Wednesday, January 28, 2015

Status Terkini Pengisian Annex di Portal NKRA

Berdasarkan semakan pihak BPSBPSK sehingga 28 Januari 2015, masih terdapat sekolah rendah Band 1 yang belum mengisi Borang Annex SBT 2.0 di dalam Portal NKRA.


Sehubungan itu, kerjasama daripada pihak tuan/puan dimohon untuk memastikan semua sekolah rendah Band 1(seperti Lampiran 1) di bawah jagaan/seliaan negeri tuan/puan mengisi borang tersebut sebelum atau pada 30 Januari 2015 (Jumaat). Sekolah yang masih belum mengisi portal bagi negeri Terengganu sebagaimana berikut dan mohon disegerakan.


NEGERI
KOD SEKOLAH
NAMA SEKOLAH
(NO. TELEFON)
TERENGGANU
SK AMER
(096958743)
SK KAMPUNG LA
(096060810)
SK KUALA KUBANG
(096920098)
SK TEPUS
(098336112)
SK BATU 7
(098443522)
SK KG CHABANG
(0098262700)
SK RANTAU PETRONAS
(098662670)
SK PAYA BUNGA
(096231733)
SK DUSUN
(096124973)
SK LANGGAR
(096817362)
SK TAPU
(096123107)
SK BUKIT TADOK
(096882471)
SK KEMAT
(096883327)
SK TERIS
(098244849)
SK BINJAI KERTAS
(096127834)
SK SERI BERANG
(096816452)
SK LUBOK TERAS
(098241082)
SK KAMPUNG FIKRI, SUNGAI TONG
(098242796)
SK SUNGAI LAS
(098244641)
SK LEMBAH JAYA
(0096092500)
SK KAMPONG TAYOR
(098241061)


Contoh Borang untuk diisi DI SINI










Sunday, January 25, 2015

Taklimat Pengisian Annex 2.0 untuk Sekolah Rendah Band 1

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri telah mengadakan taklimat kepada Guru Besar dan Guru Penolong Kanan bagi duapuluh empat buah sekolah negeri Terenggau yang mencapai Band 1 bertempat di SBT SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu. Turut hadir En. Anuar Mohamad dari Sektor Jaminan Kualiti , Ketua Unit Sekolah Rendah, Penolong Pengarah Projek Khas/SBP/Kluster dan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD.

En. Ahmad Shukur Mansor, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah dalam ucap utamanya mengucapkan tahniah kepada semua Guru Besar dan GPK sekolah Band 1 yang terpilih untuk pengisian Annex bagi pencalonan SBT 2015. Menurut beliau tahun ini 29 buah sekolah rendah di mana lima daripadanya sekolah SBT dan merupakan rekod tertinggi sejak sistem band sekolah diperkenalkan.

Menurut beliau juga pada UPSR 2014 Terengganu telah mengungguli UPSR Kebangsaan dalam pencapaian 5A Terbaik, GPS Terbaik dan LSMP Terbaik. Sementara SK Dusun Hulu Terengganu berada pada ranking ketiga Malaysia, SK Kuala Berang ranking ke lima Malaysia antara SKK terunggul pencapaian di kalangan SKK Kebangsaan.

Beliau berharap Guru Besar, GPK dan guru-guru dapat melaksanakan pengisian Annex ini seratus peratus dan tiada sebuah sekolah Band 1 satupun tercicir. Beliau memaklumkan hingga kini sekolah rendah mempunyai 12 buah SKK dan 5 SBT. Sementara sekolah menengah memiliki 6 SBT dan 12 SKK. Beliau berharap jumlah sekolah kecemerlangan Terengganu dengan pengemuman SKK Fasa 9 nanti.

Setakat ini semua daerah telah mencapai KPI yakni memiliki sekurang-kurangnya satu SKK kecuali daerah Marang yang belum ada SKK dan SBT. Kita berharap satu calon SKK Menengah dan satu calon SKK Rendah daerah Marang akan mampu memecah tradisi ini. Sementara itu Pn. Rohaya Mohd Noor dalam taklimat ringkas beliau menyentuh mengenai program peningkatan band, pendedahan instrument Grow dan info terkini SBT.

