Thursday, January 31, 2013

Akan Ada Lagi Berita Gembira Buat Penjawat Awam - Muhyiddin



KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.

Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.

"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.

Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.

Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.

Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.

-- BERNAMA


Cabaran guru zaman siber

Oleh Hariyati Ariffin
Pensyarah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
yang disiarkan oleh Harian Metro online.



Kerjaya sebagai pendidik sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Tidak hairanlah, selain ibu bapa, guru dan pendidik adalah orang yang amat dipercayai dan dihormati pelajar dan masyarakat. Mereka menjadi contoh terbaik kepada pelajar dan sentiasa dipandang tinggi. Pepatah ada mengatakan guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.

Mungkin bukan suatu yang memeranjatkan jika ada yang masih mengingati guru mahupun pensyarah mereka walau sudah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan universiti. Di sekolah rendah guru adalah ejen yang membentuk peribadi kanak-kanak sejak kecil. Mereka diajar dengan pelbagai asas ilmu dan nilai murni. Guru mengajar membaca, menulis, mengira dan berbudi bahasa seperti mengucapkan terima kasih, saling bekerjasama dan berakhlak mulia. Sering kali kita dapati guru di sekolah rendah terdiri daripada mereka yang sangat penyayang dan prihatin terhadap murid mereka.

Di peringkat sekolah menengah guru memberi ilmu dan memupuk sikap bertoleransi serta menjadi pendengar yang baik kepada murid yang mengalami transisi daripada kanak-kanak menjadi remaja. Di universiti misalnya, pendidik yang baik disenangi pelajar, malah mudah untuk pelajar berinteraksi dan berbincang.


Namun apabila zaman berubah, kerjaya guru mengalami evolusinya tersendiri. Jika zaman dulu guru terdiri daripada mereka yang benar-benar minat menjadi pendidik dan sanggup berkorban untuk kerjaya berkenaan, zaman siber memperlihatkan pola perubahan kepada profesion itu.

Walaupun ramai antara mereka yang memohon menjadi guru kerana minat mendalam dalam kerjaya itu, namun ada sesetengahnya memilih kerjaya mendidik kerana terpaksa. Profesion itu adalah pilihan kedua mereka yang tidak berjaya mendapat pekerjaan mengikut jurusan dipelajari.


Kerjaya ini dianggap sebagai suatu ‘survival’ untuk hidup kerana kesukaran mendapat pekerjaan lain. Mungkin ada antara mereka pada mulanya hanya suka-suka memilih kerjaya ini, namun akhirnya mula mencintai profesion ini apabila sudah bergelar pendidik.

Bagaimanapun, ada juga antara mereka yang menjadikan profesion ini sekadar tempat persinggahan dengan sekadar mendapat gaji dan tidak dapat menjiwai profesion ini secara menyeluruh.

Selain tidak dapat menjiwai profesion yang mulia ini dengan baik, mereka juga gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar serta tidak ikhlas menjalankan amanah yang diberi.

Sememangnya tidak dinafikan cabaran menjadi seorang guru di zaman siber ini amat besar dan memerlukan satu transformasi cara pengajaran yang berkesan. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan kreativiti guru dalam menyampaikan ilmu kepada generasi tanpa wayar sekarang ini.

Seorang pendidik perlu memiliki peribadi yang baik seperti sabar, belas kasihan, kreatif, berilmu, bijaksana dan berpengalaman.


Memetik kata-kata Prof Dr Sidek Baba dalam buku Pendidikan Rabbani, beliau menjelaskan bahawa pendidik bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, maklumat atau pengalaman, malah kepakaran mengenai sesuatu.


Selain itu, pendidik juga mesti memberi contoh dan pekerti yang baik ketika mendidik. Mereka juga mesti mempunyai sifat kesabaran, ikhlas, amanah, adil serta bertimbang rasa dan lain-lain kualiti yang penting dalam proses pendidikan.


Berdasarkan ciri-ciri di atas, jelaslah bukan mudah menjadi guru yang mempunyai peribadi agung dan dihormati pelajar. Mereka menjadi pendidik terbilang apabila dapat melahirkan generasi berkualiti dan berakhlak mulia yang diperlukan negara dan masyarakat.


Kisah pengorbanan guru di luar bandar patut dijadikan contoh kepada guru yang mengajar di bandar besar dengan segala kemudahan berada di hujung jari.


