Thursday, July 31, 2014

Daripada Pelajar Corot Kepada Pakar Perunding Motivasi


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Melihat kepada diri beliau hari ini serta senarai panjang pencapaiannya termasuk dalam bidang perundingan, agak sukar untuk mengaitkan dirinya sebagai budak nakal dan pelajar corot semasa di sekolah.

Pakar perunding motivasi ini juga pemegang tali pinggang hitam Taekwondo (Tali Pinggang Hitam Darjah Ke-lima).

Beliau juga menghasilkan sebuah buku bertajuk "Rahsia 100 Impian", Daripada Corot Menjadi Pakar, pertama kali dijual pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lepas.

"Guru saya hanya ada dakwat merah untuk saya". Ini cara Noordin memberitahu penulis betapa teruknya beliau semasa alam persekolahan.

"Saya bukan sahaja lemah akademik semasa di sekolah rendah dan menengah tetapi juga tidak cergas dalam bidang sukan.

"Saya juga nakal. Orang kata nakal tak bertempat. Mak tak bagi mandi sungai, saya mandi sungai, mandi laut, mandi tasik. Puas kena rotan. Emak rotan, ayah pun rotan", kata Noordin Khalid, 43, pengasas Smarts Coach, syarikat perunding motivasi, dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

TAK ADA CITA-CITA

Noordin menghabiskan zaman persekolahan rendahnya di Sekolah Rendah Temenggung Abdul Rahman 1 (STAR 1), Johor Bahru. Beliau meneruskan persekolahan menengah dari tingkatan 1 hingga 4 di Sekolah Menengah Datuk Jaafar (SDJ), Johor Bahru.

Persekolahan tingkatan lima disambung di Sekolah Menengah Datuk Onn, Butterworth.

Semasa di sekolah rendah, beliau pernah ditanya apa cita-citanya apabila dewasa.

"Masa itu saya berumur 10 tahun. Cikgu tanya semua orang dan bila sampai giliran saya, saya hanya kata saya hendak berjalan-jalan ke seluruh dunia.

"Kawan-kawan dalam kelas semua ketawakan saya dan saya tak faham mengapa mereka ketawa", kata Noordin.

Dalam kamus hidup sebagai pelajar, beliau hanya mahu berseronok dan banyak menghabiskan masa di luar rumah, bermain dengan kawan-kawan. Semua semak dan belukar habis diredah. Pulang ke rumah apabila lapar.

Noordin mengakui beliau tidak pernah memikirkan masa depan dan banyak berangan menjadi seperti watak fiksyen kegemarannya, antaranya Superman dan Spiderman.

Semasa peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1981, Noordin hanya memperoleh 1B dan 4C. Keputusan itu tidak meninggalkan apa-apa kesan ke atas dirinya. Untuk peperiksaan tingkatan 3, beliau memperoleh 18 agregat.

GAGAL SPM MEMBUKA MATA

Empat tahun persekolahan menengah masih tidak membawa sebarang perubahan kepada Noordin meskipun dia tahu akan berdepan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di tingkatan lima.

Masuk universiti atau jadi pekerja kilang? Soalan ini mula berlegar di kepala Noordin. Kebimbangan ini bagaimanapun tidak merubah rentak hidupnya. Beliau tidak buat sebarang persiapan rapi untuk SPM dan sedikit pun tidak berasa tertekan. Noordin hanya mengharapkan sekurang-kurangnya lulus.

Bila keputusan diumumkan, beliau mula berasa amat kecewa. Sudah tergambar nasibnya menjadi pekerja kilang.

"Pertama kali saya mula memikirkan masa depan tetapi semua yang negatif. Saya berfikir apakah selama-lamanya saya akan begitu.

"Saya takut pulang ke rumah selepas mengambil keputusan SPM. Perasaan saya berkecamuk. Takut, malu, semua ada", kata Noordin.

Beliau membuat keputusan untuk mengulangi SPM. Dengan rakannya, Rasid Halim kedua-duanya mendaftar di Maktab Adabi Bukit Mertajam. Beliau bertekad kali ini mesti cemerlang.

Noordin bertekad sudah tiba masanya untuk beliau berubah. Bagaimanapun, beliau mengakui semangat berkobar-kobar untuk menduduki semula peperiksaan SPM hanya seperti peribahasa "Hangat-hangat tahi ayam".

APA IMPIAN?

Menurut Noordin, beliau kembali kepada perangai asalnya, hanya mahu berseronok dengan zaman remajanya sehinggalah berlaku satu peristiwa kira-kira enam bulan sebelum peperiksaan SPM.

Ia berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menikmati minum petang. Noordin masih ingat sajian teh O dan kuih cucur badak yang emaknya sediakan.

Tiba-tiba ayahnya bersuara, "Din (nama panggilan yang digunakan ayahnya) apa impian hang?"

