Friday, September 30, 2011

Renungan Jumaat : Menantu yang menyejukkan pandangan mertua

Selesainya akad nikah, bermakna kita kini telah bergelar isteri dan anak menantu. Sebagai seorang perempuan, kita selalunya diselubungi perasaan bimbang memikirkan cara untuk menyesuaikan diri dengan ibubapa mertua, terutama ibu kepada suami kita. Dari itu, persediaan diri harus dimulakan sebelum berumahtangga iaitu sebaik-baiknya sewaktu petunangan agar dapat menjadi menantu kesayangan. Berikut adalah beberapa tips untuk menjadi anak menantu yang disayangi.

Berkenalan dengan keluarga mertua.
Apabila datang berkunjung sewaktu pertunangan, anda boleh mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga dengan bertanya khabar dan sebagainya. Berkongsi minat dengan ibu mertua anda adalah salah satu cara mengenalinya dengan lebih rapat.

Mengenali sikap sebenar mertua anda.
Tanya kepada pasangan anda kegemaraan dan tidak kesukaan bakal mertua anda. Ini dapat membantu anda menyesuaikan diri dengan cara kehidupan mereka apabila anda menjadi ahli keluarga mereka nanti.

Menjaga keperibadian
Berhati-hatilah ketika berbual di hadapan mertua. Harus diingati juga agar jangan sesekali meninggikan suara terhadap suami anda di hadapan mereka. Ini kerana ia boleh membuat mertua merasa tersinggung dengan sikap anda yang ‘berterus terang.' Berterimaskasihlah di atas nasihat yang diberi kerana keprihatinan mereka walaupun anda tidak bersetuju. Bersikap jujur jika perlu dengan diplomatik agar tidak menguris perasaan mereka.

Berikan layanan yang mesra.
Jika mertua bertandang ke rumah anda, sambutlah kedatangan mereka dengan mesra. Cuba ‘sembunyikan' keletihan anda atau kesibukan anda. Tampilkah wajah yang ceria agar mereka merasa selesa bertamu di rumah anda.

Saling bantu membantu.
Bila bertandang ke rumah mertua, anda boleh menolong apa yang patut di dapur terutama sekali.  Jika majlis kenduri diadakan, pastikan anda membantu menguruskan dan mengemaskan apa yang perlu. Bila semuanya telah ‘beres' , barulah anda meminta diri untuk pulang!

Memupuk kemesraan
Ketika berkunjung ke rumah mertua bawalah buah tangan sepeti kuih muih. Dan apabila tiba hari penting seperti hari lahir dan ulang tahun perkahwinan, anda boleh memberi mereka cenderamata bagi mengenang jasa mereka membesarkan suami anda. Pasti mertua anda akan gembira dengan pemberian anda.

Menyayangi mertua seperti ibubapa anda
Hubungan anda akan lebih mesra jika anda menganggap mertua sebagai ibubapa anda. Dari itu, anda tidak mudah merasa kecil hati atau bejauh hati jika ada perkara yang tidak ‘kena' pada pandangan diri anda. Jestru, anda akan lebih bersifat toleransi untuk kebaikan semua pihak - "Buang yang keruh, ambil yang jernih."

Pendekata, anak menantu yang arif sudah pasti dapat menawan hati mertua dengan keperibadiannya yang luhur dan ikhlas.



Sumber : Kawin-kawin.com

Thursday, September 29, 2011

Mesyuarat Penyelarasan Autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi

KUALA LUMPUR - Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) telah mengadakan mesyuarat berkaitan pada 28 - 30 September 2011 di Pearl International Hotel,Kuala Lumpur. Mesyuarat bagi membincangkan penyelarasan pelaksanaan autonomi ini dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Bahagian KPM,Pegawai JPN,PPD dan semua guru besar lapan belas buah sekolah rendah yang diktiraf SBT fasa 1 dan 2.

Negeri Terengganu telah diwakili oleh Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster,Penolong PPD Pengurusan Sekolah PPD Kemaman dan Guru Penolong Kanan Sekolah SBT,SK Sultan Ismail,Kemaman.

