Tuesday, February 25, 2014

SK Kampung Raja calon tunggal layak diverifikasi SBT.


Tahniah kepada SK Kampung Raja, Besut kerana menjadi calon tunggal negeri Terengganu melepasi "exit target" dan layak diverifikasi oleh JNJK untuk pengiktirafan SBT. Menurut sumber yang boleh dipercayai hanya segelintir sekolah yang melepasi dan layak untuk dinilai.

SK Kampung Raja yang akan genap 100 tahun pada tahun depan pernah menduduki Band 1 sebelum ini dan pernah dicalonkan untuk SBT dan SKK tetapi persediaan pencalonannya kurang mantap maka peluang itu terlepas begitu sahaja. Usaha untuk mengangkat SK Kampung Raja sebagai SKK kemudian diteruskan semula oleh Allahyarham Cikgu Rosli, Guru Besar, SK Kampung Raja namun akibat "krisis" UPSR yang melanda daerah Besut maka pencalonan SK Kampung Raja tidak diverifikasi. Kekecewaan Allahyarham dinyatakan dalam tangisan kepada saya selaku Pegawai Meja Projek SKK.

Namun apabila PPD Besut mengambil langkah proaktif meletak En. Che Husin bin Ismail sebagai Guru Besar, SK Kampung Raja ia memberi harapan baru bahawa segala kekuatan SK Kampung Raja dan kejayaan patut dipugar dan diangkat tinggi. En. Che Husin bin Ismail yang pernah membawa SK Kuala Besut, Johan 3K Kebangsaan tentu ada resipinya. Apa yang penting beliau sebagai ketua positif menerima cabaran itu. Keyakinan dan harapan jabatan kepada SK Kampung Raja saya tulis dalam blog ini semasa pemantauan sekitar Julai 2013. Boleh baca di sini.

Alhamdulillah hari ini SK Kampung Raja bukan sahaja tercalon sebagai calon Anugerah Tawaran Baru Guru Besar tetapi juga tercalon sebagai SBT. Sebenarnya ada lagi yang kita perhatikan sekolah-sekolah berpotensi di Besut tetapi tidak berubah dan berganjak maju ke depan mungkin disebabkan gaya dan stail kepimpinan yang kurang kreatif dan inovatif. Ini tentunya memerlukan keberanian PPD Besut untuk membuat perubahan dan percaturan.

Di sebalik kejayaan dan keupayaan SK Kampung Raja kita sebenarnya juga kecewa kerana dari 17 sekolah band 1, 5 daripadanya adalah bertaraf SKK tetapi markah yang dikutip dalam pengisian portal tidak melepasi "exit target" dan terkeluar untuk layak diverifikasi. Sewajarnya ini tidak berlaku khususnya kepada SKK yang telah lama kerana peruntukan khas yang diturunkan KPM sewajarnya mampu memperbaiki kekurangan untuk bergerak ke arah SBT. Pada pandangan kami selaku urusetia Sekolah Kecemerlangan Negeri aspek Annex seperti Personaliti Unggul, Jalinan, Jaringan, Anugerah dan Penandaarasan tidak mantap walaupun tiga terbaik diperlukan. Sewajarnya inilah yang harus disedari oleh semua sekolah SKK jika ingin bergerak ke SBT kerana pada pandangan kami aspek SKPM dan akademik sudah mantap dan terserlah.

Kita berharap pencalonan SK Kampung Raja menjadi bechmark dan cabaran kepada semua SKK negeri bahawa sekolah yang tiada peruntukankan pun kalau kena gayanya mampu melonjak tinggi. Dan jika SK Kampung Raja gagalpun meraih Anugerah SBT kerana dasar atau kekurangan sesetengah tempat mereka tetap hebat kerana dalam pemantauan dan tinjauan kami untuk bergerak ke arah SKK mereka sangat memenuhi kreteria. Jika mereka meraih SKK Fasa 9 maka tahun-tahun berikutnya adalah tahun gemilang meraih SBT kerana sebahagian Annex mereka cukup kuat. Terpulang kepada kepimpinan dan para guru SK Kampung Raja. Merekalah pemegang kunci itu.

Tahniah, SK Kampung Raja tiada mustahil dan halangan bagi mereka yang berjiwa besar.


Monday, February 24, 2014

Taklimat Persediaan Pencalonan SKK Tahun 2014

KUALA TERENGGANU - Urusetia Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan telah mengambil inisiatif awal dengan mengadaka taklimat persediaan pencalonan SKK 2014 kepada Guru Besar dan Guru Penolong Kanan sekolah yang berpotensi dan berada dalam takungan untuk calon SKK. Turut hadir sama ialah Penyelia-Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD yang  merupakan pegawai meja SKK di peringkat PPD. Selain itu taklimat turut dihadir Penolong Pengarah Projek Khas/ SBP/Kluster.

En. Rosli bin Chik, KPP Sektor Pengurusan Sekolah dalam ucap utamanya banyak kali menegaskan tentang perlunya peranan kepimpinan sekolah faham tentang konsep SKK dan berupaya mempengaruhi para guru untuk turut serta menjayakan hasrat ke arah SKK. Beliau yakin dengan potensi sekolah yang ada melalui kepimpinan yang kreatif dan inovatif peluang meraih SKK lebih mudah berbanding SBT kerana menurut beliau SKK sekolah hanya bersaing dalam kolompoknya sahaja.

