Tuesday, January 28, 2014

Guru Besar terlampau terima hukuman



ALOR SETAR - Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam kokurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.

Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakaria Md Lazim, 56, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini.

Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 yang dia mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bernilai RM6,300, set pakaian Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700 pada November 2008.

Zakaria juga didakwa bagi pertuduhan kelima, menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Zakaria didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kesemua pertuduhan.

Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan (hari ini), manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan. Dia tidak membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nizan Azdahari. - Bernama


Guru Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Kamalanathan



SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor Muhammad Rizuan Suhaimi, yang didakwa menumbuk leher Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan dua minggu lepas, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Anggota Parlimen Hulu Selangor itu.

Beliau dalam sidang media di sini hari ini juga melahirkan rasa terharu dan terhutang budi kepada Kamalanathan, yang dilaporkan semalam sanggup memaafkannya.

Muhammad Rizuan yang bertugas sebagai guru berkata tindakan Kamalanathan itu membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan sanggup mengetepikan soal peribadi untuk keharmonian masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

"Kemaafan beliau itu sesungguhnya memberikan nafas baharu kepada saya dan keluarga atas ketelanjuran perbuatan saya terhadap beliau. Saya dengan penuh penyesalan dan rendah diri ingin memohon maaf secara terbuka kepada Yang Berhormat P. Kamalanathan," katanya.

Kamalanathan dalam kenyataannya semalam berkata perbuatan Muhammad Rizuan itu merupakan isu peribadi dan satu tindakan emosi yang tidak disengajakan dalam kejadian yang berlaku di pejabat wakil rakyat itu pada 12 Jan lepas.

Muhammad Rizuan dikatakan kecewa dengan timbalan menteri itu yang tidak membantu isterinya yang mengajar di sebuah sekolah di Batu Pahat supaya ditukarkan ke Selangor.

-- BERNAMA


Monday, January 27, 2014

Taklimat Persediaan Pencalonan SBT 2014

Semua Guru Besar sekolah-sekolah berikut:

  1. SK Kampung Raja, Besut
  2. SK Tok Dor, Besut
  3. SK Tepus, Dungun
  4. SK Batu 7, Dungun
  5. SK Kampung Chabang, Kemaman
  6. SK Rantau Petronas, Kemaman
  7. SK Paya Bunga, Kuala Terengganu
  8. SK Kuala Berang, Hulu Terengganu
  9. SK Dusun, Hulu Terengganu
  10. SK Langgar, Hulu Terengganu
  11. SK Tapu, Hulu Terengganu
  12. SK Kemat, Hulu Terengganu
  13. SK Teris, Hulu Terengganu
  14. SK Seri Berang, Hulu Terengganu
  15. SK Lubok Teras, Setiu
  16. SK Sungai Las, Setiu
  17. SK Lembah Jaya, Setiu
Taklimat Persediaan Pencalonan SBT 2014 akan diadakan sebagaimana berikut:
  • Tarikh : 4 Februari 2014 (SELASA)
  • Masa :  8.30 pagi
  • Tempat : Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu.
Surat jemputan sila muat turun DI SINI



Wednesday, January 22, 2014

Pengisian Instrument Annex Sekolah Berprestasi Tinggi 2.0 di Portal NKRA 2014

Tahniah kepada sekolah-sekolah Terengganu yang tersenarai Band 1 dan layak tercalon menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Sekolah terlibat wajib mengisi dan memenuhi :