Taklimat mengenai pengisian Annex telah disampaikan oleh En. Mat Lazim Noor, Penyelia Kanan Projek Khas/ Asli/ Kluster secara terperinci berasaskan terma dan maksud-maksudnya. Selepas itu hand holding serta tunjuk cara pengisian di portal NKRA dilaksanakan. Sesi soal jawab telah diadakan dan ada Guru Besar memaklumkan ada kegiatan atau anugerah yang diperolehi sekolah dalam masa tiga tahun tapi tiada ruang tambahan untuk diisi. Pihak urusetia meminta mana-mana sekolah terlibat mengemail perkara berkenaan untuk dipanjangkan kepada bahagian.

Majlis taklimat diakhiri dengan ucapan oleh En. Zakaria Muda, Ketua Unit Sekolah Rendah. Beliau merakamkan penghargaan terima kasih dan tahniah kepada sekolah-sekolah terpilih. Beliau berkata sebagai ketua aktiviti rendah beliau berjanji akan membantu sekolah yang melepasi "exit target" yang akan diverifikasi melalui peruntukan yang dibenarkan oleh peraturan kewangan. Beliau berharap semua sekolah akan dapat membuat pencalonan awal bukan di saat akhir di mana kemungkinan server jem dan pencalonan tidak dapat disiapkan.

Semua sekolah terlibat diminta melengkapkan Annex diportal NKRA sehingga 29 Januari 2015 dan menghantar ke Unit Sekolah Rendah awal Februari 2015 salinan pengisian tersebut.

Wednesday, January 21, 2015

Taklimat Pengisian Annex 2.0 melalui Web NKRA Bagi Sekolah Band 1

Semua Guru Besar
Sekolah Band 1 Terengganu.

Taklimat Pengisian Annex 2.0 di Portal NKRA bagi sekolah Band 1 akan diadakan sebagaimana berikut:

Tarikh : 25 Januari 2015 (AHAD)
Masa   : 8.30 pagi hingga 1.30 tgh
Tempat: Bilik Mesyuarat, SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu
Pendaftaran : 8.30 - 9.00 pagi

Tuan dan salah seorang Guru Penolong Kanan atau Penyelaras diminta hadir.

Surat panggilan dan senarai nama sekolah muat turun  DI SINI


Pengisian barisan hadapan kepimpinan sekolah

Kementerian Pendidikan telah meluluskan pelaksanaan pengisian jawatan barisan hadapan kepimpinan sekolah antara negeri mulai tahun 2015. Setakat ini perjawatan Guru Besar dan Pengetua dilaksanakan. Negeri-negeri yang tidak cukup calon akan menerima calon barisan hadapan dari negeri lain agar tidak ada Pengetua dan Guru Besar kosong di mana-mana sekolah. Ini juga merupakan amalan biasa bagi perkhidmatan awam khususnya bagi kenaikan pangkat.

Keadaan ini terjadi bila mana stok calon seluruh negara mencukupi namun taburan antara negeri tidak seimbang apabila syarat kelayakan baru Pengetua dan Guru Besar diperkenalkan. Di mana dalam syarat baru ini calon Pengetua dan Guru Besar mesti lulus dalam NPQEL, mempunyai tiga tahun pengalaman pentadbiran serta mencapai tahap dalam pentaksiran dan juga temuduga.

Ada segelintir yang beranggapan bahawa dasar ini menyekat peluang anak negeri. Sewajarnya perkara ini tidak timbul jika guru-guru di sesebuah negeri bersedia untuk memajukan kerjaya kerana kursus NPQEL / NPQEH telah dilaksanakan berbelas tahun dahulu. Mengapa sebilangan Guru Penolong Kanan misalnya tidak atau sedikit sahaja yang memohon. Ruang ketidakcukupan calon akan menjadi lebih besar bilamana ada guru berpengalaman pentadbiran dan ada NPQEL tidak berminat lagi menjadi Guru Besar atau berkhidmat di PPD atau JPN atau "menyembunyikan diri" atas sebab-sebab tertentu.
Oleh itu siapa sebenarnya yang menyekat peluang dan menzalimi diri sendiri kalau bukan kita sendiri.