Seramai 27 buah sekolah telah dipanggil dan daripada jumlah itu hanya 16 buah sahaja yang mempunyai potensi dan memenuhi kreteria layak untuk dicalon SKK. Ada sekolah yang sangat cemerlang dari segi akademik tetapi sangat naif dari segi pencapaian kokurikulum dan anugerah yang diperolehi dalam tempoh tiga tahun. Sekolah-sekolah yang terkeluar telah diberitahu sebabnya dan justru mereka telah berada dalam takungan maka mereka perlu melengkap aspek yang kurang menyerlah untuk memasuki pencalonan.

Apa yang menariknya pada tahun ini sekolah Tahap A seperti SK Tok Jiring, SK Sultan Sulaiman 2, SK Kampung Raja dan beberapa lagi mempunyai peluang sangat baik untuk dicalon dan meraih SKK. Berikut sekolah-sekolah yang melepasi saringan dan tercalon untuk peringkat kedua:
  1. SK Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu
  2. SK Tok Jiring, Kuala Terengganu
  3. SK Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu
  4. SK Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu
  5. SK Tapu, Hulu Terengganu
  6. SK Binjai Kertas, Hulu Terengganu
  7. SK Seri Buluh, Hulu Terengganu
  8. SK Batu 7, Dungun
  9. SK Seri Paka, Dungun
  10. SJKC Kwang Hwa, Dungun
  11. SK Kampung Jaya, Setiu
  12. SK Sungai Las, Setiu
  13. SK Ru Rendang, Marang
  14. SK Kelulut, Marang
  15. SK Teluk Kalong, Kemaman
  16. SK Kampung Raja,  Besut
Sekolah-sekolah yang dicalonkan perlu melengkap dan menyempurnakan perkara berikut:
  • Borang pencalonan
  • Folio Pencalonan
  • Power point pembentangan  (20 -30 minit)
  • Power point pencalonan (4 slaid)
  • Profil Sekolah jika belum ada
Borang pencalonan, power point pembentang dan power point pencalonan hendaklah dihantar kepada Urusetia Sekolah Kecemerlangan ( U.P : Unit Sekolah Rendah) pada atau sebelum 10 Mac 2014. Sementara Folio dan Profil hendaklah disimpan di sekolah. Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh hubungi urusetia sebagaimana tercatat dalam edaran.

Bahan Panduan Pencalonan boleh dimuat turun DI SINI.

Sila rujuk email Guru Besar, GPK dan sekolah kerana edaran dan makluman akan menggunakan email sebagai medium.

Pencarian Bakat Murid Pintar dan Berbakat : Saringan Pertama Ujian dalam Talian UKM1 Bermula 1 Feb hingga 31 Mei 2014

Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama UKM,JPN dan PPD sedang mengadakan Pencarian Bakat Murid Pintar Cerdas bagi murid berumur 8 hingga 15 tahun melalui Ujian Saringan UKM1 secara atas talian yang bermula 1 Februari hingga 31 Mei 2014.

Ujian UKM1 boleh diakses di laman web http://ukm1.permatapintar.edu.my sementara maklumat lanjut Program PERMATA Pintar boleh diperolehi melalui web http://www.ukm.my/permatapintar. Ujian ini boleh diambil di mana-mana sumber yang mempunyai rangkaian dan akses internet seperti di sekolah dan lain-lain lagi.

Urusetia Permata Pintar JPN Terengganu dalam mesyuarat pagi ini mengambil beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan seramai mungkin murid mengambil ujian ini. Pada tahun 2013 seramai 24,000 murid Terengganu menyertai UKM1 dan pada tahun 2014 sasaran yang ditetapkan ialah 35,000 murid menyertai ujian UKM1 dengan PPD Kuala Terengganu (10 ribu), PPD Kemaman (5 ribu),PPD Dungun (4 ribu), PPD Besut (5 ribu) Setiu (4 ribu) PPD Marang (4 ribu) dan PPD Hulu Terengganu (4 ribu)

Sementara satu taklimat Permata Pintar akan dilaksanakan di peringkat PPD sebagaimana berikut:
  • Kuala Terengganu - 17 April 2014
  • Setiu - 17 Mac 2014
  • Dungun - 14 April 2014
  • Hulu Terengganu - 9 April 2014
  • Marang - 21 April 2014
  • Kemaman - 31 Mac 2014
  • Besut - 18 Mac 2014
Hingga saat ini setelah hampir sebulan UKM1 dibuka hanya 432 murid telah menyertai. Kita berharap jumlah ini akan terus meningkat bila mana pelbagai bentuk promosi akan dilaksanakan oleh pihak JPN dan PPD. 

Wednesday, February 19, 2014

Status Pengisian Annex untuk Pencalonan SBT 2014 hingga 17 Feb 2014


MERAH: Sekolah belum mula isi
KUNING: Sekolah sedang isi
HIJAU: Sekolah telah habis mengisi tetapi masih boleh menambah maklumat 
 
Kepada sekolah yang masih berstatus warna MERAH dan KUNING sila ambil tindakan SEGERA pada atau sebelum  tarikh tutup pada 21 Februari 2014.
 
 

Tuesday, February 18, 2014

Taklimat Persediaan Pencalonan SKK Fasa 9, 2014

Urusetia Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan, Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti 25 buah sekolah seluruh negeri yang berpotensi untuk dibimbing dan dicalonkan ke arah Sekolah Kluster Kecemerlangan. Walau bagaimanapun sekiranya ada didapati sekolah yang berpotensi serta memenuhi kreteria SKK tetapi tidak tersenarai sila maklumkan kepada pihak urusetia segera agar boleh dijemput
hadir ke taklimat berkaitan sebagaimana berikut:

  • Tarikh    : 24 Februari 2014 (ISNIN)
  • Masa      : 2.00 petang
  • Tempat   : Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu
 Guru Besar dan seorang Guru Penolong Kanan dijemput hadir.

