Tuesday, January 31, 2012

Pencalonan Sekolah Kluster Kecemerlangan Tahun 2012

KUALA TERENGGANU - Satu mesyuarat Jawatankuasa Pencalonan Sekolah Kluster Tahun 2012 Peringkat  Jabatan Pelajaran Negeri telah diadakan tadi di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan dihadiri Pegawai Sektor Sekolah, Pegawai Meja Kluster Menengah dan Rendah dan semua Timbalan PPD Negeri.

Mesyuarat ini bertujuan mengenalpasti sekolah-sekolah yang berkelayakan untuk dibimbing bagi pencalonan SKK Tahun 2012. Ketua Sektor memaklumkan bahawa  hingga kini Terengganu mempunyai 16 buah SKK (6 SR dan 10 SM). Terbaharu ialah SM Sains Dungun yang baru diiktiraf sebagai SKK Fasa 6. Beliau berharap melalui usaha yang dibuat akan banyak lagi sekolah yang berkelayakan dan berpotensi untuk menjadi SKK. Tegas beliau untuk menjadi cemerlang mesti memenuhi tujuh prasyarat berikut:
  1. Semua warga sekolah mesti mempunyai keghairahan iaitu rasa hendak dan mahu kepada kejayaan yang amat tinggi seakan tergambar rupa bentuk kemahuan itu.
  2. Semua warga sekolah mesti mempunyai kepercayaan bahawa mereka yakin dan mampu lakukan.
  3. Mesti mempunyai strategi atau kaedah serta langkah yang perlu dan boleh dilaksanakan
  4. Mempunyai nilai pengangan dan amalan dalam diri seluruh ahli organisasi seperti iklhlas, tolong-menolong dan sebagainya
  5. Mempunyai kekuatan,tenaga atau keupayaan serta penggembelingan sumber untuk melaksanakannya
  6. Mempunyai jaringan atau networking sebagai panduan, perkongsian pintar
  7. Pengurusan komunikasi yang efektif dan berkesan
Pihak PPD diminta mengenalpasti sekolah yang berkelayakan . Bagi SR semua PPD telah mencalonkan dan satu bengkel penyediaan pencalonan akan diadakan di BTPN Terengganu pada 6 Februari 2012. Proses pemilihan pada tahun ini melalui peringkat sebagaimana berikut:
  1. Pencalonan awal
  2. Taklimat dan Bengkel Penyediaan Pencalonan
  3. Program Bimbingan Mentor 1
  4. Pembentangan dan penyediaan pencalonan dan penilaian panel negeri
  5. Pembentangan di peringkat KPM
  6. Program Bimbingan Mentor 2
  7. Verifikasi Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
Tarikh tutup pencalonan:
  • Sekolah Rendah - 29 Februari 2012
  • Sekolah Menengah - 30 April 2012
    Klik di bawah:
    • Panduan, Borang Pencalonan, Taklimat download DI SINI
    • dan Powerpoint SKTM DI SINI
    • Jadual Pemantauan & Bimbingan Siri 1. DI SINI 
    • Panduan Penyediaan Folio Pencalonan 2012 sebagai ganti Profil Sekolah (Profil Sekolah kalau tidak mahu sediapun tidak apa). DI SINI

      Tahniah, SM Sains Dungun, Terengganu..

      Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

      Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak 15 buah sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan itu.

      Menurutnya, ini merupakan fasa keenam, dan dalam lima fasa sebelum ini sebanyak 167 sekolah telah menerima pengiktirafan tersebut.

      "Semua sekolah yang telah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu di Putrajaya, semalam.

      Beliau berkata, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

      "SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara,” katanya.

      Enam lagi sekolah menengah terbabit ialah SM Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.

      Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

      Sunday, January 29, 2012

      Cabutan Pekeliling Ikhtisas: Pekelilling Iktisas Bil 3/1981 - Penggunaan waktu tidak mengajar/waktu luang (free period) oleh Guru-guru


      Guru-guru di sekolah biasanya mempunyai waktu-waktu tidak mengajar/waktu luang (free period) seperti yang ditetapkan dalam jadual waktu mengajar masing-masing. Didapati ada sebahagian kecil guru-guru menganggapnya sebagai masa tidak bekerja. Anggapan ini adalah salah dan perlu dibetulkan.

