Wednesday, February 29, 2012

Guru Besar, cikgu bergomol depan murid

GEORGETOWN: Pelajar sebuah kelas di sekolah rendah di Air Itam, di sini, dihidangkan aksi ‘kung fu’ antara guru besar dan guru kelas selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pergaduhan antara dua guru lelaki terbabit dikatakan berpunca selepas guru besar lalu berhampiran sebuah kelas dan terdengar bunyi bising, sebelum dia membuat teguran kepada guru kelas itu.

Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka dan guru besar itu seterusnya cuba merakam suasana dalam kelas berkenaan menggunakan telefon bimbitnya.


Menurut sumber, melihatkan tindakan guru besar itu, guru kelas terbabit secara tiba-tiba ‘naik angin’ sebelum dia terus menyerang dan memukul guru besar berusia 48 tahun itu.

“Berikutan itu, kedua-dua guru terbabit bergaduh dan kejadian itu diperhatikan murid kelas berkenaan dan murid lain,” katanya.


Menurutnya, suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan kedua-dua guru terbabit.


“Akibat pergaduhan itu, guru besar terbabit cedera di kedua-dua tangan dan juga belakang kepalanya,” katanya.

Sumber itu berkata, guru kelas juga cedera pada mata akibat terkena tikaman pen ketika bergelut dan kedua-duanya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan dua guru berkenaan dipanggil memberi keterangan bagi membantu proses siasatan,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin yang mengikuti kursus ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.


Sumber : Harian Metro online, 29 Feb 2012 

Pembentang Pencalonan SKK JPN Terengganu 2012

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Urusetia Pencalonan SKK mengadakan sesi Pembentangan Pencalonan SKK Tahun 2012 mulai 29 Februari  hingga 1 Mac 2012. Sesi pembentangan berkenaan telah diadakan Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu, JPN Terengganu.

Anggota Panel Penilai yang dilantik terdiri dari Pegawai Kanan Jabatan , Jemaah Nazir dan Jaminan Kualti Negeri serta wakil Guru Besar berpengalaman mengurus SKK dan SBT. Antara lain tujuan pembentangan ini untuk memilih calon SKK yang mempunyai kekuatan dan keistimewaan dari pelbagai aspek untuk diketengahkan sebagai calon SKK Tahun 2012 selain membimbing dan membantu sekolah memantapkan penyediaan  borang pencalonan , folio dan dan persembahan.

Rata-rata guru besar yang membuat pembentangan pada hari pertama sudah mulai faham konsep dan kebitaraan SKK. Setengahnya membuat persediaan dan persembahan dengan baik seakan persediaan untuk pencalonan SBT. Ada juga sesetengah merasa pemilihan awal ini sebagai persediaan permulaan untuk bergerak ke arah SKK dengan lebih mantap pada tahun-tahun akan datang.

Pencalonan yang baik dan sempurna pada pendapat kami ialah :

  • menyediakan borang pencalonan selengkap dan sebaik mungkin
  • setiap bahagian dari borang diperluas dalam folio dengan avidenya melalui data,graf,gambar,sijil, pamplet, surat dan sebagainya yang menjadi bahan bukti
  • powerpoint yang menggambarkan dalam bentuk gambar dan grafik (minimakan ayat-ayat panjang) setiap bahagian dari folio.
Apa yang penting ialah maklumat, kefahaman serta idealisma kecemerlangan melalui konsep kebitraan SKK semakin jelas dan meluas untuk difahami oleh setiap warga pendidikan.

 

Monday, February 27, 2012

Majlis Kesyukuran dan Mesyuarat Agung PIBG, SBT SK Tengku Mahmud

BESUT - Hari ini warga SBT SK Tengku Mahmud mengadakan Majlis Kesyukuran dan Mesyuarat Agung PIBG. Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh YB. Muhammad Pehimi Yusof, Adun Kota Putera. Majlis berkenaan yang gilang gemilang itu juga dihadiri oleh Timbalan PPD Besut, Pegawai-pegawai PPD, Pengarah IPGM Sultan Mizan, Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar daerah Besut serta pesara guru daerah Besut terutama yang ada hubungan nastolgia dengan SK Tengku Mahmud.

Saya sebagai Pegawai Meja Kluster JPN Terengganu bersama Penolong Pegarah Guru Unit Rendah yang turut sama meraikan merasa bangga dan bersyukur di atas pencapaian terbilang SK Tengku Mahmud sebagai salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi. SK Tengku Mahmud dibawah pimpinan guru besarnya Tuan Haji Abdul Rahman bin Sardar telah membawa SK Tengku Mahmud  mencapai keterbilangan teruatama dalam UPSR dan kokurikulum ke peringkat negeri dan kebangsaan. Bahkan dalam beberapa  bidang seperti jalinan dan jaringan serta penandaarasan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pada April sekolah ini telah menerima pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan dengan menggondol hadiah wang RM250,000.000 dan 3 Februari lalu mereka menerima pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi dengan meraih hadiah RM700,000.00. Sekarang ini mereka juga menunggu Anugerah Tawaran Baru Guru Besar. Peruntukan sebagai SBT bukan setakat RM700,000.00 sahaja tetapi tahun-tahun depan mereka akan terus menerima peruntukan ratusan ribu untuk baik taraf, memperkasakan bidang-bidang kebitaraan, penandaarasan hingga ke peringkat antarabangsa.