Bayangkan guru di kawasan pedalaman terpaksa menaiki bot, meredah hutan dan berkorban banyak perkara untuk menyampaikan ilmu kepada murid mereka. Namun mereka masih bertahan dengan kerjaya berkenaan.


Walaupun negara sudah semakin maju, kita jangan pula lupa bahawa masih ada beberapa kawasan pedalaman yang tidak mendapat kemudahan dalam pembelajaran. Sesetengah sekolah di kawasan mundur masih amat jauh ketinggalan.


Mereka tidak mempunyai kemudahan moden, umpamanya komputer, ada kalanya kerusi dan meja juga amat daif selain kekurangan kelengkapan, infrastruktur dan prasarananya.


Namun semangat guru yang mengajar di kawasan seumpama ini amat dipuji. Penulis pernah membuat tinjauan di sebuah kawasan pedalaman di hulu Perak dan mendapati kegigihan guru serta murid dalam proses pembelajaran amat jauh berbeza dengan sekolah di bandar yang bukan saja lengkap dengan alat pembelajaran canggih dan moden, malah ada antaranya memiliki kelas berhawa dingin. Justeru, dalam dunia pendidikan masa kini, melahirkan guru yang benar-benar menjiwai kerjaya mendidik bukanlah mudah. Landskap pendidikan juga sudah banyak berubah. Guru bukan saja diamanahkan dengan tugas hakiki, tetapi juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran, kokurikulum selain memegang jawatan tertentu dalam persatuan dalaman dan luar sekolah.




Pemantauan SK Medan Jaya, Marang

MARANG - Pagi ini saya dan Ketua Unit Sekolah Rendah sempat memantau perjalanan SK Medan Jaya, Marang . Penyeliaan ini adalah rutin yang dijadualkan oleh Unit Sekolah Rendah dengan berfokus untuk membantu sekolah-sekolah yang dikenalpasti khas untuk dibantu.

SK Medan Jaya walaupun cantik dan molek namun jumlah muridnya agak kecil yakni lebih kurang 186 orang. Mungkin lokasinyakah agak jauh ke belakang atau kerana prestasi UPSR kurang memberangsangkan menyebabkan ia tidak mampu menarik ibubapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah ini? Kemungkinan-kemungkinan itu ada. Namun kita amat yakin jika sesebuah sekolah mampu mengujudkan "kemenjadian murid" yang hebat dan menyeluruh rasanya ibubapa akan sedia berkompromi dengan sedikit susah payah untuk kepentingan anak-anak mereka.

Inilah cabaran yang harus disedari oleh warga SK Medan Jaya. Rasanya semua aspek pengurusan berada pada tahap terbaik. Namun semuanya itu tidak ada makna jika guru peringkat pelaksana tiada mempunyai iltizam, dan semangat tinggi untuk mencipta kejayaan.

Kita sangat yakin input-input yang ada berpotensi untuk dipugar menjadi sesuatu yang hebat dan luar biasa. Kerja-kerja membangun keterbilangan pendidikan adalah kerja-kerja secara kolektif dengan menggunakan kemahiran dan kepakaran yang sedia ada. SK Medan Jaya boleh lakukan. Buktikan bahawa SK Medan Jaya sememangnya hebat dan mampu.

Wednesday, January 30, 2013

Taklimat Persediaan dan Eksesais e-Operasi bagi Kutipan Data Operasi bagi Kutipan Data Operasi Sekolah Rendah secara online

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah telah mengadakan taklimat sehari mengenai perkara berkaitan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu , JPN Terengganu. Semua Penyelia  Kanan Pengurusan Sekolah PPD dan Pegawai-pegawai dari Unit Sekolah Rendah. Turut hadir En. Mohd Zuki bin Ariffin, Eksekutif Kanan, Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan.

Ketua Unit Sekolah Rendah, En. Jelani Sulong mengingatkan taklimat dan eksesais ini amat penting bagi menentukan kedudukan data terkini dengan mengambil kira pergerakan pertukaran keluar masuk yang terakhir, kenaikan pangkat, bersara dan juga mereka yang meninggal. Data terkini ini akan menentukan kedudukan data mukthakhir yang ada sebagai asas pengisian penempatan guru baru yang akan datang.
Jika kedudukannya berlebihan body dan opsyen maka tiada kemasukan guru baru. Proses penentuan ini akan hanya tepat bila semua sekolah up date data dalam e-operasi.