Kita juga tidak nafikan "mistake" juga berlaku di pihak yang memilih dan menguruskan NPQEL kerana
Guru Penolong Kanan yang memohon tidak dapat tapi guru biasa yang tiada pengalaman dapat. Di Terengganu kita ada tiga puluh orang lebih lulusan NPQEL  yang tidak layak ataupun belum cukup syarat pengalaman pentadbiran. Saya cadangkan jika mereka dah ada NPQEL dan ada DG41(KUP) hingga DG44(KUP) perlu dibuka fexli Guru Penolong Kanan untuk mereka dapat pengalaman tiga tahun bagi yang layak. Selepas itu mereka boleh memohon untuk Guru Besar. Kita harap jika perkara ini berlaku mereka perlu diberi keutamaan.

Baru akhir-akhir ini kita nampak permohonan untuk kursus NPQEL mendadak naik tapi ramai yang tidak tahu mereka dipanggil temuduga. Kita harap kelemahan dalam pengurusan kursus NPQEL jika ada diberi perhatian agar dalam jangka masa panjang perpindahan antara negeri dalam pengisian naik pangkat pentadbir sekolah tidak perlu dilaksanakan lagi. Utamakan kursus ini khas untuk calon Guru Besar dan Pengetua sahaja.

Sehingga tamat kursus NPQEL sesi 1/2015 dan sedikit calon jika  matang tempoh khidmat pentadbiran maka kita ketiadaan calon bagi negeri ini. Ini bermakna hingga Jun atau Julai kita akan menerima Guru Besar dari negeri lain jika mereka mempunyai stok seperti SK Wakaf Mempelam, SK Darat Batu Rakit, SK Seri Langkap , SK Chung Hwa Wakaf Tapai dan SK Sin Chone Dungun sekarang.

Dan apakah yang berlaku dalam pengisian Guru Besar juga akan berlaku dalam pengisian Guru Penolong Kanan. Keinginan para guru untuk mengisi jawatan Guru Penolong Kanan merudum teruk dengan adanya gred DG34(KUP) dan persepsi banyak kereja jadi Guru Penolong Kanan. Ramai yang menunggu peluang itu dari menawarkan diri untuk jadi Guru Penolong Kanan. Oleh yang demikian, kita buka permohonan untuk menjadi GPK sepanjang masa bagi Guru Penolong DG32(KUP). Boleh terus mohon ke PPD masing-masing untuk pengisian borang dan proses temuduga. Jika ada mendakwa banyak GPK tidak boleh diisi di daerah mereka itulah petanda tiada calon yang memohon.

Nanti jika KPM hantar calon dari negeri lain untuk isi jawatan GPK maka kita kata menutup peluang calon untuk anak negeri. Walhal kita yang sengaja membuka peluang untuk orang lain kerana kurangnya semangat dan lemah untuk menghadapi cabaran walaupun peluang di depan mata. Selayaknya orang lain yang memimpin dari melantik pemimpin yang lemah, penakut dan hanya tahu menunggu.


Sunday, January 11, 2015

Hari Pertama Minggu Pertama Persekolahan 2015

 SK Mak Lagam pagi tadi

Hari ini hari pertama dan minggu pertama Persekolahan 2015 bagi negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Johor setelah pembukaan sesi persekolahan 2015 tertangguh akibat banjir khususnya yang melanda Terengganu dan Kelantan. Menurut Dato' Seri Dr Khair bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia "penangguhan ini adalah setelah mengambilkira semua keadaan dan kesukaran semuan pihak akibat bencana banjir".  Beliau juga menjelaskan penangguhan tidak mengganggu sistem persekolahan tahun 2015 termasuk bilangan hari persekolahan sekurang-kurangnya 190 hari.

SK Pasir Gajah yang turut tenggelam baru-baru ini
 
Kita sangat bersimpati dengan sekolah yang terlibat dengan banjir sama ada sebagai pusat pemindahan sementara ataupun turut tenggelam dengan musibah banjir. Kita sangat faham bagaimana gusar dan kalutnya pemimpin sekolah berkaitan membuat persediaan "first day first bell and the first lesson". Walau bagaimanapun kita sangat bangga dengan semangat sukarelawan agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan dalam membantu sekolah-sekolah terlibat mempersiapkan diri.

 SK Padang Kubu pada 8 Januari 2015

Jabatan Pendidikan Terengganu, PPD dan sekolah-sekolah yang tidak terlibat menghantar pasukan membantu membersih dan mengemaskan sekolah-sekolah pusat pemindahan dan yang ditenggelami banjir dengan kerjasama pelbagai ngo. Semangat setiakawan dan persaudaraan ini amat disanjung supaya anak-anak terlibat dengan banjir dapat akses pendidikan yang sama dan sempurna pada hari pertama dan minggu pertama persekolahan. Tentunya nilai ini diperhati dan dihayati oleh murid-murid agar semangat cintakan sesama warga, simpati, empati, kerjasama menebal dalam jiwa mereka.