Surat taklimat dan senarai sekolah muat turun DI SINI



Taklimat Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Guru Besar Terengganu 2014

Taklimat Siri 2 dan Siri 3 akan dilaksanakan sebagaimana berikut:

    • Tarikh      :  19 Feb 2014 (Siri 2) dan 20 Feb 2014 (Siri 3)
    • Masa        :  09.00 pagi
    • Tempat     :  Taman Tamaddun Islam, Kuala Terengganu
  • Surat, Jadual dan Peserta Siri 2 muat turun DI SINI
  • Surat, Jadual dan Peserta Siri 3 muat turun DI SINI

Penempatan Guru Baru ke Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Semalam telah diadakan taklimat dan penyerahan surat penempatan sekolah kepada guru sekolah rendah dan menengah yang dipostingkan ke negeri Terengganu. Majlis berkenaan telah diadakan di Rumah Tamu Jabatan Pendidikan Negeri yang disempurnakan oleh En. Rosli bin Chik, KPP Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Terengganu. Turut hadir ialah Penyelia Kanan SJKC Negeri Mrs. Yap dan  Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD Kemaman dan Dungun.

Sebelum itu seramai 7 orang guru baru untuk Bahasa Inggeris di SJKC dan 1orang prasekolah SJKC dan 4 orang guru sekolah menengah telah diberi taklimat mengenai program pembangunan guru baru, etika profesion perguruan dan tatakelakuan sebagai pegawai awan serta hal-hal berkaitan perkhidmatan.

Kita berharap pengurusan sekolah dan rakan-rakan senior di sekolah akan terus membantu guru-guru baru ini supaya profesion ini memberi impak bermakna pada kehidupan berkerjaya mereka.




Sunday, February 16, 2014

Kursus Pembangunan Kompetensi Guru 2014

Permohonan dibuka secara atas talian kepada guru-guru kategori berikut:

  1. Guru Akademik SR, Gred DG41 yang dilantik pada tahun 2009 dan 2010
  2. Guru Akademik SM, Gred DG41 yang dilantik pada tahun 2009,2010 dan 2011
  3. Guru Bimbingan Sepenuh Masa SR dan SM, Gred DG41 yang dilantik 2009,2010,2011
  4. Guru Akademik SR (x-PPLD) Gred DG41 yang dilantik tahun 2010
  5. Guru Jurulatih Sukan dan Jurulatih Seni (Khas Untuk Sekolah Sukan dan Sekolah Seni) Gred DG41 yang dilantik tahun 2009,2010 dan 2011
  6. Guru Akademik SR,Gred DG44 yang dilantik pada tahun 2011 dan 2012
  7. Guru Akademik SM, Gred DG44 yang dilantik pada tahun 2011 dan 2012
Tarikh buka permohonan : 1 hingga 28 Februari 2014
Tarikh pengesahan Guru Besar/ Pengetua : 1 hingga 8 Mac 2014
Web Permohonan : http://apps.moe.gov.my/abpg/BpgOnline

Langkah - Langkah
  • Masuk ke alamat web BPG seperti di atas  dan lihat printscreen di bawah

  • Klik di ruang menu "PERMOHONAN ONLINE" dan masukkan No. Kad Pengenalan dan hantar. Biasanya sebahagian maklumat telah sedia ada cuma lengkap mana yang tidak lengkap
  • Jika ingin kemaskini klik menu KEMASKINI PERMOHONAN. Masukkan No. Kad Pengenalan dan klik hantar

Siaran dan Jadual . KLIK 

Dengan kerjasama dari Unit Latihan JPN Terengganu.
 


Pemantauan Persediaan Pencalonan SBT 2014

HULU TERENGGANU - Sekolah-sekolah Band 1 seluruh negara sedang sibuk mengisi Annex dalam portal NKRA bagi menyediakan diri untuk pencalonan  SBT Fasa 5, 2014. Dan dalam masa yang sama juga kebanyakan sekolah-sekolah ini juga sibuk menyiapkan diri untuk verifikasi Bai'ah atau Anugerah Tawaran Baru Guru Besar.

Bagi membantu persediaan sekolah pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, JPN dan PPD turut sama membuat pemantauan dan bimbingan. Hari Pn. Aini Arifah dari BPSBPSK telah bersama-sama pegawai dari JPN dan PPD Hulu Terengganu telah mengadakan pemantauan di Sekolah Kebangsaan Seri Berang, Hulu Terengganu. Turut sama ialah Guru-Guru Besar Sekolah Band 1, daerah Hulu Terengganu.

Antara perkara yang dilihat dan dibimbing ialah persembahan power point, semakan dokumen Annex dan lawatan persekitaran sekolah.

SK Seri Berang merupakan sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan. Sekolah ini telah tercalon untuk SBT Fasa 4 tetapi beberapa kelemahan dokumentasi Annex menyebabkan ia tidak disenaraikan sebagai penerima Anugerah SBT Fasa 4. Kita berharap dengan penambahbaikan dokumentasi Annex serta aspek-aspek lain sekolah ini  mampu meraih gelaran SBT Fasa 5. Dalam tahun 2013 pelbagai kejayaan telah dicapai oleh SK Seri Berang termasuk menjadi sebuah dari tiga buah sekolah Terengganu yang menerima Anugerah Cemerlang UPSR 2013 Kebangsaan.

Selain SKK SK Seri Berang yang memperolehi Band 1, SK Kuala Berang dan SK Dusun (SKM) adalah dua SKK yang turut tercalon. Dua sekolah ini juga sangat berpotensi untuk dilonjak sebagai SBT pada masa depan. Apa yang kita harapkan sekolah SKK ini dan sekolah -sekolah Band 1 daerah Hulu Terengganu mempunyai sudut yang jelas tentang SBT. Oleh yang demikian gerakan ke arah SBT melalui perancangan yang strategik perlu dimulakan dari sekarang dengan bantuan PPD Hulu Terengganu yang sangat ambisi dan proaktif.