      Guru Besar boleh mengarahkan guru-guru menggunakan masa itu antara lain untuk:-

      1        Menggantikan guru yang tidak hadir mengajar di sesebuah darjah / tingkatan.
      2        Membuat persediaan-persediaan untuk mengajar dan sebagainya.
      3        Memeriksa buku latihan murid-murid.
      4        Mengadakan pertemuan khas dengan murid bermasalah pelajaran yang diajar.
      5        Penyediaan aktiviti-aktiviti gerakerja ko-kurikulum.
      6        Lain-lain tugas yang difikirkan perlu atau diarahkan oleh Guru Besar.

      Pekeliling Iktisas Bil 3/1981 penuh KLIK

      Taklimat dan Bengkel Peningkatan Kluster 2012

      Jabatan Pelajaran Terengganu akan mengadakan Taklimat dan Bengkel Peningkatan Kluster Tahun 2012 kepada Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang telah dikenalpasti oleh PPD masing-masing untuk dicalonkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Tahun 2012. Taklimat dan Bengkel berkenaan akan diadakan sebagaimana butitran berikut :

      Tarikh : 6 Februari 2012
      Masa  : 8.30 pagi - 4.30 petang
      Tempat : Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu

      Klik untuk:

        Saturday, January 28, 2012

        Isu SBPA : Tangguh bayar gaji ikut SBPA


        PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semula terhadap skim itu dimuktamadkan.
        Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, berkata, ia berikutan keputusan jemaah Menteri pada 11 Januari lalu supaya pelaksanaan SBPA disemak semula.

        Menurutnya, bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi Januari di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari seperti yang diumumkan sebelum ini.

        “Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari juga tidak dapat dilaksanakan dan ia akan dibayar mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).

        “Keputusan itu berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs),” katanya.

        Menurutnya, pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari.

        Sementara itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran berkenaan kerana ia perlu diselaraskan secara menyeluruh.

        “Seperti yang dinyatakan pihak kami sebelum ini, pelaksanaan SBPA tidak boleh dilakukan tanpa mengkaji kesamarataan dari segi bayaran gaji pegawai pelbagai gred. Ini kelak akan menimbulkan isu dan hak yang tidak adil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


        Sehubungan itu, beliau berkata, dalam usaha mencapai kata putus yang sepakat, beliau menyarankan supaya lebih ramai pegawai kanan daripada Cuepacs dilantik untuk menganggotai jawatankuasa semakan semula SBPA.

        “Dengan adanya penambahan anggota kami, perkara ini mungkin boleh dilihat secara lebih jelas dan pembabitan persatuan sekerja lain boleh dibabitkan sekiranya ada isu berbangkit,” katanya.


        Sumber : Harian Metro online,28 Januari 2012

        Friday, January 27, 2012

        Video bajet murah tapi sarat dengan nilai....


        Video tanpa suara ini dibintangi oleh pelajar SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan yang menyertai "2011 ASIAN INTERNATIONAL YOUTH MOVIE FESTIVAL" di Minami-Awaji, Jepun hasil kerjaasama antara Kementeriaan Pelajaran Malaysia dan Keduataan Jepun.Kumpulan yang dinamakan Semerak Baiduri terdiri daripada pelakon-pelakon pelajar Tingkatan 1. Tahniah !

        Renungan Jumaat : Kebaikan tanpa beriman balasan sekadar di dunia

        ALLAH SWT menciptakan akhirat bagi memberi balasan kepada makhluk terhadap apa dilakukan ketika hidup di dunia. Mereka diciptakan untuk mengabdikan diri serta melakukan kebaikan sesama manusia.

        Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa melakukan kebaikan sama ada lelaki atau perempuan, semuanya akan mendapat kehidupan baik di dunia dan akhirat dan mendapat balasan baik dari apa yang mereka lakukan.” (Surah An-Nahl, ayat 97)


        Allah SWT memberi penghormatan kepada insan yang sentiasa menambah kebajikan mereka dari semasa ke semasa. Begitu juga kejahatan yang dilakukan. Hanya dua daripada tiga golongan mendapat penghormatan ini kerana usaha mereka.