Pelaksanaan autonomi di SBT telah dinyatakan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Autonomi SBT yang dilampirkan bersama-sama dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 13/ 2010 yang meliputi autonomi dalam bidang berikut:

  1. Autonomi  Pengurusan Kewangan
  2. Autonomi Pengurusan Sumber Manusia
  3. Autonomi Pengurusan Pemilihan Murid
  4. Autonomi Pengurusan Kurikulum
Sebenarnya beberapa bidang autonomi telah berlaku di SBT seperti pemilihan murid tetapi tidak secara serius dan tersusun. Justru mesyuarat kali ini adalah untuk membincangkan penyelarasan beberapa pelaksanaan bidang autonomi khususnya di SBT rendah serta garis panduan pelaksanaan dan isu-isu yang berbangkit. KPM akan melaksanakan Autonomi Pemilihan Murid dan Autonomi Pengurusan Kurikulum (Program Laluan Pintas bagi Murid Tahun 1)

Secara umumnya Autonomi Pemilihan Murid bermaksud Pengetua atau Guru Besar diberi peluang memilih 20% ke SBT yang di bawah kawalannya. Bagaimana cara dan kaedahnya berasaskan pekeliling dan garis panduan yang akan dikeluarkan nanti. Sementara Autonomi Pengurusan Kurikulum di bawah Program Laluan Pintas akan dilaksanakan pada Februari 2012 bagi murid Tahun 1 di SBT di mana murid yang terpilih melalui beberapa makenisma akan menduduki kelas PLP dengan pembelajaran kurikulum mampatan Tahun 1 dan 2 dan nanti mereka akan terus ke Tahun 3 pada 2013. Panduan dan kaedah pelaksanaan serta latihan akan diberi kepada Guru-Guru Tahun 1 di SBT nanti.

Mesyuarat yang melibatkan pegawai KPM,JPN,PPD dan pengurusan sekolah SBT adalah usaha memberi kefahaman serta menyelaras apa jua isu berbangkit daripada pelaksanaan autonomi agar dapat ditangani dengan cekap  dan bijaksana. Usaha-usaha strategik seperti ini sangat besar ertinya bagi terus mengangkat SBT sebagai "international showcase" serta memugarmantapkan keterbilangan akademik,kokurikulum,etos dan kebitaraannya.

Persidangan Pengelola Sekolah Malaysia Kali Ke 33 Tahun 2011

KOTA BHARU - Pengelola Sekolah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan Persidangan Tahunan Kali Ke 33 di Hotel Grand Riverview,Kota Bharu pada 27 - 29 September 2011. Seramai 450 orang peserta yang terdiri daripada pengelola sekolah yang berkhidmat di PKG,BTPN,PPD dan JPN seluruh negara menyertai persidangan tersebut.

Terengganu telah menghantar 30 orang perwakilan ke persidangan berkenaan yang diketuai oleh En.Zainuddin Muda,Pengerusi Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Negeri Terengganu.

Perasmiaan Pesidangan Pengelola Sekolah Malaysia Kali ke 33 telah disempurnakan oleh Dr.Haji Zahri bin Aziz,Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan) semalam.

Persidangan tiga hari ini bukan sahaja membincangkan isu-isu berkaitan kemahiran,strategi dan pendekatan baru tugas pengelola selaras dengan keperluan semasa tetapi juga isu-isu dan nasib masa depan pengelola sekolah dalam arus perubahan pesat pendidikan negara. Ada sesetengah suara sinis mengatakan jawatan pengelola sekolah bakal dijumudkan bila saiz perkhidmatan di PPD atau JPN dikecilkan dan hanya gred siswazah sahaja dikekalkan. Apapun yang kita harapkan persidangan kali ini bukan hanya setakat mengeluarkan resolusi sahaja tetapi menghasilkan atau memberi kesan dan impak kepada masa depan dan kebajikan pengelola sekolah secara keseluruhannya.

Selamat bersidang !!