Terima kasih kepada Pn. Aini Arifah atas khidmat nasihat dan bimbingan kepada Guru-Guru Besar Band 1, Hulu Terengganu. Tahniah kepada Guru Besar, SK Seri Berang atas iltizam dan komitmen untuk menjadikan SK Seri Berang sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.



Saturday, February 15, 2014

Status Pengisian Annex Pencalonan SBT bagi Terengganu


Semua Guru Besar
Calon SBT Fasa 5, 2014
Berikut adalah laporan status terkini  kedudukan sekolah yang sedang mengisi Instrumen Annex SBT 2.0 dalam Portal NKRA.

MERAH: Sekolah belum mula isi
KUNING: Sekolah sedang isi
HIJAU: Sekolah telah habis mengisi tetapi masih boleh menambah maklumat sehingga tarikh tutup pada 21 Februari 2014
Tahniah dan terima kasih kepada yang telah selesai dan kepada yang belum selesai sila ambil tindakan  segera.

Taklimat Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Guru Besar Terengganu 2014

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan mengadakan siri Taklimat Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Guru Besar Negeri Terengganu sebagaimana berikut:

  • Siri 1 pada jam 9.00 pagi, 17 Februari 2014 di Taman Tamaddun Islam Terengganu - Guru Besar, Kumpulan 1
  • Siri 2 pada jam 9.00 pagi, 19 Februari 2014 di Taman Tamaddun Islam Terengganu - Guru Besar, Kumpulan 2
  • Siri 3 pada jam 9.00 pagi, 20 Februari 2014 di Taman Tamaddun Islam Terengganu - Guru Besar, Kumpulan 3
  • Siri 4  pada jam 9.00 pagi, 23 Februari 2014 di Taman Tamaddun Islam Terengganu - Pengetua, Kumpulan1
  • Siri 5 pada jam 9.00 pagi, 25 Februari 2014 di Taman Tamaddun Islam Terengganu - Pengetua, Kumpulan 2
Berikut ialah surat jemputan, jadual dan senarai Guru Besar Kumpulan 1 pada 17 Februari 2014. KLIK

Bagi siri 2 dan seterusnya kami akan berusaha upload Surat, Jadual dan Senarai Kumpulan atau memaklumkan jika ada apa-apa perubahan dan pindaan.


Wednesday, February 12, 2014

Pelaksanaan Sistem Aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah Dikaji Semula - Muhyiddin



PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dikaji semula selepas selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya ekoran pelbagai masalah dalam urusan merekodkan butiran dalam pangkalan data pengkomputeran sistem aberkenaan.

"Buat masa ini, sistem aplikasi PBS itu ditangguh sehingga April depan, namun, guru masih perlu menjalankan kerja-kerja merekodkan butiran dan pelbagai perkara yang berkaitan PBS secara manual tanpa menggunakan komputer," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Sekolah Menengah Presint 8(1) di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya, Roaini Jaafar.

Dalam pertemuan sejam itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata mereka membincangkan mengenai pelbagai masalah yang dihadapi guru berhubung sistem aplikasi komputer PBS berkenaan.

Muhyiddin berkata kementerian akan menjadikan Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya sebagai satu kajian kes mengenai permasalahan sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS.

Beliau juga berkata kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diguna pakai di sekolah-sekolah di seluruh negara sekarang akan turut dikaji semula berikutan pelbagai masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pengkomputeran aplikasi berkenaan, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian akan membuat keputusan mengenai dua perkara berkenaan iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian daam masa terdekat.

PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. Bagaimanapun, sejak tahun lepas, golongan guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

-- BERNAMA

Saturday, February 8, 2014

Sembang Sabtu : Ceritanya...

Ceritanya...
Semalam,
Ada mak bapak yg datang meradang,
Menghentak meja,bersuara lantang,
Meluah rasa menjeling pandang,
Kecil hati tak diundang,
Marah benar bila dibuang,
Macam amuk pemain bola dibuang padang..


Ceritanya..
Semalam,
Maruah cikgu diejek-ejek,
Dikata tak layak jadi pendidik,
Ijazah yang ada sekadar dikelek,
Masa mengajar dipendek-pendek,
Pengalaman yang ada disukat cetek..
Telinga cikgu mendengar jelek..


Ceritanya,
Hari ini,
Ada murid yang datang lewat,
Sedangkan rumah duduknya dekat,
Cikgu pun tanya kenapa liat,
Hari-hari lambat,ke mana solat?
Muka murid tersenyum kelat,
Otak murid berfikir ligat,
Nak gentar apa,cikgu tak boleh nak sebat,
Paling tak tulis nama dalam buku lewat..


Ceritanya,
Hari ini,
Ada cikgu megajar di depan kelas,
Ada murid di belakang bersembang bebas,
Ada kerja untuk satu kelas,
Tapi yang siap tak sampai sebelas,
Marah cikgu berbekas-bekas,
Niat dihati mengajar ikhlas,
Yang rajin tiga belas,
Yang lain malas!


Ceritanya,
Esok,
Result UPSR keluar,

Satu sekolah berdebar-debar,
Mak bapak tak sabar-sabar,
Mesti result anak aku bikin gempar...
Silap-silap masuk surat khabar..