Beliau mengingatkan PPD agar mengingatkan Guru Besar dan Guru Data sekolah agar data dalam e-operasi dan Emis dapat diupdate dengan tepat dan cepat. Sebagai contohnya dalam mesyuarat Ketua Sektor dengan KPM pada minggu lepas ERPD melaporkan pada 7 Januari 2013 ada 4 orang GPK Kokurikulum kosong sedangkan dalam data kita yang kawal pergerakan dan pengisian GPK dan GB tiada yang kosong. Dalam pengisian 16 Januari 2013 tiadapun maping dari PPD atau makluman dari Guru Besar bahawa 4 buah sekolah kekosongan GPK Kokurikulum. Kita berharap kes seperti ini berlaku untuk pertama dan terakhir. Jika wujud lagi kita akan siasat secara terperinci sekolah yang dikatakan tiada pengisian kerana sebarang kekosongan GPK dan Guru Besar akan diisi pada 1 haribulan dan 16 haribulan. Oleh yang demikian kita minta Guru Besar dan Guru Penolong Kanan 1 'alert" dengan perkara ini kerana sistem online pihak atasan boleh memantau di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Sementara itu bagi tindakan terkini sekolah, sila semak dalam web e-operasi dengan menggunakan id dan password Guru Besar atau GPK Pentadbiran kedudukan perjawatan guru dalam e-operasi.  Jika ada apa-apa kecacatan atau ketidaktepatan pada data sekolah masing-masing sila rujuk kepada Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD masing-masing bagi guru dan kepada En.Mohd Zuki Ariffin, Eksekutif Kanan, Sektor Khidmat Pengurusan JPN Terengganu bagi kakitangan bukan guru. Pihak JPN akan mengeluarkan surat kepada semua sekolah untuk tindakan pengemaskiniaan kedudukan data guru pada 31 Januari 2013 dan kedudukan data murid pada 15 Januari 2013 dan e-operasi.

Kita sangat berharap melalui eksesais seperti ini data perjawatan negeri akan sentiasa tepat dan terkini. Ianya mesti bermula dari sekolah kerana tempat diisi dan kedudukan penyandang adalah lokasinya sekolah. Jika dari sekolah lagi data tidak tepat maka kumpulan data peringkat PPD juga tidak tepat dan akhirnya data negeri juga tidak tepat. Data yang tidak tepat atau sampah ini akan memberi kesan kepada perjawatan, proses pertukaran penempatan, naik pangkat dan sebagainya. Oleh yang demikian semua pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab bagi mengurus perkara ini mesti tinggi komitmen dan akautebalitinya. Ini bukan kerja main-main tetapi melibatkan maruah dan integriti diri dan insitusi.


 

Tuesday, January 29, 2013

Guru Muda Punya Peranan Lonjakkan Kualiti Pendidikan, Kata Muhyiddin



SABAK BERNAM, 26 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.

"Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

"Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.

"Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan. Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.

"Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya.

-- BERNAMA



Tawaran DG41 kepada PJJ Siri 7.

Tahniah dan alhamdulillah Jabatan Pelajaran Negeri menerima 10 orang lagi guru-guru PJJ yang ditawarkan ke DG41. Masuk terkini kita sudah kategorikan kepada 7 siri atau Siri 7.

Sukacita kami mengingatkan  kepada guru-guru yang menerima naik pangkat atau dilantik memegang jawatan hakiki terkemudian dari tarikh tawaran DG41 agar membuat keputusan bijak yang menguntungkan diri sendiri. Antara beberapa cara penyelesaian yang boleh dibuat adalah sebagai mana berikut:

  1. Menerima tawaran lantikan DG41 dengan meletak jawatan hakiki atau menolak naik pangkat terkini; atau
  2. Menolak tawaran lantikan DG41, kekal atas jawatan hakiki atau gred naik pangkat terakhir dan memohon semula DG41 dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran; atau
  3. Menerima tawaran DG41 dengan mengemukankan surat rayuan agar tarikh pelantikan DG41 dipinda lewat 15 hari atau sebulan dari tarikh pelantikan jawatan hakiki atau tarikh kuatkuasa naik pangkat yang terkini.
Berdasarkan rakan-rakan terdahulu yang berada dalam situasi ini mereka telah dinasihatkan oleh SPP agar menerima DG41 dan menyertakan surat rayuan kepada SPP semasa penghantaran pakej untuk SPP pertimbangkan pindaan tarikh yang anda sendiri cadangkan agar anda boleh kekal berada dalam jawatan hakiki atau gred naik pangkat terakhir dan sekaligus kemudiannya menikmati  DG41

Jika anda memerlukan pertanyaan, penjelasan dan rayuan anda hendaklah berhubung terus dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran kerana kuasa melantik DG41 terletak di bawah bidang kuasa mereka. Rayuan seelok-elok dibuat secara individu.

