Friday, October 31, 2014

Puisi : Pelayaran Baru



Renungan Jumaat : Kelebihan Bulan Muharram



Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalendar hijriah.

Bulan Muharram adalah salah satu dari pada bulan-bulan Haram.

Nabi shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan suci. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan satu bulan lagi adalah Rejab yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” (HR Muslim no. 1679)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Umat Islam dilarang berperang dan berbunuhan dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut.

Larangan untuk melakukan maksiat adalah lebih keras dibanding bulan-bulan lain.

Abdullah Ibnu Abbas ra. mengatakan maksiat yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar dosanya dan amal baik yang dilakukan di bulan haram adalah lebih besar pahalanya. (Tafsir At-Thabari)

Menurut Imam al-Razi RH: Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat, dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar. (al-Razi, jil.16, ms. 53).

Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Puasa yang paling utama sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa di bulan Muharram". (HR Muslim no. 1163)



SEGERA : Tawaran Pengisian Jawatan Guru Besar Tahun 2014 dan 2015

Peluang keemasan kepada guru-guru yang ada pengalaman pentadbiran dan lulus NPQEL/NPQH sama ada pada Gred DG32/DG34(KUP) dan exPPPLD DG41/DG44/DG48 bagi mengisi jawatan Guru Besar di sekolah rendah tahun 2014 dan 2015 (Bagi negeri Terengganu dianggarkan lebih 40 kekosongan). Tarikh tutup permohonan pada 4 November 2014

Maklumat dan keterangan lanjut berhubung syarat dan cara permohonan . Klik DI SINI


Thursday, October 30, 2014

Tahniah, SK Kampung Raja SBT ke 10 Terengganu

Hari ini SK Kampung Raja, Besut menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 5.  SK Kampung Raja menduduki senarai ke sepuluh bilangan SBT bagi negeri Terengganu. Tahniah dan syabas kepada Guru Besar, Guru Penolong Kanan dan semua warga SK Kampung Raja. Tahniah juga kepada kepimpinan PPD Besut yang telah mencapai KPI iaitu setiap daerah sekurang-kurang memiliki 1 SBT dan 2 SKK. PPD Besut sekarang memiliki 3 SBT dan 2 SKK. Insyaallah jika murah rezeki SK Tengku Mahmud 2 pula bakal menyusul menerima SKK Fasa 9.

Sesungguhnya tiap sesuatu itu ia tidak terjadi dengan tiba-tiba. Ia mesti ada petunjuk dan petanda. Petunjuk dan petanda bahawa SK Kampung Raja akan menjadi sekolah hebat menjelang 100 tahun penubuhannya telah saya tulis di sini. Dengan perancangan yang rapi, iltizam tinggi dan muafakat sejati sesuatu yang sukar itu hanya igaun sahaja. Sepatutnya SK Kampung Raja telah lama menjadi SKK dan SBT dengan  kekuatan yang ada. Namun mungkin ada masalah pengurusan perkara itu tidak dapat disempurnakan. Apabila Allahyarham En. Rosli mengambil alih beliau begitu bersemangat namun umurnya tidak panjang. Kalau beliau masih hidup tentunya beliau menjadi orang yang paling gembira dengan  pengiktirafan ini. AlFatihah kita sedekahkan kepada Cikgu Rosli.

Pemilihan En.Husin menerajui SK Kampung Raja memang pilihan berwawasan PPD Besut. Rekod cemerlang menjuarai 3K Kebangsaan di SK Kuala Besut serta pengalaman menempuh kesukaran dugaan hidup menjadikan beliau seorang yang tenang dan cekal. Ketenangan dan kecekalan itulah barangkali menjadi daya pengaruh mendorong guru dan warga SK Kampung Raja berusaha bersama beliau menjayakan visi hebat ini. Ini terbukti apabila SK Kampung Raja yang selalu berada di band 1 jatuh ke band 2 dan naik kembali ke band 1 yang melayakkan SK Kampung Raja dicalonkan SBT bersama-sama SK Seri Berang dan beberapa buah lagi. Kita mengharapkan dua sekolah ini melepasi "entri point" namun sayang hanya SK Kampung Raja yang melepasinya bukan sahaja memenuhi kreteria cemerlang akademik tetapi juga annex. Kita ada dua puluh sekolah band 1 yang layak memasuki pencalonan namun annex mereka amat lemah termasuk sekolah SKK. Inilah ruginya kita.