Noordin yang tersentak mendengar soalan ayahnya hanya mengulangi, "Impian?"

Lazimnya selepas minum petang, Noordin akan keluar bermain bola tetapi petang itu beliau hanya berkurung di dalam biliknya.

"Saya tak boleh jawab apa-apa semasa ayah bertanya kepada saya sebab dalam kepala saya memang tak ada cita-cita.

"Lepas ayah tanya, saya terus berfikir. Masa itu saya sudah berpindah dari Johor Bahru ke Butterworth. Kawasan keliling rumah saya kawasan kilang. Apakah saya akan berakhir sebagai pekerja kilang", kata Noordin.

AYAH PENCETUS MOTIVASI

Ayah Noordin, Khalid Ismail ialah seorang kapten kapal berasal dari Bagan Lebai Tahir Butterworth. Ibunya, Sjofiah Mohd Ali, anak seorang guru silat dari Jambi, Sumatra.

Menurut Noordin, sebelum menjadi kapten kapal, ayahnya membanting tulang sebagai nelayan.

Ayahnya jarang bercerita tentang kisah lampaunya tetapi petang itu, beliau berkongsi kisahnya sebagai nelayan dan hidup susahnya dengan Noordin.

"Bapa kata saya hanya tengok dia masa dia senang. Saya tak tengok dia masa dia susah. Bapa kata tak jauh dari rumahnya ada pantai diberi nama Pantai Bersih Bagan Ajam.

"Di situlah bapa membelat (menangkap ikan). Bapa kata dia juga selalu berdiri di pantai memerhatikan kapal-kapal besar belayar dan dia beritahu diri dia, suatu hari nanti dia akan menjadi kapten kapal", kata Noordin.

Bermula sebagai kelasi pada usia 33 tahun, Ayah Noordin belajar untuk menjadi kapten semasa menjadi kelasi di Singapura. Jika orang lain hanya bersantai selepas bekerja, ayahnya akan menghabiskan masa rehatnya belajar ilmu pelayaran termasuk bahasa Inggeris.

"Semasa bapa bercerita tentang kisah hidupnya, saya rasa terkedu sehingga menitiskan air mata. Adik-adik lain hanya tengok sahaja, mereka belum faham," kata Noordin sambil menambah ayahnya bersara pada usia 67 tahun dan meninggal dunia ketika berusia 73 tahun.

BERMULA KECEMERLANGAN

Bagi pakar motivasi ini, kisah ayahnya sudah cukup untuk membakar semangat untuk meraih kecemerlangan dalam peperiksaan SPMnya. Tekadnya membuahkan hasil.

Selepas SPM, beliau membuat dua pilihan, iaitu menyertai Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka atau mengikuti pengajian Sains Komputer.

"Tawaran pertama yang saya dapat ialah daripada ALAM tetapi ayah tidak mengizinkan. Dia tak mahu saya menjadi kelasi, dia kata banyak pancaroba. Ayah koyakkan borang tawaran.

"Saya kemudiannya mendapat tawaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam bidang Sains Komputer. Saya lupakan ALAM dan tumpukan perhatian saya kepada UTM", kata Noordin.

Jika di sekolah dahulu, beliau lemah akademik dan tidak minat bersukan, lain pula perjalanan hidup beliau di UTM.

Karektor Noordin di UTM jauh berbeza berbanding di sekolah. Selepas orientasi, beliau melibatkan diri dengan pelbagai persatuan dan menyertai kelas Taekwando.

"Apa yang membuatkan perbezaan itu? Saya sudah ada impian dan saya sudah ada kekuatan dalaman untuk berjaya.

"Untuk berjaya, kita kena tingkatkan sikap kepimpinan, sebab itu saya bina kepimpinan saya. Masa itu saya sudah menanam cita-cita untuk menjadi pemimpin dan itu antara sebab saya menyertai Taekwando", jelas Noordin.

Beliau tamat pengajian dengan Ijazah dalam Sains Komputer, pengkhususan 'Industrial Computing' pada 1995.

Bermula di Perodua sebagai jurutera sistem, Noordin kemudian menyertai beberapa buah syarikat Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), antaranya New Technology & Innovation.

Beliau kemudiannya meraih pengiktirafan sebagai perunding dan jurulatih bertaraf pakar dalam bidang ICT apabila berkhidmat dengan Quint Wellington Redwood, syarikat perunding yang berpangkalan di Amsterdam.

"Untuk menjadi jurulatih, saya perlu belajar dan mengambil ujian sebelum diberi perakuan. Dalam masa enam tahun saya memperoleh 21 perakuan.

"Saya bekerja dengan firma ini selama enam tahun sebelum membuat keputusan untuk mengendalikan firma perundingan saya sendiri," kata Noordin yang berhenti daripada Quint pada bulan Mac 2014.