Tahniah SK Tengku Mahmud semoga terus menjadi ikon Sekolah Terbilang daerah dan negeri. Selain itu bantu dan pimpinlah sekolah-sekolah lain untuk turut sama mencapai darjah keterbilangan tertinggi sekolah di negara ini.

Sunday, February 26, 2012

TINDAKAN SEGERA : Urusan Kenaikan Pangkat PPLD yang memperolehi Ijazah semasa dalam perkhidmatan ke Gred DG1-1 (DG41)

Kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG2-1 (DGA29), DG2-2 (DGA32), DG2-3(DGA34) dan DG2-5(DGA38) yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan dan memilih SBPA serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh dinaikkan pangkat ke Gred DG1-1 (DG41) tanpa perlu dilantik semula oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Sehubungan dengan itu semua guru PPLD yang memiliki ijazah dan belum dilantik ke DG1-1(DG41) perlu mengambil TINDAKAN SEGERA untuk menghantar dokumen yang diperlukan  yang boleh didownload DI SINI ke Unit Naik Pangkat JPN Terengganu pada atau sebelum 11 Mac 2012.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
  • En. Mohd Saidi bin Abu Bakar - 09-6213246
  • Pn. Suzana bt. Ibrahim - 096213149
* Tolong war-warkan kepada rakan-rakan kita.

Kursus Orientasi Guru Baru Terengganu

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah akan mengadakan kursus berkenaan sebagai butiran berikut:

Tarikh : 4 hingga 6 Mac 2012
Tempat : Duta Village, Kuantan, Pahang Darul Makmur
Lapor Diri : 1.30 - 2.45 petang (Ahad, 4 Mac 2012)

Maklumat surat, nama peserta, jadual perjalanan dan tentatif program KLIK

Link untuk download mengenai Program Pembangunan Guru Baru : KLIK


Laporan Program Bimbingan dan Pembentangan SKK.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah telah mengadakan mesyuarat bagi mendapat maklumbalas berkaitan persediaan sekolah-sekolah yang dicalonkan SKK Tahun 2012. Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Ketua Unit Sekolah Rendah dan dihadiri oleh Timbalan PPD, Penyelaras SKK dan SBT Daerah, Pegawai dari Unit Sekolah Rendah serta Guru Besar SKK dan SBT yang ditugaskan sebagai pembimbing pencalonan berkenaan.

Secara umumnya hasil dari laporan pemantauan dan program bimbingan itu didapati sekolah-sekolah yang dicalonkan telah membuat persediaan baik. Ramai kalangan pembimbing berpendapat ianya merupakan satu program yang baik dan mencadangkan program bimbiungan siri kedua dilaksanakan secara berkelompok melibatkan pegawai JPN,PPD dan Guru Besar Pembimbing dalam satu pasukan. Tujuannya jika ada isu yang memerlukan penyelesaian segera tindakan dapat disalurkan dengan cepat.

Semua sekolah yang dicalonkan bakal membuat pembentangan di hadapan Panel Penilaian SKK Negeri pada 29 Feb dan 1 Mac yang akan diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Butiran lengkap Jadual Pembentangan klik link DI SINI.

Saturday, February 25, 2012

Kursus Memperkasakan Pengurusan SJKC Terengganu

KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah telah mengadakan Kursus Memperkasakan Pengurusan SJKC Terengganu kepada semua Guru Besar dan GPK sepuluh buah SJKC Terengganu. Kursus yang bermula 23 - 25 Februari 2012 diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan.

Kursus ini yang menggunakan pendekatan perkongsian melalui ceramah dan bengkel bertujuan melengkapkan pasukan pengurusan SJKC dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran. Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki diharapkan mampu digembeling secara kolektif bagi mempertingkatkan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah berkaitan pengurusan pendidikan wajib, Kurikulum Standard Sekolah Rendah, SJKC ke arah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan sebagainya lagi. Ketua Sektor Pengurusan Sekolah telah merasmikan kursus ini dan Penolong Pengarah Guru Unit Rendah telah mewakili Ketua Unit menutup kursus berkenaan.

Pihak JPN yang memberi hak dan peluang sama kepada SJKC sepertimana SK mahu SJKC Terengganu terus melonjakkan kecemerlangan UPSR  dengan mempertingkatkan GPS kepada 1.5 hingga 2.0 agar prasyarat utama untuk dicalonkan SKK dipenuhi. SJKC mempunyai banyak kekuatan dalam kebitaraan kokurikulum dan jika prestasi GPS mereka baik serta bidang kebitaraan kurikulum diperkasakan maka bukan mustahil satahun dua lagi bakal muncul SKK dari SJKC dari negeri Terengganu. Plan strategik ke SKK itu mesti bermula dengan misi dan visi kepimpinan sekolah yang positif dan bersemangat tinggi.