Kita berharap SK Kampung Raja sustaince dari pencapaian dengan memastikan berada di band 1. Kita yakin dengan  peruntukan khas melebihi setengah juta tahun pertama dan tahun-tahun berikutnya usaha mempertahankan tidaklah begitu sukar. Cuma kita berharap SK Kampung Raja menjadi payong kepada sekolah sekitar untuk menikmati dan membimbing mereka merasai aura SBT. Kita berharap warga SK Kampung bukan sahaja dapat menikmati imbuhan khas dari kemenangan ini tetapi bersedia berkongsi pengalaman mereka "membunuh" ketakutan hingga meraih kejayaan yang hebat ini. Tahniah.


Sorotan Oktober

Bulan Oktober antara bulan yang paling sibuk khususnya bagi kebanyakan pegawai di Unit Sekolah Rendah. Antaranya:

Program Bimbingan dan Verifikasi Calon SKK Fasa 9

Sebagaimana Jadual Asas JNJK, proses verifikasi bermula pada 29 September hingga 17 Oktober 2014. Namun oleh kerana berlaku ujian ulangan UPSR maka ada sedikit kelonggoran. Justru itu kami berkesempatan mengadakan bimbingan verifikasi kepada beberapa buah calon SKK selepas hari raya. Antaranya pada 8 Oktober 2014 kita telah melihat persediaan SK Pusat Chabang Tiga. Tahniah kami ucapkan kepada Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan dan para guru serta PIBG SK Pusat Chabang Tiga kerana membuat persediaan terbaik bagi menghadapi pencalonan berkenaan. Kami juga pada 9 Oktober 2014 ke SK Teluk Kalung bagi tujuan yang sama. Alhamdulillah persediaan mereka juga agak baik. Pada 12 Oktober 2014 kami ke SK Kelulut. Alhamdulillah mereka juga bersedia. Kami berharap semua sekolah yang dicalon dan telah diverifikasi dahulu dan sekarang mampu meraih Anugerah SKK Fasa 9 ini.
Bimbingan Verifikasi SKK di SK Teluk Kalung, Kemaman

Penilaian SKM dan SK Asli Cemerlang

Sempena dengan Karnival Pendidikan Terengganu 2014, Unit Sekolah Rendah diberi tanggungjawab menguruskan penghakiman bagi dua kategori ini. Penilaian bagi SK Asli dibuat untuk SK Sungai Pergam, Kemaman dan SK Sungai Berua, Hulu Terengganu. Bagi kategori SKM Cemerlang dua sekolah iaitu SK Dusun, Hulu Terengganu dan SK Sungai Las, Setiu telah dinilai. Pencalonan sekolah-sekolah berkenaan dicadangkan oleh PPD masing-masing.

SK Dusun, Hulu Terengganu

Kursus GPK Hem Baru

Selepas Kursus Profesionalisme Guru-Guru  Baru di Sentuary Resort, Cherating Kursus Profesionalisme Untuk GPK Hem Baru telah diadakan di Perdana Resort, Kota Bharu pada 12 - 14 Oktober 2014. Kursus ini bertujuan memberi kemahiran dan pengetahuan kepada GPK Hem Baru tentang pengurusan pendidikan wajib selain tugas-tugas mereka dalam bidang-bidang lain. Seramai 60 orang lebih telah terlibat dengan kursus ini. Kita mengharapkan melalui kursus mereka akan lebih cekap serta profesional dalam tugas mereka

 
GPK Hem Baru

Pemantauan KEDAP

Pemantauan Kelas Dewasa Asli (KEDAP) telah diadakan bersama Pensyarah IPG Kota Bharu, En. Shamsudin Jumiran. Pada 14 Oktober 2014 di SK Sungai Pergam yang turut sama dibantu oleh Tuan Haji Jusoh bin Embong dari PPD Kemaman.

Kedap SK Sungai Pergam

Pada 15 Oktober 2014 malam pula pemantauan diadakan di SK Sungai Berua, Hulu Terengganu. En. Zakaria Muda, Ketua Unit Sekolah Rendah dan En. Roslan Osman dari PPD Hulu Terengganu turut sama membantu En. Shamsudin Jumiran dari IPGM Kota Bharu.

Kedap SK Sungai Berua

Kursus Profesionalisme Guru Besar Baharu

Beberapa tahun kebelakangan Unit Sekolah Rendah tidak dapat mengadakan kursus terutama kepada Guru-Guru Besar Baharu kerana ketiadaan peruntukan. Namun pada tahun ini satu pakej kursus untuk Guru Besar yang dilantik mulai 2011 hingga kini telah dapat diadakan di Holiday Vila, Cherating bermula 19 - 21 Oktober 2014. Pengarah Pendidikan Negeri, En. Zakaria Husin telah menyampai ucap tama dan telah merasmikan kursus tersebut. Para peserta juga didedahkan dengan input berkaitan kepimpinan, cuti, kewangan dan lain-lain lagi. Kita berharap kualiti pengurusan sekolah yang dipimpin oleh Guru Besar terlibat akan lebih baik.