Ceritanya,
Bila result mula diumumkan,
Anak dapat cukup-cukup makan,
Anak nangis minta ehsan,
Bukan apa takut balik dirotan,
Anak dipujuk,cikgu disalahkan,
Konon cikgu tak berkelayakan,
Ilmu yg ada tak cukup padan..
Mak bapak melepas baran,Anak aku bukan sebarangan,
Lahir dari keturunan tuan-tuan,
Patut dapat keputusan no one..


Ceritanya..
Hari ini,
Hati cikgu mendidih-didih,
Mak bapak tak tau berterima kasih,
Hati cikgu mana tak sedih,
Tapi cikgu hatinya jernih,
Marah pergi sejuk diraih,
Biar mak bapak makinya berbuih,
Nawaitu cikgu bersifat bersih..
Luhur hatinya tetap ditagih,
Hari ini,aku berterima kasih..


Pada guru yang berperit jerih,
Yang tak pernah letih,
Bukan wang ringgit yang cikgu ketagih,
Cukupla skadar terima kasih..


sumber : fb 

Friday, February 7, 2014

Renungan Jumaat : Empat Punca Hidup Manusia Tidak Tenteram

Sekumpulan bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka.. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing.

Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.


Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.


Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: “Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”


Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!


Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al-Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:


# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain.. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.


Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.


Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: “Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”


Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA 


sumber

Thursday, February 6, 2014

Watikah Pelantikan Pengawas SK Tengku Ampuan Intan (SBT)

KUALA BERANG - Benar sekali kata orang tua-tua, "Melentur buluh biarlah dari rebung". Begitulah juga jika ingin melatih pemimpin biarlah bermula dari awal lagi. Bakat semulajadi dan potensi diri anak-anak harus dikembang dan dibugarkan dengan cara yang betul agar mereka belajar nilai-nilai hidup bermasyarakat dan berorganisasi dengan betul.

Begitulah filosofi dan nilai yang cuba ditanam dan dikembangkan oleh SK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang Sekolah Berprestasi Tinggi ulung di daerah ini. Memilih dan melantik pengawas sekolah bukanlah sesuatu yang baru dan merupakan rutin biasa semua sekolah di awal tahun persekolahan. Namun uniknya sebagai SBT pihak sekolah terutama Tuan Haji Mohd Hassan Draman, Guru Besar SK Tengku Ampuan Intan telah melaksanakan satu inovasi dalam kaedah dan tatacara pemilihan pengawas sekolahnya. Menurut beliau pihak sekolah telah merangka prosidur dan sistem pemilihan pemimpin murid secara terbuka sebagaimana langkah-langkah berikut:
  1. Hebahan permohonan
  2. Edaran Borang Permohonan di Kaunter Borang Permohonan Pemimpin murid
  3. Taklimat mengisi borang , mengisi dan penyerahan borang kepada panel pemilih
  4. Sesi temuduga
  5. Panel pemilih mendapatkan maklum balas dari warga sekolah berkaitan prestasi, sahsiah dan kegiatan kokurikulum
  6. Mesyuarat penyelarasan akhir
  7. Calon-calon pengawas mengikuti Kursus Persediaan yang dinamakan Program Pemimpin Muda
  8. Penyerahan Surat Tawaran Pelantikan dan maklum balas penerimaan pelantikan
  9. Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan
Hasil dari inovasi kaedah ini mereka yang terpilih benar berwibawa dan berbakat. Ini dapat dilihat semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 163 orang yang terdiri dari Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya dan Pengawas Kedai Sekolah. Majlis yang diadakan di Dataran Intan, SK Tengku Ampuan Intan telah disempurnakan oleh En. Mat Lazim Noor, Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster. Turut hadir ialah En. Nasharudin Abu Bakar, dari PPD Hulu Terengganu  dan Sarjan Mohd Soekarno Ab, Hamid dari IPD, Hulu Terengganu merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah ini.

Sebenarnya program melatih kepimpinan bagi melahirkan pelajar yang boleh memimpin adalah salah satu dari enam Aspirasi Murid dalam Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025. Justru itu adalah menjadi kewajipan semua sekolah merangka dan melaksanakan program-program yang mampu membina sifat kepimpinan di kalangan pelajar mereka.  Walaupun ianya mungkin perkara biasa tetapi dengan sentuhan yang kreatif dan inovatif ia menjadi sesuatu yang menarik dan mempunyai nilai pembelajaran yang tinggi.

Kita berharap dan sentiasa berdoa semoga anak-anak didik yang terbiasa dan terasuh dengan nilai kepimpinan yang baik suatu hari nanti berupaya menjadi pemimpin yang hebat. Pengalaman yang diperolehi secara pengalamian sangat bermakna bagi mereka. Sediakan peluang bagi mereka mencanai bakat yang ada.


Wednesday, February 5, 2014

Kejayaan anak boleh ditempa di mana-mana sekolah....

Jika kita teliti dan perhati dalam pelbagai medium selepas musim kemasukan sekolah ini kita dapati ada segelintir ibu bapa melahirkan rasa kecewa. Kecewa kerana anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan awam terutama UPSR mahupun PMR tidak terpilih ke mana-mana sekolah "impian dan idaman" mereka. Sekolah-sekolah yang dianggap berprestaj seperti Sekolah Berasrama Penuh, sekolah-sekolah Elit yang dikawal ataupun MRSM dan seumpamanya. Kita percaya kadang-kadang rasa kecewa ibu bapa melebihi darjah kekecewaan anak-anak.

Dalam masa yang sama ada juga segelintir pelajar cemerlang dan ibu bapa mereka (sesetengahnya golongan pertengahan ) lebih reda bersekolah di sekolah biasa. Alasan mereka biarlah mereka berada di depan mata dan kita dapat berikan perhatian dan kasih sayang sebelum mereka ke universiti, berkahwin dan berkeluarga. Mereka tidak bimbang atau mempersoalkan bahawa anak mereka yang cemerlang bakal kecundang kerana belajar di sekolah yang dianggap "tiada kelas" atau " cap ayam" bagi sesetengah pihak. Mereka yakin dengan pegetua, penolong kanan dan guru-guru yang majoriti terlatih dan memiliki sekurang-kurang ijazah sarjana muda.