Tuesday, September 27, 2011

Pertukaran dan Penempatan Guru Besar kuatkuasa 1 Okt 2011

KUALA TERENGGANU - Pagi tadi Ketua Unit Sekolah Rendah,En.Jelani Sulong telah mengemukan empat surat tawaran pemangkuan sebagai guru besar baru kepada seorang guru besar sekolah SKM dan tiga orang Guru Penolong Kanan. Dua daripada mereka ialah untuk mengisi kekosongan di daerah Hulu Terengganu dan dua orang lagi mengisi kekosongan guru besar di daerah Setiu. Sementara lima orang guru besar dicadangkan atas arahan serta kepentingan perkhidmatan bertukar sekolah. Proses ini adalah perkara biasa dalam "job rotation" bagi mempertingkatkan kecekapan,kemahiran dan pengalaman baru agar prestasi diri dan sekolah sentiasa melonjak tinggi. Justru itu panel telah meneliti segala aspek agar matlamat berkenaan tercapai.

Selamat bertugas di tempat baru kepada yang bertukar dan selamat berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada yang menerima tawaran sebagai guru besar baru. Yakin kepada diri,gunakan peluang dan manafaat ruang secara hikmah dan bijaksana agar anda sentiasa "besar" pada jawatan,iltizam,usaha dan pencapaian.

Senarai penuh KLIK

Monday, September 26, 2011

Tahniah Terengganu , 5 SM dan 3 SR bakal diiktiraf Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 5

Alhamdulillah,syukur dan tahniah ...insyaallah lapan buah (5 SM dan 3 SR) bakal menerima pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 5 pada 27 September 2011 di Hotel Crystal Crow,Petaling Jaya. Krew USR Blogger Team telahpun memperolehi maklumat ini beberapa hari yang lepas. Kedudukan sekolah ini disahkan oleh Penolong Pengarah Projek Khas/SBP/Kluster yang turut sama berada dilokasi berkenaan sebentar tadi. Kami difahamkan Terengganu mendahului keseluruhan jumlah sekolah yang diktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 5.

Tahniah kepada semua pihak yang terlibat memberi bantuan dan sumbangan terutama atas dedikasi Pengetua dan Guru Besar sekolah terbabit sehingga mereka menerima anugerah atau pengiktirafan ini. Kedudukan terkini keseluruhan Sekolah  Kluster Kecemerlangan di Terengganu ialah :

  1. SK Tengku Ampuan Intan,Kuala Berang (SKK Fasa 2)
  2. SK Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu (SKK Fasa 3)
  3. SK Tengku Mahmud ,Besut (SKK Fasa 4)
  4. SK Rantau Petronas,Kemaman (SKK Fasa 5)
  5. SK Seri Berang ,Hulu Terengganu (SKK Fasa 5)
  6. SK Dusun (SKM) ,Hulu Terengganu (SKK Fasa 5)
  7. SMK Sultan Sulaiman,Kuala Terengganu (SKK Fasa 1)
  8. SMKA Shiekh Abdul Malik,Kuala Terengganu (SKK Fasa 1)
  9. SM Sains Sultan Mahmud,Kuala Terengganu (SKK Fasa 3)
  10. SMK Tengku Mahmud, Besut (SKK Fasa 2)
  11. SMK Mak Lagam,Kemaman (SKK Fasa 5)
  12. SM Sains Kuala Terengganu (SKK Fasa 5)
  13. SM Sains Integrasi Batu Rakit,Kuala Terengganu (SKK Fasa 5)
  14. SM Atas Ugama Zainal Abidin,Kuala Terengganu (SKK Fasa 5)
  15. Imtiaz,Kuala Terengganu (SKK Fasa 5)

Taklimat Penyelarasan Pertukaran Guru Sesi Jan 2012

KUALA TERENGGANU - Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk kesekian kalinya mengambil inisiatif menyampaikan taklimat kepada semua pegawai penyemak dan pelulus permohonan pertukaran guru online (e-Gtukar) di peringkat PPD dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu petang ini. Taklimat berkenaan telah diadakan di Makmal Komputer JPN Terengganu yang dikendalikan oleh En.Ibrahm bin Ismail,Admistrator Unit Menengah JPN Terengganu merangkap Ketua Unit Sekolah Menengah. Turut hadir ialah En.Kamal bin Abdullah,Admistrator Guru Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu

Sebelum itu En.Jelani Sulong,Ketua Unit Sekolah telah memberi ucapan aluan mewakili Ketua Sektor Pengurusan Sekolah. Beliau merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada semua pegawai yang terlibat di semua peringkat kerana hasil kecaknaan dan kerjakuat maka tiada seorangpun Pengetua atau Guru Besar yang tidak membuat pengesahan terhadap permohonan pertukaran guru sebelum ini. Beliau berharap rekod cemerlang pengurusan pertukaran guru ini dapat dikekalkan pada masa-masa akan datang sesuai dengan reputasi Terengganu sebagai negeri rintis program pertukaran guru secara online atau e-Gtukar.

En. Ibrahim Ismail menegaskan tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk menyelaraskan semua jenis pertukaran antara negeri,antara daerah dan dalam daerah agar berjalan mengikut prosidur serta mematuhi tarikh-tarikh yang ditetapkan agar segala urusan pertukaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Beliau mengingatkan pegawai terlibat agar dapat memainkan peranan yang telah ditetapkan kepada diri masing-masing sama ada sebagai penyemak dan pelulus dengan cekap dan berkesan supaya tidak berlaku sebarang keciciran atau kesalahan. Beliau juga mengajak semua pegawai agar dapat membuat pemantauan kepada semua pengetua dan juga guru besar supaya membuat pengesahan berdasarkan zon masa yang telah ditetapkan.

En. Ibrahim juga membentangkan tarikh-tarikh yang mesti dipatuhi supaya tidak timbul sebarang masalah dan semua keputusan pertukaran bagi semua peringkat dapat dipublish dengan betul dan tepat segala butirannya di internet nanti. Selain itu beliau sekali mengingatkan para pegawai terlibat , dalam masa membuat keputusan menyokong atau melulus pertukaran agar segala prosidur,tatacara dan asas keutamaan kelulusan sentiasa diberi perhatiaan meritnya iaitu;

  • ancaman keselamatan
  • masalah kesihatan dan sakit kronik
  • mengikut suami / isteri
  • cukup tempoh khidmat
selain permohonan bersama dan juga keperluan opsyen agar pertukaran berkenaan bukan sahaja dapat memberi kebajikan kepada guru berkaitan tetapi juga mengambil kira keutamaan murid mendapat pekhidmatan guru yang terlatih,berpengalaman dan berkemahiran.

Isu berkaitan "kerahsiaan" juga dibincangkan agar semua keputusan pertukaran antara negeri,antara daerah dan dalam daerah tidak berlaku ketirisan dan kebocoran sebelum masanya.

Kita berharap hasil daripada taklimat ini semua pegawai yang dipertanggungjawabkan mengurus pertukaran dapat melaksanakan dengan cekap,adil , penuh amanah dan akautebaliti agar natijah daripada proses dan pelaksanaan pertukaran ini benar-benar memberi makna kepada semua pihak.

Mesyuarat Pra Pertukaran Guru (j-Qaf / Prasekolah / Pemulihan /Pendidikan Khas)

KUALA TERENGGANU - Unit Sekolah Rendah,Sektor Pengurusan Sekolah,JPN Terengganu telah mengadakan mesyuarat berkenaan bersama-sama dengan pegawai dari Sektor Pendidikan Islam,Unit Prasekolah dan Sektor Pendidikan Khas dan Swasta bagi menyelaras permohonan keluar dan permohonan masuk guru-guru opsyen J-Qaf,Prasekolah dan Pemulihan serta Pendidikan Khas sebelum mesyuarat secara berpusat dengan pihak kementeriaan.