        Sabda Baginda SAW kepada sahabat: “Mahukah aku ceritakan pada kalian mengenai tiga golongan manusia. Pertama, mereka yang sentiasa berusaha mendampingi Allah SWT dengan melakukan kebaikan lalu mereka didampingi Allah SWT. Kedua, mereka malu kepada-Nya untuk melakukan kejahatan lalu Allah SWT malu untuk menolak permohonan mereka dan ketiga, mereka yang menyimpang terus daripada Allah SWT apabila bergelumang dengan maksiat lalu Allah melupakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

        Mereka dianggap melupai Allah SWT dan dijauhkan daripada rahmat-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka lupa kepada Allah dan Allah akan terus melupakan mereka.” (Surah At-Taubah, ayat 67)

        Golongan ketiga ini dikategorikan sebagai menipu Allah SWT seperti disebut dalam Al-Quran antaranya firman bermaksud: “Mereka menipu Allah SWT dan mereka akan tertipu.” (Surah An-Nisa’, ayat 142)

        Dua golongan disebut melakukan kebaikan dan menjauhkan kejahatan dianggap membantu agama Allah SWT dan mendapat pertolongan. Mereka yang melakukan sesuatu untuk Allah SWT mendapat ganjaran terbaik.

        Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah SWT nescaya kamu akan mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7)

        Sabda Nabi SAW bermaksud: “Kamu tidak akan meninggalkan sesuatu untuk Allah selain digantikan dengan yang lebih baik daripada itu.” (Hadis riwayat Ahmad)

        Islam dan iman menjadi syarat utama untuk menerima ganjaran di akhirat dan diharamkan sama sekali bagi orang kafir mendapat balasan baik di sana.

        Mereka hanya mendapat kesenangan dan penghormatan dunia manakala Muslimin mendapat kedua-dua manfaat daripada kebaikan mereka.

        Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir dapat sedikit habuan ketika di dunia atas segala kebaikan mereka lakukan.”

        Riwayat lain menyebut: “Mereka yang kafir tiada apa yang dapat mereka hasilkan di akhirat manakala orang yang beriman akan menuai hasil yang banyak di akhirat dan kurniaan rezeki yang melimpah dalam kehidupan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)

        Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka yang kafir dan sesat akan menerima balasan berganda di akhirat kelak sebagai balasan atas kesesatan dan kerosakan yang mereka lakukan.” (Surah An-Nahl, ayat 88)

        Menunjukkan bahawa segala tindakan mereka tiada mempunyai asas yang kukuh dan akhirnya menjurus kepada kerosakan semata-mata menuntut ganjaran dunia yang sedikit. Oleh itu, kita melihat hadiah banyak ketika musim perayaan dan ucapan manis dituturkan bertujuan melancarkan perniagaan mereka.

        Mereka yang mengaku beriman juga menerima nasib sama apabila segala kebaikan dilakukan mempunyai tujuan sama.

        Ulama bersepakat mengatakan orang kafir yang mati tidak membawa apa-apa kebaikan. Mereka hanya mendapat sedikit penghormatan ketika di dunia daripada kebaikan dilakukan seperti berbuat baik sesama manusia, menderma dan memuliakan tetamu.
        Oleh Ustaz Zaman
        Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

        Peratusan pelajar sains amat kritikal

        PUTRAJAYA 26 Jan. - Peratusan pelajar mengambil jurusan Sains terus menurun sehingga 29 peratus pada tahun ini dan keadaan itu dilihat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai amat kritikal.

        Katanya, trend penurunan itu bermula sejak 2007 sekali gus memperlahankan sasaran Pelan hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya aliran sastera.

        Beliau berkata, kemerosotan itu berterusan ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan.

        ‘‘Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,’’ katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

        Menurut Mohamed Khaled, pengurusan tertinggi institusi pengajian tinggi (IPT) mesti melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi pelajar terhadap sains.
        Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pelajar cemerlang diterapkan keseronokan mempelajari sains dan teruja dengan cabaran minda serta penerokaan baru. 

        Menurut Mohamed Khaled, beberapa dasar dan strategi baru juga boleh diperkenalkan ke arah meningkatkan minat para pelajar mempelajari sains termasuk meraikan kepelbagaian sains.
        Beliau berkata, mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPT.

        IPTA juga, katanya, perlu membangunkan institusi penyelidikan dalam bentuk institut, pusat atau makmal dengan memperkenalkan jawatan baru bergelar Akademik Penyelidik untuk mengekalkan bakat dalam bidang sains.

        Sementara itu, tokoh pendidikan, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, budaya menghafal tanpa memahami apa yang dipelajari dipercayai menjadi punca pelajar kurang berminat untuk mengikuti jurusan sains sehingga ke peringkat tinggi.

        Menurut beliau, kebanyakan pelajar yang mengambil jurusan sains memerlukan mereka menghafal formula dan rumusan dalam jumlah yang banyak dan ini membunuh minat untuk terus mendalami bidang tersebut.

        Sumber : Utusan Malaysia Online,27 Jan 2012