Sebagai ibu bapa juga saya pernah merasai "kekecewaan" ini bila anak saya yang kedua lulus PTS dan lompat terus ke Tahun 5 dan setahun kemudian lulus 5A , UPSR. Sayangnya anak saya terbukti "cerdik" tidak ditawar ke mana-mana walaupun dalam masa yang sama kakaknya yang mengambil UPSR bersama-sama mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh. Jelas diwajahnya kecewa teramat namun sebagai seorang guru dan motivator saya berjaya memulih semangatnya. Saya kata 'kalau kak ngah hendak ke SBP dan MRSM kak ngah ada satu lagi peluang iaitu dapatkan 9A dalam PMR".

Di sekolah menengah biasa yang " tidak kelas " dan "cap ayam" ini anak saya meneruskan perjuangan. Saya beri nama sekolah itu demikian kerana ada peristiwanya. Semasa saya bertugas sebagai pegawai pengurusan murid di Unit Sekolah Menengah seorang ibu bersama seorang anak yang tinggal di kampung di mana anak saya yang kedua ini bersekolah ibu ini ingin menukar anaknya itu ke satu sekolah primier di daerah lain dengan alasan sekolah menengah dekat rumahnya "tidak kelas" dan "cap ayam". Telinga saya berdesing dan hati saya membara. Lalu saya kata kepada mak cik ini;

 "Mak cik semua sekolah menengah kita letak semua guru terlatih dan terbaik. Sekolah kampung mak cik saya letak anak saya yang dapat 5A UPSR. PMR dia dapat 9A di sekolah yang sama. Dia dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh di Kuala Lumpur. Enam bulan saja mak cik dia sekolah sana. Sekarang dia balik belajar kat sekolah asal kerana dia kata sekolah lama dia lebih selesa. Kalau saya nak letak sekolah Sultan Sulaiman boleh tapi saya yakin kalau anak saya hendak belajar sekolah manapun dia akan belajar. Isteri sayapun mengajar sekolah kampung mak cik juga", terang saya panjang lebar. Akhirnya mak cik ini membatalkan niat untuk menukar sekolah anaknya.

Itulah tanggapan dan persepsi ibu bapa kepada sekolah kampung mereka sendiri. Entah apa sebab saya tidak pasti. Mungkin mereka pernah melihat "ketidak cemerlangan" atau " kelonggaran disiplin" hingga tidak nampak kemenjadiannya anak didik di situ. Atau mereka hanya terpengaruh dengan jenama sekolah hebat ini sahaja. Apapun pengurus sekolah dan guru-guru wajar mempromosi dan mempamir kehebatan sekolah masing-masing menyamai sekolah ternama dan berjenama ini. Kita yakin kita mampu buat sebagaimana yakinnya saya mempertaruhkan masa depan anak saya yang cemerlang di sekolah menengah biasa. Saat ini anak saya yang tidak dapat ke mana-mana itu sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) di salah sebuah universiti tempatan dalam bidang sains. Saya boleh katakan beliau adalah sebilangan ramai yang berjaya ke menara gading dari jasa guru dan semangat juang di sekolah biasa atau sekolah cap ayam ini. Hari ini saya bersyukur kerana jika dia "tidak lari" dari sekolah hebatnya dan masuk semula ke sekolah lama yang biasa-biasa itu, anak saya mungkin tidak seperti mana apa yang dia dapat pada hari ini.

Apabila anak yang hebat dan cemerlang berada di sekolah biasa mereka akan menjaga reputasi untuk menjadi yang terbaik. Mereka belajar bersungguh-sungguh agar prestasi tidak jatuh dan mengelakkan malu. Mereka seronok berada di depan dan secara tanpa sedar mereka berusaha tanpa tekanan membugar keupayaan mereka sendiri. Peluang seperti ini tidak mereka nikmati dan sentiasa berada dalam tekanan untuk meraih yang terbaik kerana mereka berada dalam kolompok di mana semua hebat dan bagus malah jauh lebih bagus dari mereka. Kerap kita dengar mereka ini tertekan bukan sahaja bagi mengekalkan prestasi, rindukan keluarga dan sukar menyesuaikan diri dan akhirnya "lari" balik. Buang masa, tenaga dan wang ringgit.

Begitu juga saya cukup tertarik dengan seorang sahabat saya , yang mana kedua-dua anaknya mendapat pelajar terbaik PMR di sekolah menengah biasa terus mengekalkan anak-anaknya di sekolah tersebut dan menolak tawaran SBP. Beliau juga seperti saya , yakin dengan kemampuan pengurusan sekolah dan para guru memugar potensi dan kupayaan anak-anaknya. Sekolah menengah kita yang ada bukan sahaja mempunyai guru siswazah terlatih dan mencukupi tetapi juga peralatan PdP yang canggih dan terkini.

Sewajarnya kita sebagai ibu bapa dan ahli masyarakat sentiasa menyokong dan memberi sumbangan tenaga, pemikiran dan wang ringgit untuk membangun pendidikan di sekolah-sekolah kampung kita. Sekolah kampung kita sewajarnya menjadi lambang dan simbol kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan terbilang. Sekolah-sekolah yang kecil, kurang murid dan pedalaman Hulu Terengganu sebagai contoh menjadi sekolah hebat dan terbilang dalam pelbagai bidang. Satu pertiga daripada sekolah Band 1 dan juga prestasi UPSR terbaik datang dari daerah ini. Kita percaya kejayaan dan kehebatan ini terjadi justru eratnya jalinan dan jaringan insitusi sekolah dengan pelbagai lapisan peringkat masyarakat dan agensi setempat.