  1. Mengisi instrument Annex SBT 2.0 di Portal NKRA mulai 21 Januari hingga 21 Februari 2014
  2. Tiada Laporan Audit Berteguran Tahun Kewangan 2011,2012 dan 2013
  3. Verifikasi bagi sekolah yang tercalon oleh JNJK  bermula 23 Februari 2014 meliputi verifikasi SKPM dan Annex
  4. Selain itu dokumentasi/evidens juga akan dinilai.
Urusetia SBT JPN akan mengadakan taklimat khas yang dijangka diadakan sebagaimana berikut:
  • Tarikh : 4 Februari 2014
  • Masa : 9.00 pagi
  • Tempat : Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu
Sekolah Band 1 terlibat ialah:
  1. SK Kampung Raja, Besut
  2. SK Tok Dor, Besut
  3. SK Tepus, Dungun
  4. SK Batu 7, Dungun
  5. SK Kampung Chabang, Kemaman
  6. SK Rantau Petronas, Kemaman
  7. SK Paya Bunga, Kuala Terengganu
  8. SK Kuala Berang, Hulu Terengganu
  9. SK Dusun, Hulu Terengganu
  10. SK Langgar, Hulu Terengganu
  11. SK Tapu, Hulu Terengganu
  12. SK Kemat, Hulu Terengganu
  13. SK Teris, Hulu Terengganu
  14. SK Seri Berang, Hulu Terengganu
  15. SK Lubok Teras, Setiu
  16. SK Sungai Las, Setiu
  17. SK Lembah Jaya, Setiu
Sekolah di atas terutama sekolah bertaraf SKK dapat membuat persiapan dan persediaan awal.


Saturday, January 18, 2014

Sembang Sabtu : Berlari datang ke sekolah, berjalan pulang ke rumah


Pada minggu lepas saya dan dua orang kawan dari JPN bersama-sama dengan rakan-rakan dari seluruh negara yang mempunyai sekolah  murid orang Asli berkumpul dua hari di Putrajaya membincangkan mengenai pelbagai isu pendidikan orang Asli. Isu besar adalah berkaitan kehadiran, pencapaian dan kesedaran murid dan masyarakat Asli.

Apa yang menarik perhatian saya ialah dakwaan sahabat saya dari Johor yang mengatakan bahawa murid orang Asli di sebuah sekolah Asli di Johor "berlari datang ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah". Dalam erti kata yang lain mereka sangat berminat datang ke sekolah dan seakan tidak mahu balik ke rumah. Sungguh luar biasa dalam saat majoriti baik di sekolah manapun bila tiba loceng akhir sekolah biasanya gegak gempita dengan sorakan murid. Seoalah-olah terlepas dari penjara atau kongkongan yang menyiksakan seharian ada murid di sekolah seakan tidak rela hadirnya waktu balik.Menakjubkan.

Seringkali bila kita ketemui kes luar biasa seperti ini apalagi di sekolah Asli yang umumnya jauh dan tersohor dengan keciciran serta peratusan kehadiran rendah kita mencari sebab dan puncanya. Kata sahabat saya faktor dominan adalah guru yang mengajar yang amat kreatif dan enviromen sekolah yang kondusif. Biar sekolah lama atau sekolah kampung dari binaan kayu tetapi kalau kemas, bersih dan ceria ianya mampu menjadi faktor penarik murid untuk berlama-lama di sekolah.

Berdasarkan pengalaman kita yang pernah bergelar murid tentunya kita tiada hujah untuk menolak bahawa salah satu faktor untuk kita datang dan seronok ke sekolah ialah kerana faktor guru. Kita tentunya suka guru yang cantik, hensom dan kemas. Dalam diam bukan sedikit kita berusaha meniru cara guru berpakaian dan sikat rambut. Dan dalam diam kita berazam untuk menjadi guru kerana aura guru kita itu.
Faktor fizikal guru sahaja sudah cukup kuat untuk kita merasa seronok dan "jatuh hati" pada guru kita biarpun mereka sendiri tidak pernah tahu.

Selain dari itu sebagai manusia biasa dan sebagai murid kerdil kita sangat teruja bila guru sebut nama kita. Kita sangat bangga bila guru puji kerjabuat kita. Bila cikgu tanya macam-macam tentang kita dan keluarga kita. Apa lagi bila guru kenal rapat ayah, ibu atau abang dan kakak kita. Lagi melangit rasa bangga dan tersanjungnya kita. Kita rasa seronok, selamat dan bahagia kerana cikgu beri perhatian kepada kita. Kita pun akan sentiasa mencari sebab dan alasan untuk rapat sama ada melakukan kerja sekolah dengan baik, menawar diri ingin menolong atau apa sahaja untuk memenangi hati mereka. Kita sentiasa dahagakan pujian dan perhatian cikgu kesayangan kita.