 SK Padang Kubu pagi tadi

Bagi kita di Terengganu alhamdulillah semua sekolah rendah dan menengah dapat beroperasi pada hari ini walaupun sehari dua lepas beberapa buah sekolah rendah ditenggelami. Mungkin kesiapsiagaan sekolah dengan situasi ini telah mempermudahkan urusan pengurusan banjir dan pembukaan sekolah. Tahniah kita ucapkan kepada pengurus-pengurus dan guru-guru sekolah terlibat.

Walaupun kita menghadapi sedikit kesukaran dalam pembukaan sekolah pada tahun ini tetapi berkat kegigihan dan kesabaran serta kerjasama semua pihak sekolah dapat beroperasi dengan baik. Semangat inilah kita harap dapat diterap dalam jiwa murid-murid kita. Kita berdoa semoga pendidikan Terengganuakan terus terbilang untuk 2015.


Tuesday, January 6, 2015

Misi bantuan banjir JPN Terengganu

DUNGUN - JPN Terengganu sebagaimana institusi dan badan-badan bukan kerajaan yang lain turut sama menghulurkan sumbangan berupa barangan, kewangan dan tenaga bagi membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya di Terengganu. Misi bantuan terutama difokuskan kepada membersih sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir sama ada ditenggelami ataupun sebagai pusat pemindahan sementara.

Pada 4 Januari 2014 para pegawai JPN Terengganu telah mengadakan gotong-royong membersih SK Pusat ,Kemaman  yang ditenggelami banjir. Pegawai-pegawai terlibat terdiri dari berbagai peringkat dan sektor yang dihantar khas bagi membantu menyusun dan membersih SK Pusat mengghadapi persediaan persekolahan 2015 pada 11 januari depan.

Selain dari itu selepas banjir surut pelbagai misi bantuan dihantar oleh warga pendidik di dalam Terengganu dan keluar negeri
Terengganu . Antaranya misi bantuan PPD Hulu Terengganu, PPD Setiu, PPD Besut dan beberapa buah sekolah ke negeri Kelantan khususnya ke SMK Manik Urai. Semangat simpati dan setiakawan setidak-tidaknya memberi semangat dan inspirasi kepada rakan-rakan yang ditimpa musibah.

Pada hari ini misi bantuan JPN Terengganu ke SK Kuala Jengal, Dungun. Daerah Dungun bahagian hulu yang juga merupakan kawasan agak teruk dilanda banjir dan banyak sekolah terjejas. Misi ini disertai sama oleh Dato' Seri Dr Khir Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan En. Zakaria bin Husin, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Anggota misi terdiri dari pegawai pelbagai peringkat membersihkan SK Kuala Jengal agar ianya dapat beroperasi dengan sempurna pada 11 Januari nanti.

Kita berharap menjelang 11 Januari nanti semua sekolah di Terengganu dapat beroperasi dengan teratur dan sempurna. Kita percaya pihak berkaitan telah membuat anggaran kos ataupun memperolehi pelbagai keperluan persekolahan dari syarikat pembekal bagi mengganti perabut dan juga peralatan yang rosak
akibat banjir. Tahniah dan terima kasih kepada mereka yang menyertai misi ini.


Friday, January 2, 2015

Puisi : Permulaan

PERMULAAN

Bila satu cerita hayat tamat
kelir peristiwa diturunkan
sendu sukaduka tersangkut
di rongkong penonton
pengalaman dan kenangan
disimpan di kocek sejarah
permulaan khazanah


Cerita baru bakal bermula
kelir catatan dinaikkan
tepuk sorai penonton bergema
di dada harap berombak
moga episod cerita baru
lebih baik dan bermutu
permulaan yang ditunggu
yang menentu halatuju


Begitulah kehidupan
yang lama dan yang baru
adalah permulaan sesuatu.