Ucapan Perasmian oleh Pengarah
Guru Besar Baharu

Pemantauan SKK oleh BPSBPSK

Pada 29 Oktober 2014 satu pemantauan khas SKK telah diadakan di SKK SK Paka 2, Dungun dan sehari sebelumnya di SK Kuala Berang, Hulu Terengganu oleh dua pegawai dari Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan. Tujuan pemantauan bagi membantu SKK terlibat mempergunakan peruntukan serta bimbingan kepada sekolah berkenaan bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan.

Kita berharap melalui pemantauan dan bimbingan ini sekolah SKK dapat memainkan fungsinya dan berusaha membina reputasi yang cemerlang khususnya untuk meraih SBT pula.

En. Razi dan En. Hilman dari BPSBPSK



Friday, October 3, 2014

Puisi : Korban

KORBAN

Sembelihlah bakhil
dari ladang mazmummah
supaya ehsan subur
di ladang mahmuddah
nanti bersinarlah
matahari mutmainnah
bahagia ummah.

Lara MN
Kuala Terengganu
03102014


Taklimat Amalan Profesionalisme Guru Baharu SR Terengganu

KUANTAN - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah telah mengadakan Program Taklimat Amalan Profesionalisme kepada 60 orang guru baharu yang ditempatkan di negeri Terengganu sepanjang tahun 2014. Taklimat berkenaan telah diadakan di Senctuary Resort, Kuantan, Pahang bermula 1 - 3 Oktober 2014.

Antara lain tujuan taklimat berkenaan ialah  perkongsian amalan terbaik guru-guru yang boleh dicontohi dan ditauladani oleh guru-guru baharu. Selain dari itu, penghayatan terhadap Etika Profesion Keguruan serta tingkah laku guru juga diberi penekanan. Guru - guru  baharu juga didedahkan dengan dasar dan hala tuju pendidikan negara dan negeri serta peranan yang perlu mereka mainkan terutama menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Pengarah Pendidikan Negeri, En. Zakaria Husin telah merasmikan taklimat berkenaan manakala majlis penutup telah disempurnakan oleh En. Ahmad Shukur Mansor, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah. Turut bersama sepanjang program ini dilaksanakan ialah En. Zakaria bin Muda, Ketua Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pendidikan Negeri.

Kita berharap melalui taklimat ini mesej pimpinan pendidikan pengurusan tertinggi jabatan pendidikan dapat disampaikan secara langsung kepada guru-guru baru ini. Kupasan, pendedahan dan perkongsian pelbagai input diharapkan mereka lebih kompeten menjadi guru yang mampu memberi inspirasi kepada murid-murid mereka untuk mengapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.


Thursday, October 2, 2014

Tahniah Pelajar Termuda Meraih PHD

Johor Bahru: “Saya tidak pernah menyangka akan menerima gelaran doktor falsafah (PhD) pada usia yang muda seperti ini, namun gembira kerana ia pencapaian paling membanggakan dalam hidup,” kata pemegang ijazah PhD termuda pengajian matematik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Hazzirah Izzati Mat Hassim.

Hazzirah Izzati, 24, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dan menganggapnya sebagai kunci kejayaannya. 

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, dia turut menjadikan pakar serta penyelidik dari luar negara sebagai rujukan bagi menambah pengetahuan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Bidang matematik tulen belum berkembang luas di negara ini dan sumber rujukannya seperti pakar juga terbatas.


“Disebabkan itu, saya meminta bantuan daripada penyelia akademik untuk memperkenalkan dengan penyelidik dari universiti di Iran dan Itali.


“Walaupun berjaya mengenalinya, tetapi cabarannya tetap ada kerana perlu berkomunikasi dengan mereka melalui e-mel dan kadangkala saya hampir berputus asa namun sokongan keluarga dan pensyarah menguatkan semangat untuk terus memberi fokus,” katanya.

Hazzirah Izzati ditemui di Bangunan Canselori UTM di sini, semalam selepas menerima sijil daripada Malaysia Book of Records (MBR) selepas diiktiraf sebagai pemegang PhD termuda iaitu pada usia 24 tahun dua bulan.


Sumber : Harian Metro