Bila kita seronok dan selesa dengan guru kita ditambah dengan pengajarannya yang menarik maka kita sangat seronok belajar dan suka datang ke sekolah. Guru yang kreatif dalam pengajaran akan menggunakan pelbagai pendekatan dan bahan bantu. Mereka sentiasa sabar membimbing dan bukannya sebagai pemaksa untuk murid menerima apa yang mereka ajar. Variasi dalam penyampaiannya amat mengkagumkan. Ada yang menggunakan unsur nyanyian, multimedia dan sebagainya yang pasti menyeronokkan. Dalam keseronokan belajar begini guru yang hebat mampu menjentik minda dan menanam nilai-nilai yang berkesan hingga kini masih subur di dalam jiwa kita.

Kita akan seronok dan tidak tertekan bila guru kita mahir dan sangat kompeten dalam pengajarannya, penggunaan peralatan dan bahan bantu mengajar. Kadang-kadang kehebatan guru kita itu seperti keajaiban seperti seorang silap mata. Tidak pernah marah atau "musang" bila kita kurang faham tetapi diperjelas dan diperluas hingga kita sebagai murid merasa sangat istimewa dan disayangi. Keikhlasan mereka terserlah. Kita tentu tidak lupa hingga kini jika ada guru kita masa dulu yang pernah membubuh ubat pada luka kita sebab bukan sahaja mereka sekadar membubuh ubat tetapi nasihat dan semangatnya sentiasa hidup di dalam jiwa kita.

Sesekali kita bertanya berapa ramaikah lagi guru yang mempunyai jiwa guru seumpama ini. Adakah lagi guru yang bukan sahaja mendidik akal untuk jadi cerdik tetapi juga mendidik jiwa menjadi insan yang ehsan. Jiwa yang bersyukur, pengasih dan penyayang. Guru yang jika bertukar diratapi kesedihan bukan sahaja oleh murid-murid, rakan sejawat tetapi juga oleh ibubapa dan masyarakat. Guru yang apabila telah kembali mengadap Rabbi diratapi, jasanya dikenangi dan ilmunya laksana pohon rimbun sepanjang zaman.  Atau kita menjadi insan yang tidak di pandang lagi oleh murid, rakan sejawat dan ibubapa kerana sikap dan nilai kita yang tidak selaras dengan gelaran jawatan keramat sebagai "guru" atau "cikgu".

Adakah putaran keadaan menyebabkan kaum guru sudah tidak seronok menjadi guru hingga kesempatan membina keseronokan hilang dengan pelbagai beban tugas yang dilambak di pundak mereka. Atau perubahan-perubahan nilai dalam masyarakat yang tidak lagi melihat guru sebagai insan rujukan segala hal. Hingga segalanya kian menjauh,terpisah dan terasing.

Apapun mahu tidak mahu cabaran kita kaum guru,mencari jalan bagaimana untuk menjadikan murid kita " berlari datang ke sekolah, berjalan pulang ke rumah" dengan kudrat dan kekuatan kendiri kita. Itulah amanah kita sejak berzaman. Tanpa murid tiadalah kita. Tiada kemenjadian murid yang hebat begitu rupa tanpa kemenjadian guru yang luar biasa.Mari kita hayati dan amalkan sepenuhnya konsep "Guru Penyayang". Semoga semasa hidup kita tersanjung, bila tiada sentiasa hidup di jiwa murid kita.,




Friday, January 17, 2014

Renungan Jumaat : Mengubati kemarahan membuak



Marah dalam situasi tertentu adalah perlu. Tetapi marah berterusan walaupun atas sebab yang kecil dan tidak munasabah adalah penyakit. Penyakit perlu diubat sebelum menjadi parah. Apalagi penyakit marah umpama api yang jika dibiarkan boleh membakar ikatan perpaduan, perkahwinan, persaudaraan dan bermacam lagi yang boleh membawa musibah kehilangan nyawa dan harta benda. 

Justru untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. 

Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihina-dinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan

Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini: A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.


Thursday, January 16, 2014

Menteri, pegawai pendidikan turun padang pantau kenaikan harga barang di sekolah



2014/01/16
PUTRAJAYA: Kepemimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan termasuk menteri, serta pegawai di peringkat negeri dan daerah akan turun padang secara mengejut bagi memantau kenaikan harga barang yang dilaporkan berlaku di sekolah.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah Pendidikan Negeri untuk melihat sendiri situasi berkenaan bagi memastikan pelajar dan ibu bapa tidak terbeban dengan kenaikan harga makanan.

