung Sarjana Pengurusan Pendidikan sebagai persediaan memikul amanah lebih besar di masa depan. Pada Januari 2001 beliau memiliki pula Diploma Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan dari IAB. Dengan kombinasi bakat kepimpinan dan ilmu pengurusan pendidikan yang ada beliau dilantik dan diamanahkan sebagai Pengetua SMK Kompleks Gong Badak dan merupakan pengetua termuda pada masa itu. Allahyarham Dato' Razali Ismail selaku Pengarah Pendidikan Terengganu telah berjaya mengesan bakat beliau. Akhirnya SMK Kompleks Gong Badak menjadi sekolah hebat dan tersohor di bawah kepimpinan Tuan Haji Shafruddin.

Impak dari kepimpinan beliau yang berkesan maka Jabatan Pendidikan dengan direstui oleh YAB Dato' Seri Hj Idris bin Jusoh, Menteri Besar Terengganu pada masa itu memberi kepercayaan kepada beliau membuka dan menjadi pengetua Sekolah Elit, SMK Lembah Bidong pada tahun 2007. Kejayaan SMK Lembah Bidong menjadi antara sekolah tersohor membawa  beliau menapak menerajui sebuah daerah sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, Hulu Terengganu. Kisah kejayaan beliau memimpin PPD Hulu Terengganu tidak ada siapa boleh mempertikaikan hinggakan jumlah sekolah cemerlang, terbilang dalam  peperiksaan dan berbagai lagi adalah petunjuk prestasi yang sangat mengkagumkan. Contoh pencapaian PPD Hulu Terengganu tahun 2014 dari segi pencapaian akademik.
  • GP terbaik negeri UPSR 2014
  • Minimum C terbaik negeri UPSR 2014
  • Lulus semua A terbaik negeri UPSR 2014
  • % Layak SPM terbaik negeri SPM 2014 
  • % Semua A terbaik negeri SPM 2014
  • SK Dusun terbaik UPSR SKK Kebangsaan Tahap C 2014
  • SK Kuala Berang terbaik UPSR SKK  Kebangsaan Tahap A 2014
Kepimpinan berkesan sebagai Pegawai Pendidikan menyebabkan beliau telah diberi kepercayaan memimpin Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Kebangsaan sebagai Yang Di Pertua organisasi ini. Bahkan pengalaman luas menghadiri kursus dan bengkel di dalam dan di luar negara serta berkebolehan dalam pengucapan awan berkesan memberi peluang kepada beliau berkongsi dengan khalayak pendidik dan masyarakat melalui platform sebagai Ahli Panel Forum, Pembentang Kertas Kerja, ceramah profesional dan motivasi.

Peranan dan sumbangan beliau bukan sahaja diiktiraf jabatan dan KPM melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tetapi juga oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui  kurniaan pingat kebesaran  Pingat Jasa Kebaktian Tahun 2005 dan Pingat Jasa Cemerlang Tahun 2013.

Hubungan beliau yang begitu akrab dan luwes dengan kepimpinan negeri, kepimpinan pendidikan, badan-badan ngo serta masyarakat, kehadiran beliau sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri pada 1 Februari 2015 dan Pengarah Pendidkan Negeri Terengganu yang ke-44 pada 27 April 2015
begitu disenangi dan digantung harap mampu meneruskan legasi dan kelestarian terbilang.

Marilah kita sama-sama berganding bahu dengan Pengarah dan barisan kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri menjaya aspirasi pendidikan kita melalui tagline "Memperkasakan Transformasi Pendidikan"

Semoga Allah merestui usaha-usaha murni kita.


Puisi : Menuai Rahmat Kebijaksanaan



MENUAI RAHMAT KEBIJAKSANAAN
(Dedikasi kepada En.Zakaria Husin,Mantan Pengarah Pendidikan Terengganu)

Tanah akal anugerah yang subur, bakal tuan tinggalkan
telah menumbuh pohon-pohon ilham yang ranum
di baja khazanah kebijaksanaan, agar bisa memugar lumat
kerikil di tanah-tanah gersang, menjadi bendang kehidupan
menyambung hayat maruah, bumi Terengganu nan bertuah
dengan kami yang tinggal, bersama menjunjung amanah

Hari ini di padang tilik taakul, yang laha meluas saujana
kita paparkan sahih bukti , kebenaran diri dari satu perjuangan
tuaian yang kita himpun, daripada pohon rahmat kebijaksanaan
hasil kebun dan bendang kasih sayang, yang kita pugarkan
usul tanah akal budi, yang kita wariskan dari sungai peluh
nenek moyang dan titisan darah pejuang silam
tuan tancapkan penanda, memeta sempadan
keberanian baru perjuangan para guru, di tanah anjung ilmu

Tuan dalam sibuk dan diam mengajar kami untuk mengerti 
tidak lagi naif terkurung infioriti dalam sangkar rendah diri
untuk menyuara hak kita pada kolong langit sejagat dunia
tentang anugerah ilmu mencanai bijaksana di setiap ruang
menampil dan membuktikan umat agama langit yang terbilang.