Mesyuarat ini bukan sahaja memutuskan untuk menyokong pemohonan yang berkelayakan memenuhi syarat dan kreteria tetapi juga menyemak ketepatan data agar guru-guru yang masih di bawah LPBS yang belum cukup syarat  tidak terlepas jika berlaku manipulasi data.Selain dari itu juga ialah menentukan kesimbangan antara yang disokong keluar atau yang disokong masuk agar tidak berlaku kelebihan dan lambakan opsyen yang tidak berkenaan atau sebaliknya. Bagi tujuan berkenaan asas dan dasar utama kreteria pertukaran guru yang diputuskan dalam pekeliling menjadi pegangan utama.

Kita berharap melalui pra pertukaran ini kita dapat menyokong permohonan masuk atau keluar dengan tepat dan adil demi kepentingan serta kebajikan guru itu sendiri dan juga murid-murid yang akan menerima perkhidmatan daripada  mereka.

 

Saturday, September 24, 2011

Kakitangan awam diramal naik gaji lagi

Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.

Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.

Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.

Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.
 

Friday, September 23, 2011

Renungan Jumaat : Suami yang menyejukkan isteri yang memandang

Sebagai lelaki ataupun sebagai seorang suami, kita barangkali pernah terfikir dan mempunyai impian untuk menjadikan diri sebagai orang dikagumi. Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada semua - disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan sekaligus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat.

Semua yang kita mimpi itu bukan menjadi sesuatu yang mustahil jika kita sanggup berusaha dan mengubah sikap kita. Maka berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika anda mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna mungkin.

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya. Tilik takkul serta introspeksi diri dan berusaha ke arah yang lebih baik kerana orang yang cemerlang dan hebat sentiasa mencari kesempurnaan atau al-Falah.

1. Perbetulkan niat

Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

2. Bersyukur dengan ketentuan Ilahi

Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Bentuk sikap positif

Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa.. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Sentiasa berbual dengan isteri

Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Selalu senyum

Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Sentiasa bergurau senda

Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Nyatakan sayang atau rindu

Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Buat lawak atau cerita

Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

9. Makan bersama

Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Mandi bersama

Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu buat kerja rumah

Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

12. Mesyuarat keluarga

Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Jaga penampilan diri

Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Nasihat isteri dengan hikmah

Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.

15. Beri nafkah berdasar keperluan dan kemampuan

Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadi penawar bukan racun

Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan, kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Taat perintah Allah

Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Simpan rahsia isteri

Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Hormati keluarga isteri

Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Cemburu positif bukan cemburu buta

Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadi pemaaf

Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Bijaksana bila menegur

Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Hidupkan sunah nabi dalam hubungan

Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Keutamaan keperluan isteri

Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain.. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Ingatkan isteri tentang solat

Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri setulus hati

Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Perubahan positif berterusan

Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Perihatin terhadap keluarga

Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Kematangan tinggi

Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Hormati dan muliakan perempuan

Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

Sesungguhnya isteri atau suami adalah anugerah Allah kepada kita untuk kita merasai keseronokan,kebahagian dan kenikmatan hidup di dunia melalui tatacara dan prosidur yang Allah telah aturkan. Ikutilah system itu agar kita tidak terpesong dan lupa daratan hingga hilang jalan kembali kepadaNya untuk kehidupan yang lebih nikmat ,kekal dan abadi….

Thursday, September 22, 2011

Penganugerahan Sekolah Kluster Fasa 5 dijangka minggu depan

Kami mendapat maklumat melalui semakan web dan dihubungi beberapa guru besar sekolah yang dicalonkan Sekolah Kluster Fasa 5 bahawa mereka perlu menghadiri mesyuarat dan majlis berkaitan pada 27 September 2011 di  Hotel Crystal Crown Petaling Jaya,Selangor. Kami yakin walaupun tidak dinyatakan dengan jelas bahawa pada majlis berkenaan akan diadakan penganugerahan tersebut. Setakat berita ini ditulis tiga buah sekolah yang kami dapat maklumat ialah;

  • SM Imtiaz,Kuala Terengganu
  • SK Seri Berang,Hulu Terengganu
  • SK Dusun,Hulu Terengganu
Tahniah ! jika sekolah-sekolah calon kluster fasa 5 yang diverifikasi jemaah nazir dan menerima surat dari kementeriaan supaya hadir ke majlis sebagaimana di atas sila hubungi kami.