Kita menyeru kepada ibu bapa yang mana anak-anak mereka yang cemerlang tetapi tidak dapat ke sekolah terpilih tidak kecewa dan berputus asa. Ruang dan peluang untuk mereka berjaya di sekolah feeder mereka terbuka luas. Apa yang penting bagaimana kita mampu membina minda dan sikap positif kepada anak-anak kita untuk mereka  berjaya dan memanafaatkan peluang-peluang yang ada. Orang yang berjaya akan sentiasa akan merebut peluang tetapi orang yang malas dan gagal akan tahu mencipta pelbagai alasan.


Tuesday, February 4, 2014

Taklimat Persediaan Pencalonan dan Verifikasi SBT Fasa 5,2014

KUALA TERENGGANU - Urusetia Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Jabatan Pendidikan Negeri hari ini telah mengadakan taklimat berkaitan kepada semua guru besar sekolah Band 1. Turut hadir ialah KPP Sektor Pengurusan Sekolah, Ketua Unit Rendah, Timbalan PPD , Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD dan pegawai-pegawai JPN Negeri. Taklimat berkenaan diadakan di Bilik Mesyuarat Alamada JPN  Terengganu.

Ketua Sektor , Sektor Pengurusan Sekolah  Tuan Haji Md Yasin Mohd Salleh dalam ucap utamanya berharap sekolah Band 1 yang telah beberapa kali berada di band berkenaan serta menerima Anugerah Tawaran Baru dapat dilonjakkan ke Sekolah Kluster Kecemerlangan dan seterusnya Sekolah Berprestasi Tinggi. Menurut beliau PPD perlu memainkan peranan membantu sekolah berpotensi dalam daerah masing-masing melonjak ke sekolah SBT yang mana setiap daerah sekurang-kurangnya ada 1 SBT dan 2 SKK sebagai KPI yang ditetapkan oleh KPM dan JPN.

Sehingga saat ini jumlah Sekolah Berprestasi Tinggi bagi negeri Terengganu ialah 9 buah (4 SR dan 5 SM). Beliau yakin bahawa bilangan sekolah SBT mampu ditambah kerana beliau banyak sekolah Terengganu yang mempunyai potensi. Beliau mahu aspek Annex diberi penekanan khususnya sekolah SKK yang menjadi calon utama untuk dilonjakkan ke sekolah SBT.

Dari 21 buah sekolah rendah Terengganu 4 daripadanya terdiri dari sekolah SBT, 5 buah dari SKK dan selebihnya sekolah biasa dan ada antaranya sekolah-sekolah kekurangan murid (SKM). Majoriti sekolah-sekolah Band 1 tercalon untuk Anugerah New Deal atau Anugerah Tawaran Baru Pengurusan Sekolah. Ada antaranya bakal memasuki tahun keempat menerima anugerah berkenaan.

Kita berharap melalui pendedahan taklimat dan bengkel ini sekolah bertaraf SKK dapat membuat lonjakan saujana pada masa depan sebagai calon utama untuk meraih SBT. Sementara bagi sekolah-sekolah yang baru tercalon dapat memahami secara mendalam pengertian SBT, keperluan dan kaedah untuk menggapainya. Kita berharap  sekolah-sekolah mengorak ke hadapan sekurang-kurangnya maraih SKK sebelum menjulang status sekolah SBT.

Kita sangat yakin peluang dan kekuatan kepimpinan Guru Besar dengan kerjasama warga sekolah, ibubapa dan masyarakat mampu merubah dan menjenama semula sekolah kita yang hebat untuk showcase antarabangsa yakni Sekolah Berprestasi Tinggi. Kalau SK Ulu Lubai yang berada jauh nun di pedalaman Serawak mampu meraih anugerah SBT mengapa kita di bumi Anjung Ilmu tidak boleh menggapainya ?

Panduan dan bahan Taklimat SBT. KLIK


Monday, February 3, 2014

Majlis Hari Anugerah Cemerlang UPSR SK Sungai Pergam

KEMAMAN - SK Sungai Pergam (Asli) hari ini telah mengadakan Anugerah Cemerlang UPSR kepada calon-calon UPSR  2013 yang telah menunjukkan kejayaan. Seramai 10 orang calon telah menduduki UPSR 2013 dan salah seorang telah mencapai tahap minum C bagi semua mata pelajaran. Ini merupakan satu rekod kejayaan bermakna bagi murid-murid Asli SK Sungai Pergam.

YB Haji Wan Abd. Hakim Tan Sri Hj Wan Mokhtar, ADUN Air Puteh telah sudi hadir menyampaikan ucapan dan hadiah kepada pelajar-pelajar terbabit. Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Terengganu, Penghulu Mukim Jabor, Batin-Batin, Pengerusi dan AJK PIBG, JKK dan juga para ibubapa.

Menurut YB ADUN Air Puteh juga pelbagai usaha sedang dilaksanakan kerajaan untuk mempertingkatkan pendidikan anak-anak orang Asli. Menurut lagi hasrat untuk membina asrama dengan bantuan agensi kerajaan sedang diusahakan.

Sekiranya usaha mendapat asrama di satu kawasan yang telah dikenalpasti berjaya dan usaha-usaha membina bangunan baru dan kemudahan infrastruktur di lokasi yang sama terlaksana  kita yakin satu pusat kecemerlangan pendidikan di Sg Pergam mampu membawa banyak perubahan. Jika impian ini tercapai maka Sekolah K9 boleh diujudkan hingga ke tingkatan 3 di tempat sama dan pastinya masalah keciciran anak-anak Asli ke sekolah menengah dapat diatasi atau dielakkan.