Friday, February 24, 2012

Renungan Jumaat : Seketul darah penentu baik, buruk peribadi ummah

HATI adalah sumber kebaikan dan keburukan seseorang. Apabila hati penuh dengan ketaatan kepada Allah SWT, maka perilaku seseorang akan penuh dengan kebaikan. Sebaliknya, apabila hati seseorang penuh dengan hawa nafsu, maka yang akan muncul dalam perilaku seseorang adalah keburukan dan kemaksiatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam badan seseorang manusia itu, ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badannya, jika ia buruk, maka buruklah seluruh badannya, ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keburukan dan kemaksiatan ini akan datang apabila hati seseorang berada dalam keadaan jauh dari mengingati Allah SWT. Ibnu Qoyyim al-Jauziyah berkata, “Apabila hati seseorang itu jauh daripada mengingati Allah, maka syaitan dengan serta-merta akan masuk ke dalam hati seseorang dan mempengaruhinya untuk berbuat keburukan”.

Hati yang dimasuki syaitan adalah hati yang sakit. Inilah yang disebut sebagai ciri-ciri orang yang munafik. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 10 bermaksud:

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya; dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Oleh kerana itu, hati seseorang mukmin harus sentiasa dijaga daripada dipengaruhi syaitan, dengan berada dalam sikap taat kepada Allah SWT. Inilah yang disebut sebagai hati yang istiqamah.
Imam al-Qurtubi berkata ‘Hati yang istiqamah adalah hati yang senantiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah SWT baik berupa keyakinan, perkataan mahupun perbuatan’.

Hati insan yang sentiasa terpaut kepada mengingati Allah SWT adalah hati yang dicampakkan kepadanya as-Sakinah iaitu ketenangan. Dalam hal ini Allah SWT berfirman, di dalam Surah Ar-Ra’d ayat yang ke-28:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Bagi orang yang hatinya jatuh cinta kepada Allah SWT, maka ia lebih suka berbicara dengan Allah SWT, dengan membaca kalam-Nya, lebih suka bercengkerama dengan Allah SWT dalam iktikaf, dan lebih suka mengikuti perintah Allah SWT daripada perintah yang lain.

Begitulah perasaan cinta kepada Allah SWT adalah manifestasi seseorang hamba yang menyerahkan segala-galanya terhadap Allah. Firman Allah SWT bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al-An’am ayat 162)

Jika kita kembali kepada sirah baginda Nabi Muhammad SAW, mengapakah sahabat-sahabat baginda sanggup mengorbankan jiwa raga, turun ke medan perang demi mempertahankan agama Allah sedangkan mereka tidak ditawarkan sebarang ganjaran dan kemewahan.

Mengapakah Sumaiyyah sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan akidahnya? Mengapakah Bilal bin Rabah sanggup menahan seksaan dijemur di tengah padang pasir, di bawah terik mentari demi mempertahankan kalimah Ahad, yakni Allah yang Esa? Jawapannya, kerana mereka meletakkan di dalam hati mereka, perasaan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya.

Namun mutakhir ini, hati umat Islam semakin jauh daripada mencintai Allah. Hati umat Islam ditimpa penyakit al-wahnu iaitu cintakan dunia dan bencikan kematian seperti sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?"

“Nabi SAW, menjawab, Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.

“Seorang sahabat bertanya, apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?' Rasulullah SAW menjawab, ‘cinta dunia dan takut mati’." (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad) 

Persoalan yang timbul dalam minda kita sekarang ialah kenapa pada akhir zaman ini hati umat Islam begitu leka dengan kenikmatan duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi? Jawapannya, Imam an-Nawawi dalam Kitab Nashaihul Ibad menukilkan satu riwayat menyatakan bahawa:

“Empat faktor yang menyebabkan hati menjadi gelap ialah perut yang sentiasa kenyang dan melebihi had kekenyangan, bersahabat dengan orang yang zalim, lupa akan dosa-dosa silam dan panjang angan-angan, manakala empat faktor yang menyebabkan hati terang iaitu perut yang sentiasa lapar kerana berhati-hati, bersahabat dengan orang salih, mengingati dan menyesali dosa-dosa silam dan pendek angan-angan.”

Oleh itu, marilah kita semua umat Nabi Muhammad SAW dalam suasana dan semangat bulan Rabiul Awal, bulan ulang tahun keputeraan baginda Rasulullah SAW, sedar dan kembali kepada ajaran Islam yang dibawa Rasulullah serta berlumba-lumba mengamalkan sunnah tinggalan baginda.

Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang cemerlang semasa hidup di dunia yang sementara ini. Pada masa yang sama sentiasa rindu untuk bertemu Allah dan akhirnya nanti kita akan melangkah pulang mengadap Allah Azzawajalla dengan hati yang tenang dan sejahtera.

Sumber :   Asri Md Saman  ,bhagama@bharian.com.my  ,2012/02/08



Thursday, February 23, 2012

Cuepacs Tuntut Kenaikan Gaji RM700-RM2,500 Untuk Gred 1 Hingga Gred 54

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini Rabu.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred. - BERNAMA