Penyelesaian cara 1 dan 2 adalah biasa dilakukan pada masa terdahulu tetapi cara 3 sudah ada GPK  yang mohon pindaan pelantikan  DG41 telah diluluskan oleh SPP. Ini bermakna mereka boleh kekal di atas jawatan GPK / Guru Besar dan sekaligus menikmati DG41. Ramai lagi yang sedang menunggu keputusan. 

Surat-surat tawaran boleh diperolehi mulai sekarang di USR, JPN Terengganu.Sila tanya  Pn. Bibah Bibi ditalian 09-6213390 di Unit Sekolah Rendah sebelum datang ke Unit Sekolah Rendah.

Senarai lengkap PJJ Siri 7. KLIK



Penawaran dan Pertukaran Guru Besar, GPK dan Penyelia Kuatkuasa 1 Februari 2013

KUALA TERENGGANU - Petang semalam telah diadakan taklimat dan penyampaian surat tawaran pelantikan kepada calon Guru Besar, GPK dan Penyelia yang baru berkuatkuasa 1 Februari 2013. Majls berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Majlis berkenaan dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, KPP Pengurusan Sekolah dan juga Ketua Unit Sekolah Rendah.

En. Hashim Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya pada pertemuan berkenaan mengucapkan tahniah kepada yang telah dipilih dan diperakui oleh Panel Jabatan Pelajaran Negeri untuk ditawarkan jawatan-jawatan berkaitan. Tegas beliau sebagai pengurus dan juga penjawat awam para guru perlu sedar dan tahu di mana mereka berada dengan mematuhi akujanji yang telah diikrarkan. Mereka juga perlu faham hak yang disertai dengan amanah dan tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilaksana.

Beliau juga mahu supaya guru atau bakal pemimpin sekolah membuang tanggapan umum bahawa guru terlalu manja di mana pegawai lain bila naik pangkat terpaksa keluar dari negeri sedangkan guru bertukar sedikit riuh satu negeri ataupun menolak tawaran dan sebagainya. Timbalan Pengarah juga mahu semua pemimpin sekolah memahami betul-betul PPPM kerana tanpa kefahaman pimpinan bagaimana guru, murid dan ibubapa untuk memahaminya. Tegas beliau lagi hasrat sut kemenjadian murid boleh bersaing di peringkat dunia dan hidup dalam negara maju serta  menjadi insan yang mempunyai kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Justru itu tegas beliau peranan guru dan kepimpinan di sekolah sangat penting untuk membina budaya berfikir kritis dan kreatif melalui latihan berfikir High Order Of Thinking Skill (HOTS) serta membina budaya ke arah sains dan teknikal melalui dasar 60-40 semasa di sekolah rendah lagi. Beliau juga melahirkan rasa terkilan dan dukacita kerana sepanjang pemerhatian dan pengalaman beliau terdapat cara komunikasi guru dengan murid ataupun ibubapa yang tidak sesuai dengan tugas seorang guru, tidak membina motivasi kendiri malah "membunuh" minat dan kreativiti murid. Beliau menyeru agar guru-guru dan kepimpinan sekolah melakukan tranformasi bersesuaian dengan aspirasi dan hasrat yang ingin dicapai.

Beliau juga berpesan kepada bakal pengurusan sekolah ini agar melaksanakan tugas dengan terbaik, hormat ketua, jangan membina kumpulan tertentu, perbetulkan niat dan hati dengan meletakkan peluang dan kerjaya yang mulia ini bukan sekadar cari makan tetapi juga sebagai satu perjuangan dan jihad membina warga bangsa  bermaruah.

Mana-mana Guru Besar, GPK yang terlibat boleh mendapatkan surat melalui PPD masing pada hari Khamis nanti. Senarai penuh pertukaran dan tawaran akan disiarkan dalam ruang ini pada pagi Khamis.