Lara MN
Kuala Terengganu
01012015

Thursday, January 1, 2015

Pemantauan Persediaan Sekolah Angkat 2015

BESUT - Seperti tahun-tahun sebelumnya semua pegawai JPN dan PPD  akan mengadakan Pemantauan Persediaan Pembukaan Penggal Pesekolahan  sebelum dan selepas sekolah dibuka. Pihak urusetia telah menetapkan pemantauan akhir tahun bermula 16 Disember hingga 8  Januari 2015 dan pemantauan awal tahun bermula 11 hingga 15 Januari 2015.Setiap pegawai diberi sekurang-kurangnya  sebuah sekolah angkat masing-masing.

Tujuan pemantauan awal tahun bukan sahaja sebagai lawatan pengenalan dan ramah mesra tetapi juga membantu sekolah memastikan Touch Point YAB Menteri Pendidikan untuk pembukaan sekolah dicapai atau diberi keutamaan. Contohnya pada hari pertama persekolahan setiap murid mempunyai satu meja,satu kerusi dan satu set buku teks.

Hari ini saya dan Ketua Unit Rendah En.Zakaria Muda telah mengadakan lawatan dan pemantauan ke sekolah angkat kami di daerah Besut. Saya telah diberi tanggungjawab menjadi pegawai angkat kepada SK Kuala Besut dan En. Zakaria Muda, pegawai angkat SK Alor Peroi.

Kedua-dua sekolah ini telah mengadakan hari pendaftaran  murid. Di SK Kuala Besut, guru besarnya sendiripun terlibat dalam pendaftaran murid. Sebagai pegawai angkat saya bangga dengan penglibatan guru besar di lapangan. Selain itu saya juga amat berpuashati dengan persiapan pihak sekolah untuk sesi persekolahan walaupun sekolah bakal bermula 11 Jan nanti. Dengan masa yang ada proses mengemas dan menyusun semua persiapan akan lebih baik dan hari pertama persekolahan bakal berlangsung dengan  sempurna.

Begitu juga dengan SK Alor Peroi persiapan mereka baik dan hari ini mereka mengadakan mesyuarat guru yang pertama. En. Zakaria Muda selaku pegawai angkat sekolah berkesempatan bertemu dan berucap dengan semua guru. Beliau berpesan agar semua guru sentiasa memberi kerjasama kepada kepimpinan sekolah serta sentiasa kemas terutama dalam melaksanakan tugas rasmi.

Beliau juga berazam akan membantu sekolah ini setakat yang termampu dan berharap semua guru bersyukur dan mampu memberi komitmen tinggi kepada sekolah. Menurut beliau daerah Besut menjadi pilihan utuma guru untuk masuk namun perjawatan guru telah berlebihan. Beliau melahirkan rasa terkilan kerana ada segelintir guru yang berasal dari Kelantan masuk dari luar ke daerah Besut bukan sahaja menghalang peluang guru Besut untuk pulang ke Besut namun berulang-alik dari Kota Bharu yang sudah tentu tidak mampu memberi komitmen kepada sekolah secara optima.

Apapun kita berharap semua sekolah sudah bersiap sedia dan jika kita punya peluang dan kesempatan untuk turut sama membantu sekolah rakan kita yang dilanda banjir tentunya satu tindakan perihatin yang disanjung tinggi. Sekolah-sekolah yang diberi pegawai angkat diharap dapat memanafaatkan peluang ini sebaik  mungkin untuk membantu berkaitan pengurusan, kepimpinan, ladap, motivasi dan sebagainya. Insyaallah kerjabuat sehasrat itu akan lebih membuahkan hasil

Selamat Tahun Baru 2015, perbaiki kelemahan 2014.


Beberapa detik lagi  kita mula melangkah ke tahun baru 2015. Melangkah ke tahun baru bukan bermakna segala urusan 2014 mencapai KPI dan dilaksanakan dengan sempurna. Mungkin banyak lompang yang perlu ditampung dan ditambahbaik untuk mendapat hasil yang lebih baik.Namun kadang-kadang untuk memenuhi perkara-perkara sedemikian kita terpaksa membayar harga yang mahal.

Demikianlah juga dengan kewujudan blog Unit Sekolah Rendah ini. Ia memasuki tahun kelima dan sama ada ianya terus relevan atau tidak sama-sama kita lihat nanti. Antara tujuan utama pengujudan blog ini bukan sahaja memberi pelbagai info kepada kaum guru sekolah rendah termasuk pengurusan tetapi juga merapat dan membina hubungan spiritual yang baik antara jabatan dan warga guru di sekolah. Ada sesetengah pihak mendakwa dulu mereka merasa terasing, gerun dan jauh sekali untuk berhubungan dengan jabatan terutama dengan pegawai-pegawai di Unit Sekolah Rendah.