Tuan pantasnya detik berlari, mengejar kaki hari
belum puas berpuisi, di tanah bendang harapan
dedaun puisi tuan, yang meneduh citra sejagat
disantun penuh beradab, dalam diksi dan ayat
diadun dan diakrabi, seni bangsa tinggi
ditatah jalin ,dan dianyam penuh bestari
kalau marahnya, dalam senyum menikam
bencinya ,dalam renung ,nan tajam pengertian
lukanya biar menikam dalam, ke tulang keinsafan
namun parutnya, tidak meninggalkan nisan dendam

Mari sahabat, kita mantapkan zikir syukur 
agar tanah kemenjadian, yang tuan tinggalkan
terus subur dan makmur, merendang   merimbun laman 

dipupuk kasih setia, dibaja cinta oleh nakhoda kita yang baru
yang mesti disokong padu, dan memangkas seribu seteru
inilah teduh pada pewaris, yang bakal kita tinggalkan
jangan berputeh mata, nyawa dan badan kita cagarkan

Pada tuan, restulah kami sejernih mentari
kami titipkan doa ,seputih dan sedingin salji
Selamat bersara Tuan Pengarah, yang dikasihi
Semoga selamanya ,beroleh magfirah dari Ilahi

Puisi ini telah dideklamasikan pada Majlis Budi Abadi sempena persaraan Pengarah di Primula Hotel pada 23 April 2015

Sunday, April 26, 2015

Amiruddin guru besar dedikasi



JASA seorang guru tidak terbayar dengan wang ringgit kerana keringat dan pengorbanan dicurahkan, tiada yang dapat menandinginya.

“Tugas seorang guru besar bagaikan memikul sebuah bongkah batu yang teramat besar, apatah lagi ketika diberi jawatan guru besar, saya baru berusia 33 tahun,” luah pesara guru besar, Amiruddin Ibrahim, 61.

Pengalaman pertama bergelar guru besar di SK Kampung Fikri, Sungai Tong, Setiu, memberi cabaran hebat kepada Amiruddin.

“Semasa saya ditempatkan di sekolah itu (SK Kampung Fikri), sekolahnya sangat daif. Saya agak sedih dan terkejut lihat keadaan sekolah, selain jumlah murid hanya 45 orang.

“Bayangkan, ketika itu laluan ke sekolah masih menggunakan jalan tanah merah, apabila hujan, jalan akan becak, bekalan elektrik dan air juga tidak ada. Bagaikan satu kejutan budaya untuk saya yang sebelum ini banyak mengajar di sekolah bandar,” katanya.

Sebelum bergelar guru besar, Amiruddin banyak menimba pengalaman mengajar sebagai guru am di pelbagai sekolah antaranya SK Wakaf Tapai, Marang; SK Belara, Manir dan SK Padang Midin, Kuala Terengganu.

Namun, apabila ditempatkan di SK Kampung Fikri sebagai guru besar, satu tanggungjawab besar bagi dirinya untuk membangunkan sekolah itu termasuk dari segi fizikal mahupun akademik murid.

“Alhamdulillah, amalan yang saya  lakukan sejak di bangku sekolah iaitu suka buat perancangan awal, mampu jadikan sekolah itu antara sekolah terbaik.

“Dari masa ke masa, saya akan berhubung dengan pihak kerajaan untuk melakukan pembangunan terutama di laluan utama ke sekolah dan juga mendapatkan bekalan air  dan elektrik, surau serta rumah guru,” katanya.

Mengulas cara kerja, Amiruddin berkata, beliau akan pastikan tugasan siap pada hari sama kerana tidak suka kerja bertangguh.

Oleh sebab sikap bapa empat anak ini yang suka mengutamakan kerja, di mana sahaja beliau ditugaskan, pasti  ada pembaharuan termasuk pembangunan sekolah dan akademik murid.

“Sekarang bila sudah bersara, saya rasa puas apabila imbau semula kejayaan peribadi membangunkan sekolah di mana saya ditugaskan,” katanya.

Selepas bersara, Amiruddin lebih mengutamakan keluarga dan mula berjinak-jinak dalam perniagaan.

 

Thursday, April 9, 2015

6 dari 10 buah SKK Cemerlang Peperiksaan Awam datang dari Terengganu

MARANG - Enam dari sepuluh buah SKK Terbaik kebangsaan dalam peperiksaan awam datang dari Terengganu. Makluman dan penghargaan itu telah disampaikan pada Mesyuarat Pengetua dan Guru Besar SKK Zon Timur yang diadakan pada 7 dan 8 April 2015 di BTPN Terengganu. Semua Pengetua dan Guru Besar SKK dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan telah menghadiri mesyuarat berkenaan yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dengan dibantu oleh pegawai meja negeri

Sekolah yang berada dalam sepuluh ranking terbaik itu ialah:
  • SK Dusun, Hulu Terengganu ( Pencapaian UPSR Terbaik SKK Tahap C)
  • SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (Pencapaian Terbaik SKK Tahap A)
  • SK Seri Berang, Hulu Terengganu
  • SK Rantau Petronas, Kemaman
  • SMA Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu
  • Imtiaz, Dungun.
Tahniah kita ucapkan kepada kepimpinan SKK, para guru , ibubapa dan murid sekolah berkenaan yang telah mencipta kejayaan yang cemerlang. Kita juga berharap ianya menjadi inspirasi kepada SKK lain dan sekolah-sekolah bukan SKK untuk mempertahankan kelestarian kecemerlangan ini.

Tahniah, selamat maju jaya.


Sunday, April 5, 2015

Mesyuarat Pengetua dan Guru Besar SKK Fasa 1 - 9, Zon Timur

Mesyuarat Pengetua dan Guru Besar SKK Fasa 1 - 9, Zon Timur akan diadakan sebagaimana berikut:
  • Tarikh      :  7 dan 8 April 2015
  • Masa       :  8.00 - 5.00 ptg
  • Tempat    :  Bilik Seminar, BTPN Terengganu
Semua Pengetua dan Guru Besar SKK Terengganu sila ambil perhatian dan tindakan sewajarnya.
Mana-mana Pengetua atau Guru Besar yang belum dapat surat/ maklumat KLIK


Wednesday, April 1, 2015

GST fahamkah atau sekadar pak turut?

Ramai yang bercakap pasal GST. Di mana-mana dan siapa sahaja. Fahamkah apa GST atau sekadar pak turut memanjangkan cerita ?