Senarai lengkap Guru Besar. KLIK 
Senarai lengkap GPK. KLIK 


Sunday, January 27, 2013

Pengisian Borang Pencalonan Sekolah Berprestasi Tinggi 2013

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya semua sekolah yang berada pada Band 1 diWAJIBkan mengisi Borang Pencalonan Pengiktirafan Sekolah Band 1 (BPP-SBT) dalam Portal NKRA. Bagi pencalonan tahun 2013 sekolah-sekolah terlibat mesti mengisi pencalonan di Portal NKRA yang dibuka mulai 16 Januari hingga 8 Februari 2013. Sekolah yang telah diiktiraf tidak perlu mengisinya walaupun berada pada Band 1.

Sekolah yang terlibat (Band 1) hendaklah juga mengemukan satu salinan borang pencalonan SBT berkenaan pada atau sebelum 15 Februari 2013 kepada Urusetia SBT Negeri (U.P : Unit Sekolah Rendah). Jika ada pertanyaan boleh dikemukakan kepada  Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster di 09-6213109

Sekolah Terengganu yang disenaraikan KPM berada pada Band 1 dan WAJIB mengisi Borang Pencalonan Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi 2013 sebagaimana berikut:

  1. SK Amer, Besut, Terengganu
  2. SK Tok Dor, Besut, Terengganu
  3. SK Felda Selasih, Besut Terengganu
  4. SK Tepus, Dungun, Terengganu
  5. SK Batu 7, Dungun, Terengganu
  6. SK Kuala Berang, Hulu Terengganu
  7. SK Dusun, Hulu Terengganu
  8. SK Langgar, Hulu Terengganu
  9. SK Tapu, Hulu Terengganu
  10. SK Kemat, Hulu Terengganu
  11. SK Teris, Hulu Terengganu
  12. SK Seri Berang, Hulu Terengganu
  13. SK Kampung Chabang, Kemaman
  14. SK Rantau Petronas, Kemaman
  15. SK Maktab Perguruan, Kuala Terengganu
  16. SK Lubok Teras, Setiu
  17. SK Sungai Las, Setiu
  18. SK Lembah Jaya, Setiu
  19. SK Kampung Jaya, Setiu
  20. SK Bari (Sg. Tong)
Portal NKRA :  http://nkra.moe.gov.my/


Taklimat Penyelaras Pengurusan Guru Kontrak Bahasa Inggeris di bawah MBMMBI

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu hari ini telah mengambil inisiatif memanggil Guru Besar, Pembantu Tadbir, Penolong Akauntan PPD, Pegawai Kewangan dan Perkhidmatan JPN bagi mengadakan taklimat penyelarasan mengenai Guru Kontrak Bahasa Inggeris MBMMBI. Taklimat berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri diadakan di Bilik Mesyuarat Alamada, JPN Terengganu. Turut hadir KPP Sektor Pengurusan Sekolah, Ketua Unit Rendah dan beberapa pegawai dari Unit Sekolah Rendah.

Sebelum ini Guru-Guru Kontrak Bahasa Inggeris telah membangkitkan beberapa perkara yang tidak selaras seperti kerja dalam cuti penggal, bayaran gaji dan sebagainya semasa penerimaan surat pelantikan daripada Ketua Sektor Pengurusan Sekolah beberapa minggu lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, En. Hashim bin Mohd Zin dalam ucapan dan taklimat overview berkaitan MBMMBI dengan mengemukakan antara lain bahawa asas pelaksanaan MBMMBI bermula dari Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009, yang memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan 
secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2011, bagi menggantikan PPSMI dan dikuatkuasa  melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil 12/2011.