SMARTS COACH

Berbekalkan 19 tahun pengalaman dalam bidang ICT dan perundingan, ayah kepada lima orang putera ini sudah bersedia untuk menguruskan perniagaan perundingannya sendiri, Smarts Coach.

"Saya hanya seorang hamba Allah yang ingin berkongsi setitis ilmu semoga memberi manfaat buat insan lain dan ingin melihat titisan itu menjadi ribuan titisan pula," ini kata Noordin falsafah hidupnya, apabila ditanya mengapa beliau sanggup meninggalkan jawatan kanan dan pendapatan tinggi untuk menguruskan syarikat perundingannya.

"Idea ini sudah ada sejak 2002 cuma akhir-akhir ini mula laju sikit. Smarts Coach bermula dengan saya melatih anak-anak jiran yang berminat dalam bidang Taekwondo.

"Inipun isteri saya yang usahakan. Dia kumpul anak-anak jiran dan beritahu saya mereka mahu belajar Taekwondo. Saya buka kelas di belakang rumah sahaja.

Dari dua pelajar jadi 30. Masa itu saya gunakan nama Sentoasa Martial Arts School. Jika diringkaskan, jadi Smarts", kata Noordin.

Noordin mempunyai banyak perancangan untuk Smarts Coach. Antara programnya ialah sempena Hari Kemerdekaan ke-57 negara.

Smarts Coach merancang menganjurkan 'Kem Merdeka' khusus untuk golongan remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Beliau meletakkan sasaran 120 peserta dan antara yang akan ditekankan ialah pengertian jati diri.

"Untuk berjaya kita mesti ada nilai diri dan kita mesti kenal nilai diri kita. Amat sukar untuk pertahankan jati diri jika kita tak tahu nilai diri", jelasnya.

Noordin juga bercita-cita besar untuk Smarts Coach ke luar negara terutamanya negara-negara yang beliau pernah tinggal atas urusan kerja iaitu Jepun, Korea Selatan, Sudan dan Pakistan.

Untuk diri sendiri, Noordin ingin melanjutkan pengajian dalam bidang 'Holistic Psychology' peringkat kedoktoran.

Bagi Noordin, pencapaiannya setakat ini cuma satu kecemerlangan dan berikutnya beliau mahu menjejak langkah luar biasa.

-- BERNAMA

Friday, July 25, 2014

Pandu dengan berhemah hargai nyawa



Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan hari raya Aidilfitri peringkat negeri Terengganu, semalam.

Program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi berkaitan di negeri ini termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur.

Sempena program yang bertujuan memupuk kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya itu, turut diagihkan kira-kira 1600 risalah kepada pengguna jalan raya di Hadapan Medan Selera Padang Negara, Jalan Batu Burok, Kuala Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato Mohd Zubir Embong berkata, dengan adanya kempen sebegini diharap dapat mengurangkan angka kematian akibat kecelakaan jalan raya.

“Sentiasalah berhati-hati di jalan raya lebih-lebih lagi pada musim perayaan. Ini kerana nyawa cukup berharga dan tiada galang gantinya,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan kempen berkenaan.

sumber

Renungan Jumaat : Kelebihan Bulan Ramadhan (2)

Sambungan dari Siri

  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
    • Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
    • Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
·         
·        Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
·        Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)
    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).

Tuesday, July 22, 2014

Puisi : Sidang Dubuk


SIDANG DUBUK


Parlimen dubuk bersidang lagi
khabarnya sidang tergempar
dengan tiada siapapun terfikir
setelah laskar-laskar meraka yang gah
kecundang di medan perburuan

Dengan taring menyeringai
dan lelehan liur menitik geram
Perdana Menteri Dubuk
membentang usul dan solusi :
Kita mesti lenyapkan mereka dari muka bumi
Jangan tinggalkan sekelumit baka
Usah khuatir tentang senjata
Mata buasnya melirik penasihatnya, Serigala

Saya sokong Tuan Perdana Menteri
ibu mereka yang mengandung dan yang boleh mengandung
kita bunuh dan siat tulang belulang mereka
sabda sekor serigala betina berstatus menteri
sambil menyeringai taring dan membusung dada.

Saya sokong sepenuh jiwa
anak-anak mereka kita ratah mentah
kita cakar dan hirup darah
seekor anggota dubuk jantan pembangkang
menyalak sombong mengibas ekor yang kudung

Dewan sidang parlimen bergema dengan ghairah dubuk
seakan meraikan pesta kemenangan kematian
tanpa mereka sedari sasaran buruan di padang saujana
mengukuh senjata jiwa, menajam helah dan daya
beriktikad kejap di hati
berpantang ajal sebelum mati
kerana pemerintah mutlak adalah taklukan Rabbi.

Lara MN
Kuala Terengganu
21072014