Monday, October 26, 2015

Sakit kronik tidak halang guru terima ijazah



KUBANG PASU 25 Okt. – Penderitaan akibat menghidap penyakit kronik berkaitan saluran darah tidak menjadi penghalang kepada seorang guru, Siti Intan Baizura Musa, 32, menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sesuatu mengagumkan, di sebalik kesakitan yang terpaksa ditanggungnya, guru Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas, Hulu Terengganu, Terengganu itu berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazahnya hari ini.

Menurut anak kelahiran Manir, Kuala Terengganu itu, dia amat cintakan ilmu dan bertekad untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun terpaksa belajar dalam kesakitan.

“Penyakit ini membuatkan ke­dua-dua belah kaki akan berasa sakit seperti terkena arus elektrik dan berdenyut-denyut hampir setiap masa, namun saya terpaksa menahannya untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Biarpun terpaksa belajar da­lam keadaan sakit, saya terimanya sebagai ujian Allah yang perlu saya lalui untuk memperoleh kejayaan seperti hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah dalam Sarjana Pendidikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-28 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, di sini hari ini.

Siti Intan Baizura yang disahkan menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) sejak empat tahun lalu itu ditemani ibu bapanya iaitu Musa Ahmad, 54, pemandu bas dan Robiah Saad, 51, suri rumah.

Kata anak sulung daripada sembilan beradik itu, dia juga terpaksa menangguhkan pembedahan kali ketiga yang sepatutnya dijalankan pada tahun 2014 kerana mahu menyiapkan tesis.

“Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan tesis dan menghantarnya kepada pensyarah pada 17 Ogos lalu dan menjalani pembedahan dua hari selepas itu,” ujarnya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.9.

Ujar Siti Intan Baizura, keadaannya semakin buruk selepas pembedahan kali ketiga itu apabila dia kini tidak boleh berjalan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

“Saya terima ujian Allah ini dan saya mahu kecekalan saya ini menjadi pendorong kepada mereka yang juga mempunyai penyakit kronik untuk menyambung pengajian kerana tiada yang mustahil dalam hidup,” tambahnya lagi. 

Mundzir penerima PhD termuda

JOHOR BAHRU: Pada usia 23 tahun, Mundzir Abdullah, sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dan bidang pengajian pilihannya juga bukan calang-calang.
Kejayaan pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu menjadikannya pelajar termuda dianugerahkan kelulusan berkenaan di negara ini.

Serentak itu, nama anak kepada pasangan bekas pensyarah UTM, Dr Abdullah Daud, 61, dan suri rumah, Zakiah Mat, 56, ini kini tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBR), menggantikan Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, juga lepasan UTM dari Kelantan, yang muncul graduan PhD termuda pada usia 24 tahun, tahun lalu.

"Saya bersyukur kerana hasrat menerima PhD termakbul walaupun hampir putus asa untuk menyiapkan tugasan penyelidikan dalam bidang aplikasi laser.

"Seperti tidak percaya apabila menjadi penerima termuda PhD. Ini membuktikan ilmu bukan diukur dengan usia," kata Mundzir, yang menerima ijazahnya pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-55, di sini, hari ini.

Anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, beliau tiada rahsia khusus di sebalik kejayaan berkenaan, malah mengakui pernah hampir berputus asa sebelum diberi tunjuk ajar dan galakan semangat oleh tenaga pengajar serta rakan sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan dalam aplikasi laser.

Mundzir yang mengikuti pengajian peringkat PhD selama 33 bulan, berkata sepanjang pengajian, beliau menerbitkan lebih 20 kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain membuat pembentangan pada persidangan berkaitan.


Sunday, October 11, 2015

Wujud sekolah satu aliran berpandukan gagasan 1Malaysia.



KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran berpandukan gagasan 1Malaysia bagi membawa nilai sebenar gagasan berkenaan daripada sekadar digunakan sebagai penjenamaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, inisiatif itu wajar dilakukan dengan kerajaan merombak semula sekolah pelbagai aliran sedia ada yang dilihat tidak mampu dan gagal dalam usaha memperkasakan nilai kemasyarakatan.

Menurutnya, kini Malaysia mempunyai tujuh laluan pendidikan (sekolah) iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar sendiri.

“Sekolah pelbagai aliran ini mewujudkan polarisasi kaum yang membawa pengasingan etnik sehingga menyebabkan perpecahan di usia rebung yang sepatutnya kita lentur.

“Gunakan gagasan 1Malaysia untuk wujudkan sekolah satu aliran ini supaya semangat dan nilai gagasan ini dapat digembleng kepada sesuatu yang memberi maksud dan kesan yang memberi kesatuan kepada masyarakat dari sekadar sebagai penjenamaan,” katanya dalam forum Bicara Persada Ke-23 bertajuk Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan di UKM di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel dalam forum berkenaan ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah; Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Sarjit Singh Gill.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, hampir enam tahun gagasan 1Malaysia telah dilaungkan namun gagasan itu hanya lebih menjuruskan kepada kebendaan.

“Selama ini banyak inisiatif 1Malaysia telah diwujudkan dari segi bantuannya, kedainya, kliniknya, tayar teksi dan banyak lagi, maka sudah tiba masanya gunakan gagasan 1Malaysia ini untuk sesuatu yang benar-benar menterjemahkan maksudnya,” ujarnya.

Menjelaskan berhubung sekolah satu aliran berteraskan gagasan 1Malaysia, Kok Seong berkata, daripada tujuh jenis sekolah yang ada, hanya tiga yang relevan dan perlu digabungkan menjadi satu sekolah aliran.

“Tiga jenis ini adalah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

Melalui tiga sekolah ini kita boleh kekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar selain menghimpunkan subjek agama di sekolah ini,” katanya. 

Sunday, October 4, 2015

Sekolah Cuti kerana Jerebu