Hasil kepimpinan Guru Besar, guru-guru, ibubapa dan kepimpinan YB dan masyarakat setempat telah menampak sinar kesedaran baru di kalangan orang Asli Sungai Pergam kepada pendidikan. Mengikut En. Shafie Abu Bakar, Guru Besar SK Sungai Pergam peratus kehadiran murid semakin baik dan band sekolah telah meningkat dari Band 7 ke Band 6.

Kita sangat yakin dengan iltizam dan komitmen guru juga sokongan ibu bapa serta kepimpinan setempat yang erat pendidikan anak Asli SK Pergam akan mengalami tranformasi baru yang lebih menyerlah. Soalnya sejauh mana kita berubah sikap dan mempertingkatkan usaha. Kata orang hendak seribu daya, mahu seribu cara.


Saturday, February 1, 2014

Sembang Sabtu : Menjaga maruah dan integriti guru sebagai penjawat awam

 gambar hiasan

Hari ini sudah tiga puluh dua hari kita melangkah ke tahun baru. Terasa pantasnya masa berlalu. Mungkin perasaan itu timbul sama ada kerana kita terlalu banyak kerja atau berbagai program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu kita terasa akan hambatan sedemikian. Apapun sepanjang itu terdapat pelbagai peristiwa dan tragedi yang menodai maruah dan integriti kita kaum guru.

Menjelang akhir tahun lepas kita digemparkan dengan seorang Guru Penolong Kanan perempuan di Melaka telah merakam video lucah dengan pendatang asing. Kemudiaan pada Januari lalu kita dipaparkan dengan seorang Guru Besar dan seorang guru perempuannya berusia dua puluhan di Pasir Mas, Kelantan didakwa kerana melakukan kesalahan mukadimah zina. Kita juga ditunjukan oleh blog berita seorang guru perempuan  berusia tiga puluhan juga di Kelantan didakwa atas kesalahan yang sama dengan seorang pengimpal. Kemudian kita digemparkan dengan seorang guru SJKC di Perak mendenda pelajarnya dengan menggantung loceng lembu dan diarah makan rumput. Bahkan banyak lagi "tingkah laku dan tatatkelakuan guru selaku pegawai awam" menjatuhkan maruah dan integriti pegawai awam yang tidak tertulis berlaku diinstitusi pekerjaan kita.

Bila isu seperti ini berlaku ada yang berkata " biasalah gurupun manusia juga" atau "kerana guru ramai maka nampaklah kesalahannya , kakitangan lainpun teruk juga". Sebenarnya tidak kira siapa dia selagi masih berkhidmat dengan kerajaan maka dia adalah kakitangan awam. "Baju" kakitangan awam yang ada padanya terpakai dua puluh empat jam sehari ataupun selagi belum bersara. Kakitangan awam juga orang awam tetapi orang awam tidak sekali-kali dalam masa sama menjadi kakitangan awam. Ini bermakna segala Peraturan dan Tatakelakuan Pegawai Awam 1993 terpakai sepanjang masa  bagi menjaga maruah dan integriti pegawai awam.

Jangan sesekali kita merasa segala beban dan tanggungjawab pegawai awam akan terlepas apabila kita tidak lagi berada dalam waktu bertugas. Kita merasa seolah-olah kita boleh berbuat apa sahaja apalagi yang salah yang orang lain buat. Orang lain langgar api merah kita langgar api merah. Orang lain buat dating kita juga buat dating. Orang lain buat kerja luar kita buat kerja luar tanpa kebenaran. Orang lain aktif dalam politik kita juga aktif dalam politik tanpa kebenaran. Jangan kita pakai pukul "loncong" kerana kita kakitangan awam serupa tapi berbeza dengan orang  awam. Justru itu apa sahaja kesalahan yang kita buat walaupun di luar waktu pejabat akan terpalit sama nama baik perkhidmatan awam. Sebab itu mana-mana kakitangan awam yang mencemar nama baik perkhidmatan awam boleh dikenakan hukuman sebagaimana perutukan Tatakelakuan Pegawai Awam 1993.

Namun yang lebih malang jika kesalahan mereka disabitkan dengan hukuman penjara sehari atau denda melebihi satu emolumen (satu bulan gaji) mereka akan kehilangan semua hak dan keistimewaan sebagai kakitangan awam. Jika akan bersara sebulan sahaja lagi tetapi dikenakan hukuman sedemikian maka pencen, graduiti dan segala faedah akan hilang sekelip mata. Kita kadang terpesona dengan  percikan neon seperti kelkatu tetapi keseronokan sementara itu "membunuh" kehidupan kita hingga ke liang kubur.

Saya berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan sejawat khususnya kaum guru supaya sama-sama kita menjaga maruah dan integriti perkhidmatan kita dan menggunakan "anugerah" ini sebaik mungkin bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat. Saya menyatakan perkhidmatan kita ini sebagai anugerah besar Allah kepada kita kerana dari pada puluhan juta penduduk negara, kita menjadi salah seorang kakitangan awamnya. Sewajarnya kita menjaga amanah, maruah dan integriti jawatan kita dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki.

Kita berharap peristiwa dan catatan peringatan ringkas ini menjadi renungan dan iktibar untuk kita memahami status kita sebagai penjawat awam dan berusaha menjaganya biarpun dalam situasi tertentu kita menjadi orang awam. Buatlah sesuatu yang betul dengan betul dan jangan biasakan yang salah sebagai betul.