Badi dan “kial” itu semakin berkurangan. Justru kerana terasa guru-guru amat dekat di hati maka perkara-perkara yang dianggap “sulit” sebelum ini turut kita kongsikan dengan warga guru . Isu-isu naik pangkat, pertukaran dan penempatan Guru Besar dan GPK kita publish untuk dikongsi dengan guru. Kita tidak fikir langsung risiko dan akibat. Namun  sebagai manusia ada sedikit sebanyak kesilapan melaksanakan kerja sukarela ini.

Kesilapan itu kadang-kadang diperbesar dan diviralkan bukan oleh orang lain tapi oleh warga guru juga. Satu trend baru melanda kita " kesilapan tidak seronok ditegur tapi seperti merasa bangga dan gah boleh disebarkan. Begitu juga jika yang lurus dan benar mampu dibengkokkan ia adalah seperti satu kebanggaan dan kejayaan'. Kami masih masih ingat Cheng SK setahun dua dahulu selalu menegur jika kami tersilap atau membuat perkara yang kontraversi.Inilah sikap yang patut ada dalam jiwa kerabat guru kita..

Setiap kali disentuh isu naik pangkat pasti ada guru-guru yang tidak berpuashati membuat kritikan dan tuduhan di ruang chat box. Sementara isu-isu berkaitan dengan kerjabuat tidak dipeduli manapun tetapi jika isu sensasi hitnya sangat tinggi. Kami sebagai admin dapat mengetahui berapa ramai orang mengunjung dan membaca tiap-tiap artikal yang dipostkan. Pastinya yang sensasi mendapat rating dan hit tertinggi. Itulah budaya pemikiran orang kita dari dulu, kini dan mungkin selamanya.  Mereka suka perkara sedemikian bukan yang mencabar pemikiran.

Perkara-perkara sedemikian kadang-kadang mengecewakan kami. Memang kami tidak mengharapkan pujian dan sanjungan tetapi setidak-tidaknya berterima kasihlah.  Itu juga antara faktor mengapa tahun ini blog ini agak malap. Kita menerima cadangan pelbagai perkara bila posting berkaitan pertukaran dihentikan. Ramai yang frust dan kecewa. Kita yang memulakan posting itu lagi kecewa kerana kunci orang hadir melihat blog adalah posting itu salah satunya. Seorang Guru Besar pernah berkata kepada saya “ Kurang dah orang masuk blog kerana post pertukaran sudah tiada”

Selain dari itu perkembangan facebook, whatsapp , telegram dan sebagainya menjadikan blog sudah kurang popular ditambah dengaan budaya malas membaca di kalangan masyarakat termasuk guru-guru kita sendiri. Semua media sosial bergerak pantas di hujung
jari dengan menggunakan telefon pintar. Namun blog hanya mampu dikemaskini dengan ipad atau laptop. Semuanya menjadi lambat dan seakan ketinggalan zaman.

Kita tidak pasti adakah blog ini diperlukan atau tidak di masa depan dengan pelbagai perkembangan baru. Dengan saluran alternatif yang pelbagai maka blog ini bukan lagi saluran komunikasi berkesan antara guru di sekolah dengan pihak jabatan khususnya di Unit Sekolah Rendah. Walau bagaimanapun kami akan mengkaji dari pelbagai sudut agar ianya memberi makna dan impak. Kita memerlukan pandangan positif khususnya dari kerabat kita para guru.

Kita doakan semoga sesi persekolah 2015 akan berjalan lancar dan semua kepimpinan sekolah dapat diisi . Kita amat bersimpati dengan sekolah yang tenggelam kerana banjir dan menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir. Kita yakin kerjasama yang erat antara warga sekolah bagi menangani masalah berkenaan dengan sebaik mungkin.

Di kesempatan ini juga kami mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf jika sepanjang berurusan dengan kami para pegawai dan pembantu tadbir sepanjang tahun 2014  berlaku kekasaran bahasa dan tuturkata yang mengguris rasa para klien kita. Kami juga manusia biasa yang kadang-kadang berada dalam tekanan. Marilah kita sama -sama berazam untuk memastikan Tahun 2015 menjadi lebih baik. Insyaallah.