"Bagaimanapun kita dapati tidak semua kantin menaikkan harga makanan seperti dilaporkan, namun kita akan terus memastikan ia terkawal," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Kebangsaan Putrajaya 9 (1), Presint 9 di sini, sebentar tadi.

Monday, January 13, 2014

Salam Maulidur Rasul



Anugerah Sekolah Cemerlang UPSR Kebangsaan 2013

Tahniah dan syabas kepada Guru Besar dan warga SK Tengku Mahmud, Besut, SK Kampung Raja Besut dan SK Seri Berang, Hulu Terengganu kerana menerima Anugerah Sekolah Cemerlang UPSR Kebangsaan 2013. Majlis berkenaan telah diadakan di SK Ijok, Kuala Selangor, Selangor yang dirasmikan oleh YB Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan 11.

Majlis berkaitan juga turut dihadiri oleh YB Dato' Marry Yap, Timbalan Menteri Pendidikan dan Yang Berbahagia, Datuk Dr. Khir Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

SK Tengku Mahmud, Besut adalah salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi yang mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR 2013. Manakala SK Seri Berang, Hulu Terengganu adalah Sekolah Kluster Kecemerlangan yang bukan sahaja antara terbaik di negeri tetapi juga mempunyai antara ranking teratas dalam SKK Kebangsaan selain SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (SKK) dan SK Dusun , Hulu Terengganu (SKK). Sementara SK Kampung Raja, Besut juga antara sekolah primier dan juga telah beberapa kali dicalonkan SKK dan SBT.

Kita berharap anugerah ini akan menyemarakkan lagi warga sekolah dan juga mampu merangsang sekolah-sekolah lain untuk terus mencipta kecemerlangan. Tahniah dan syabas.


Sunday, January 12, 2014

Pangkat dalam KRS

Berikut adalah kedudukan pangkat terkini pangkat dalam Kadet Remaja Sekolah (KRS). Semoga mana-mana kesilapan dalam pangkat diperbaiki dan diperbetulkan segera.

PEGAWAI PENGURUSAN KRS JPN

PEGAWAI PENGURUSAN KRS DI PPD

PENGURUSAN KRS/TKRS DI SEKOLAH
PANGKAT GURU YANG JADI JURULATIH



Jihad Dalam Pendidikan Perlu Bagi Angkat Martabat Negara - Najib



PEKAN, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 'jihad' dalam bidang pendidikan dilihat amat penting untuk mengangkat martabat bangsa dan negara bagi mencapai status negara maju.

Beliau berkata ketika ini masyarakat negara ini dilihat belum bermati-matian memburu kejayaan terutama dalam bidang pendidikan bagi membentuk modal insan cemerlang.

Najib berkata di negara tertentu seperti Korea Selatan dan Jepun misalnya, mereka amat menekankan bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang berikutan kekangan sumber hasil bumi.

"Kekurangan kita adalah kesungguhan bermati-matian dalam memburu kejayaan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecermelangan UPSR dan PMR Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan di Pekan, Sabtu.

Najib berkata di negara Korea misalnya, rakyatnya begitu menekankan bidang pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan berjaya dan akhirnya berjaya menguasai bidang tertentu seperti teknologi maklumat, telekomunikasi dan automotif.

"Rakyat Korea tak ada hasil apa pun, (tiada) setitik minyak pun tapi atas kesungguhan mereka dalam melahirkan modal insan cemerlang, mereka kini menjadi sebuah negara yang maju dalam ekonomi," katanya.

Beliau berkata apa yang penting ialah kecemerlangan pendidikan harus disokong faktor pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan kepimpinan setempat.

Menerusi faktor itu, katanya dapat menggembleng kejayaan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan cemerlang bagi menjayakan visi mencapai negara maju.

Pada majlis itu Najib menyampaikan hadiah wang tunai RM200 setiap seorang sumbangan Yayasan Pahang dan Yayasan Rahah kepada 615 pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR 2013.

--BERNAMA