Rasional kerajaan jalankan MBMMI ganti PPSMI- Khusus bagi Memperkukuhkan  Bahasa Inggeris dengan cara melibatkan penambahbaikan kurikulum BI serta penyediaan guru dan bahan yang mencukupi dan berkualiti bagi melaksanakan kurikum BI.Memperkukuhkan BI membawa maksud memantapkan pengusaan BI sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tujuan utama memperkukuhkan BI adalah kerana BI merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global. Beberapa strategi berikut akan dan sedang dilaksanakan;
  • Transformasi Kurikulum BI
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P & P BM 
  • Meningkatkan kapasiti Guru B1 ( dalam perkhidmatan dan pra perkhidmatan).
  • Menggunakan perkhidmatan penutur jati BI sebagai  mentor dan Training Fellows
  • Menggunakan perkhidmatan guru bersara BI sebagai  Guru Kontrak BI
  • Penempatan semula guru BI
  • Meningkatkan aktiviti bahasa di luar bilik darjah
Taklimat dan perbincangan telah menetapkan beberapa perkara penting yang tidak selaras dan mengelirukan sebagaimana berikut
  • Cuti Rehat yang diperuntukkan 12 hari setahun boleh diambil puratanya 1 hari sebulan atau mengikut kelulusan Guru Besar dengan dibayar gaji penuh
  • Cuti Rehat Khas 7 hari setahun boleh mohon tetapi gaji tidak akan dibayar jika CRK diambil bagi Guru Kontrak MBMMBI sebagaimana termaktub dalam perjanjian
  • Semasa Cuti Penggal Persekolahan - pihak sekolah hendaklah menyediakan jadual kerja sepanjang cuti berkenaan dan jika Guru Kontrak memohon untuk cuti dari jadual berkenaan gaji mereka akan ditolak mengikut hari mereka bercuti dalam cuti penggal itu.
  •  Cuti Rehat 12 hari setahun tidak boleh dikumpul untuk tahun-tahun akan datang tapi boleh dikumpul untuk digunakan dalam Cuti Penggal  dan dibayar gaji penuh.
Diharap sekolah-sekolah yang menerima guru "contract for servis" lebih memahami bila menerimanya;
  • Menerima guru MBMMBI tanpa mengisi perjawatan
  • Bukan sebagai mencukupkan bilangan guru opsyen BI 
  •  Mengutamakan fungsi untuk KSSR
  • Tidak ditugaskan sebagai guru utama peperiksaan awam
  • Memanfaatkan pengalaman dan kepakaran
  • Tidak diberi tugas mengetuai sesuatu jawatankuasa
  • Guru MBMMBI menjual perkhidmatan kepada kerajaan. Ikut kemampuan individu.
  • Tidak melihat kumpulan mereka ini kelompok bernasib baik sebab menerima upah disamping dapat pencen. Tetapi melihat kesanggupan mereka menjual perkhidmatan kepada kerajaan. Manfaat kepada murid.

Saturday, January 26, 2013

Sembang Sabtu : Hak atau keistimewaan?

Semenjak luas terbuka sebaran idea dan pemikiran melalui media baru kadang-kadang kita semakin keliru. Lantunan idea dari pelbagai lapisan yang kadang berasaskan logik dan bukan fakta serta manipulasi melampau kadang-kadang orang yang dianggap berilmu turut terbuai sama  hilang prinsip dan kebenaran ilmunya. Tragedi keliru dan mengelirukan ini juga turut sama melanda kaum guru; golongan yang sentiasa sinonim dengan ilmu dan bijaksananya terutama bila membicarakan soal hak guru atau keistimewaan yang diberikan untuk guru.

Isu terbaharu yang hangat diperkatakan mengenai Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) yang tidak dibayar lagi kerana transformasi dasar MBMMBI. Ada macam-macam tuduhan dibuat kepada Guru Besar dan kerajaan. Ada yang mengungut kerajaan untuk memberi undi kepada pembangkang. Masa Gerakan Mansuhkan PPSMI oleh pembangkang tidak seorangpun golongan yang menerima BISP ini bangun bersatu menentang penghapusan Pengajaran- Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bahkan orang-orang kampung yang tidak tahu apa-apa memekik melalak kononnya PPSMI memusnahkan jati diri Bahasa Melayu. Agaknya kalau semua penerima BISP yang mengajar Matematik, Sains dalam Bahasa Inggeris bangun menentang Gerakan Mansuhkan PPSMI kerajaan belum tentu akan ujudkan dasar MBMMBI. Malang sekali dalam kerjaya kaum guru yang ramai dan hebat tapi kita mudah dipersenda oleh orang yang tidak bergelumang dan tahu menahu tentang pahit getir dan susah payahnya kerjaya mendidik.

Penerima BISP tidak boleh menganggap bayaran ini hak mereka selamanya. Bila pengajaran Matematik dan Sains tidak lagi diajar dalam Bahasa Inggeris mereka tidak lagi layak dibayar BISP. Sama ada seseorang itu mengajar atau tidak subjek berkenaan dalam Bahasa Inggeris dan layak dibayar terletak di bawah bidang kuasa Guru Besar yang mengesah, memantau dan memperakukannya. Surat Ketua Setiusaha KPM bertarikh 7 Disember 2012 menyebut perkara ini dengan jelas:

Selain itu ada guru yang mengganggap semua cuti yang diperuntukkan seperti Cuti Rehat Khas , Cuti Penggal Persekolahan adalah hak mereka yang tidak boleh dipersoal dan diperkotak-katikkan. Seolah-olah Ketua Jabatan iaitu Guru Besar wajib meluluskan bila mereka mohon dan tidak boleh diganggu. Mereka lupa bahawa cuti-cuti ini merupakan keistimewaan yang diberi kepada guru sebagai penjawat awam mengikut kreteria dan syarat-syarat tertentu.Guru Besar sebagai ketua boleh mempertimbangkan untuk melulus atau menolak berasaskan pertimbangan kepentingan pengajaran dan pembelajaran serta unsur-unsur kemanusiaan. Inilah perlunya kebijaksanaan Guru Besar semasa ingin melulus atau menolak permohonan cuti seperti Cuti Rehat Khas seperti panduannya di SINI.

Begitulah juga berkaitan urusan naik pangkat, pertukaran dan sebagainya ianya bukannya hak mutlak guru untuk mendapatkannya tetapi ia adalah keistimewaan yang boleh dinikmati sebagai guru setelah memenuhi kreteria dan syarat-syarat yang ditetapkan. Bacalah pekeliling dan panduan pengurusan yang bersepah banyaknya sama ada melalui blog pendidikan agar guru lebih tahu bukannya bercakap dan bertindak mengikut emosi .

Apapun jika kita merasakan kerjaya ini banyak menyusahkan kita, tidak sesuai dan serasi dengan kehendak kita jalan keluar paling mudah letak jawatan. Mengapa kita perlu hidup dalam "neraka" yang kita sendiri bina. Lagipun dunia pendidikan sebenar tidak memerlukan guru yang tiada jiwa mendidik dan berkorban. Lebih baik kita berhenti dari menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Mereka yang bahagia dan kekal bersama dunia pendidik ialah mereka yang faham mana haknya mana keistimewaannya. Mereka jelas dan tidak keliru dan punya jati diri yang kuat ; berupaya memerintah diri dan menguasai muridnya.


Friday, January 25, 2013

Renungan Jumaat : Detik Maulidur Rasul



Diriwayatkan oleh Umar bin Khatthab r.a., beliau berkata : Saya bersama Rasulullah s.a.w sedang duduk-duduk. Rasul s.a.w. bertanya kepada para sahabat, “Katakan kepadaku, siapakah makhluk Allah yang paling besar imannya?” Para sahabat menjawab; ‘Para malaikat, wahai Rasul’. Nabi s.a.w bersabda, “Tentu mereka demikian. Dan mereka berhak seperti itu. Tidak ada yang boleh menghalangi itu, kerana Allah s.w.t telah memberikan mereka tempat”. Sahabat menjawab, “Para Nabi yang diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t, wahai Rasul”. Nabi s.a.w. bersabda, “Tentu mereka demikian. Dan mereka berhak seperti itu. Tidak ada yang boleh menghalangi itu, kerana Allah s.w.t telah memberikan mereka tempat”. Sahabat menjawab lagi, “Para syuhada yang ikut bersyahid bersama para Nabi, wahai Rasul”. Nabi s.a.w. bersabda, “Tentu mereka demikian. Dan mereka berhak seperti itu. Tidak ada yang boleh menghalangi itu, kerana Allah s.w.t telah memberikan mereka tempat”.
“Lalu siapa, wahai Rasul?”, tanya para sahabat.

Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Kaum yang hidup sesudahku. Mereka beriman kepadaku, dan mereka tidak pernah melihatku, mereka membenarkanku, dan mereka tidak pernah bertemu dengan aku. Mereka menemukan kertas yang menggantung, lalu mereka mengamalkan apa yang ada pada kertas itu. Maka, mereka-mereka itulah yang orang-orang yang paling utama di antara orang-orang yang beriman”. [Musnad Abî Ya’lâ, hadits nombor 160].

Waktu yang ditunggu-tunggu itu belum datang juga, namun beberapa orang masih terus mencari. Mereka menelusuri hujung-hujung kota Mekkah. Dari satu tempat ke tempat lain, orang-orang yang merindukan kehadiran seorang pembebas itu tak lupa bertanya kepada orang-orang yang mereka jumpai di setiap tempat. Mereka bertanya begini kepada setiap orang, “Siapakah di antara kalian yang memiliki bayi laki-laki?”. Namun tak seorang pun mengiyakan pertanyaannya. Orang awam tentu tidak memahami maksud pertanyaan itu, namun orang-orang itu tidak juga berhenti untuk mencari dan menanyakan di mana gerangan bayi laki-laki yang dilahirkan. Semuanya ini dilakukan untuk membuktikan kepercayaan yang selama ini diyakininya. Bahawa dunia yang telah rosak sedang menanti kedatangannya.

