Tuesday, March 29, 2016

JPNT Sasar 0.10 Peratus Penurunan Kes Salah Laku Displin Pelajar

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mensasarkan berlaku penurunan 0.10 peratus dari segi salah laku displin di kalangan pelajar negeri ini, setiap tahun.

Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun masalah itu tidak begitu berleluasa di negeri ini, pihaknya masih memandang serius dan mengambil pendekatan berkesan bagi mengurangkan gejala tersebut.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita masih mencapai tahap yang ditetapkan, tetapi pihak berwajib khususnya pihak sekolah memandang serius masalah ini termasuk kes ponteng.

“Sebagai contoh, berkaitan masalah kes ponteng antara pendekatan dilakukan adalah dengan turun padang untuk memujuk mereka kembali ke sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Panji Alam, Che Lai Hashim.

Katanya,  JPNT turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mencegah gejala ponteng selain mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dalam pada itu jelasnya, punca utama masalah salah laku displin pelajar termasuk kes ponteng adalah mempunyai kaitan dengan perpecahan keluarga.

“Kita cuba selesaikan apa sahaja masalah walaupun kadang-kadang yang berkaitan dengan kewangan dan masalah keluarga,” ujarnya.

Sumber : teganukita.my