Hingga pada suatu pagi.

Sebagaimana aktiviti yang telah berlaku semenjak zaman nabi Ibrahim a.s, setiap bayi yang lahir pada saat itu segera di-thawaf-kan. Ini tidak lain untuk mendapatkan hidup yang penuh barokah, yakni bertambahnya kebaikan lahir dan batin, serta mengharapkan kemuliaan dan petunjuk dari Allah s.w.t. Tidak terkecuali bagi seorang datuk seperti Abdul Muththalib, yang terkenal masih bersih dalam urusan keagamaan. Begitu mengetahui cucu laki-lakinya lahir, maka segeralah beliau membawa bayi itu menuju Ka’bah, lalu Thawaf, membawa bayi itu mengelilingi Ka’bah tujuh kali sambil berdoa kepada Allah s.w.t.

Tepat sesaat setelah Abdul Muththalib memasuki rumah setelah men-thawaf-kan cucunya, lewatlah seseorang yang selama beberapa hari ini mencari kelahiran seorang bayi laki-laki. Saat itu, orang yang sudah cukup tua tersebut masih menanyai kepada setiap orang yang dia temui, “Siapakah di antara kalian yang memiliki bayi laki-laki?”. Pada saat itulah Abdul Muththalib menyedari ada seorang tua yang mencari bayi laki-laki.

Dipanggilnya orang tua itu, lalu beliau berkata kepadanya, “Saya punya bayi laki-laki, tapi, tolong katakan, apa kepentingan anda mencari bayi laki-laki?”.

“Saya ingin melihat bayi laki-laki yang baru lahir. Itu saja”, jawab orang tua tersebut yang sekonyong-konyong muncul semangat baru dalam dirinya. Tanpa memberikan kesulitan apapun, Abdul  Muththalib mempersilakan orang tua itu masuk ke rumahnya untuk melihat bayi yang dimaksud.

Apa yang terjadi saat orang tua itu melihat bayi yang ditanyakannya, adalah hal yang tidak pernah dibayangkan oleh Abdul Muththalib. Beliau memang tidak pernah terfikir apa pun. Sebagai layaknya seorang datuk yang berbahagia mempunyai cucu, beliau cukup bersyukur sang cucu dilahirkan dalam keadaan sihat walafiat. Namun, bagi orang tua yang sedang mencari sesuatu itu tidak demikian. Begitu melihat bayi dan menemukan ciri-ciri sebagaimana disebutkan dalam al-Kitab yang dia baca, serta informasi dari orang-orang terdahulu, orang tua itu berseru, “Benar, benar sekali ciri-cirinya, inilah bayi yang akan menjadi Nabi akhir zaman kelak…”. Dalam kebingongan Abdul Muththalib, pengsanlah orang tua yang selama ini mencari-cari bayi laki-laki tersebut, lalu wafat pada saat itu juga.

Orang-orang yang mencari bayi laki-laki saat itu, termasuk seorang tua yang akhirnya mendapatkannya dan pengsan, adalah para agamawan yang meyakini akan kehadiran seorang Nabi akhir zaman. Mereka sangat teguh memegang berita akan kemunculan nabi akhir zaman ini. Semakin kuat keyakinan mereka, semakin mereka meninggalkan urusan-urusan dunianya guna menanti atau mencari nabi akhir zaman itu. Penantian nabi akhir zaman itu, selain berkat informasi dari kitab-kitab mereka, saat itu, mereka juga sangat merasakan bahawa keadaan memerlukan kehadiran sang Nabi.

Sedang sang bayi yang ditunggu adalah bayi Muhammad S.A.W bayi yang kelak menjadi nabi terakhir.

Demikianlah, akhir dari kisah pencarian para agamawan pada zaman pra Nabi Muhammad saw. Pencarian atas apa yang diisyaratkan dalam kitab-kitab mereka, bahawa akan diutusnya nabi akhir zaman untuk meluruskan kembali akidah-akidah yang telah tidak berdasar dan jauh menyeleweng.

Dari kisah ini, kita mengetahui betapa pada waktu itu masyarakat mengalu-alukan kehadiran Nabi Muhammad saw, ‘Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin’. (QS. 9:128)

Petikan : Sumber